Monday, July 25, 2011

MEMELIHARA  KEAMANAN ADALAH SESUATU YANG DITUNTUT


           
            Memelihara keamanan adalah sesuatu yang dituntut dalam kehidupan manusia tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama yang dianuti mereka. Betapa malangnya masyarakat yang mendiami negara-negara yang dilanda kekacuan, persengketaan dan perpecahan. Hanya mereka yang pernah mengalami dan merasainya tahu betapa erti azab dan seksanya bahana tersebut.  Lebih malang lagi apabila ianya dicetuskan oleh golongan dalaman yang diresapi anarkis luar yang sentiasa  dalam keadaan tidak  berpuas hati.
            Dalam sejarah merekodkan bahawa perasaan tidak puas hati yang bermula dengan kecaman kepada pemerintah  selalunya berakhir dengan pertelingkahan yang meruncing sehingga membawa kepada  pertumpahan darah dan pembunuhan.
            Lihatlah suasana yang berlaku semasa pemerintah Khalifah Uthman bin ‘Affan RA sehingga akhirnya beliau dibunuh kesan fitnah pemberontak politik yang menggunakan isu agama. Akibat pembunuhan tersebut akhirnya terbentuk puak Syiah dan diikuti dengan kemunculan puak Khawarij yang mengkafir sesiapa yang melakukan dosa khusus.
Khawarij mengangkat slogan, “Tidak ada hukum melainkan hukum Allah.” Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran tetapi dengan tujuan yang buruk. Saidina Ali bin Abi Talib pernah menyatakan kepada kumpulan ini  dengan katanya  “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil.”
Golongan seperti ini amat membahayakan ummah kerana pegangannya berdasarkan pentafsiran yang diikuti dengan sokongan dan dokongan daripada penyokongnya. Lebih bahaya kepada ummah apabila saranan agama dipandang  rendah dan kata-kata pemimpin kumpulan ini diutamakan.


              Bahayanya kumpulan ini kepada umat dapat dilihat melalui rakaman peristiwa pembunuhan berdarah yang melibatkan dua orang Khalifah Khalifah Amirul Mukminin iaitu Saidina Uthman Affan pada tahun 656,   iaitu kemuncak rasa tidak puas hati golongan pemberontak. Manakala Saidina Ali Abi Talib  dibunuh pada tahun 661 oleh Ibn Muljam dari golongan Khawarij setelah menjadi khalifah selama 4 tahun 9 bulan.
            Ibnu Muljam sendiri dianggap oleh puak Khawarij sebagai mujahid yang syahid di jalan Allah dan melakukan perbuatan itu sebagai taqarrub kepada Allah dan akan dimasukkan kedalam syurga. Mereka juga menggangap Ibnu Muljam sebenarnya tidak membunuh Saidina Ali sebaliknya membunuh syaitan yang menyerupai beliau.
            Di Lebanon juga lahir puak  pelampau yang dinamakan Ahbash. Pengasasnya seorang habsyi yang bernama Abdullah al-Harari. Beliau dikenali juga dengan al-Fattan, maksudnya penyebar fitnah. Beliau mendakwa berpegang kepada akidah asy‘ari, bermazhab syafi’i serta bertarikat. Beliau telah membentuk satu jamaah yang begitu ekstrim sehingga mengkafir dan menghalalkan darah sesiapa yang tidak sama dengan kefahaman-kefahaman yang kumpulan mereka anjurkan. 
             Sebenarnya bahaya kumpulan pelampau dalam agama ini pernah diperingatkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW telah bersabda“  Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap melampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama”     (Riwayat Ahmad)
            Seandainya ada golongan yang ingin memusnahkan keamanan yang sedia dipertahankan sekian lama  tentukan sekali ianya menjadi musuh yang tidak boleh dipertahankan perbuatannya. Tindakan golongan  pengkhianat seperti ini merupakan tindakan yang tidak adil, zalim dan boleh merugikan umat kerana cara ini sebenarnya boleh mencampakkan manusia itu kearah kebinasaan. Tindakan seperti ini juga memberi implikasi emosi yang membawa keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat.

         Allah berfirman yang bermaksud  dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya  (Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Strategi demi strategi dilaksanakan  musuh  Islam demi membunuh roh dan semangat persaudaraan sehingga mengakibatkan umat Islam akhirnya  terpedaya. Nikmat keamanan yang dicita dan diusahakan boleh lebur begitu sahaja. Manakala suasana harmoni boleh berubah menjadi kacau-bilau apabila propaganda  halus  Berjaya  meresap masuk kedalam  jiwa mereka sehingga berupaya menukar watak seorang muslim sejati.
Allah amat membenci manusia yang apabila berbalah dia melampaui batas.  . Firman Allah yang bermaksud  Dan di antara manusia ada mengkagumkan engkau tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, dan dia bersaksikan Allah (bersumpah dengan mengatakan bahawa Allah), padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu Muhammad).” (Surah al-Baqarah: 204)
Golongan yang keras kepala dan angkuh teramat sukar menyokong perdamaian. Mereka ini akan menolak apa yang baik dan benar kerana sikap keras kepala yang tiada hadnya itu. Rasulullah SAW bersabda “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Golongan ini hanya semata ingin menegakkan hujah yang dia sendiri tahu telah tersasar dari kebenaran. Sifat mazmumah yang membelenggu diri seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur, riak dan bongkak disuntik sebagai ubat pelali. Akhirnya  menyebabkan sebahagian umat menjadi khayal dan terpedaya sehingga mengetepikan  perkara yang lebih utama dalam agama iaitu menghidupkan amalan silaturrahim yang menjadi tunjang kekuatan ummah. Rasulullah SAW  bersabda  "Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Riwayat Muslim)
Mereka lebih rela bermusuh disebabkan rasa tidak puas hati dan denga irihati yang berterusan. Sebenarnya penyakit inilah yang menjadi punca  sebenar sehingga membawa terputusnya semangat persaudaraan. Rasulullah SAW bersabda  "Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti api memakan kayu atau memakan rumput." (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam hadis yang lain Baginda Rasul menyebutkan akan ciri-ciri manusia munafik itu ada empat, salah satunya: “Apabila dia berbalah, dia jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
            Maksudnya untuk menang dalam perbalahan, seorang munafik ini sanggup melakukan tindakan apa sahaja, termasuk menyelewengkan fakta, menipu dan mengelirukan orang ramai dengan menghalalkan cara untuk mencari kemenangan yang tidak diredai, termasuk melakukan huru-hara dan protes jalanan. Persembahan protes yang buruk seperti ini boleh memberi kesan buruk yang merugikan semua pihak. Seorang ulama besar dalam Mazhab al-Shafie, Abi Ishak al-Juwayni pernah berkata bahawa “ Haram melakukan segala perhimpunan yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada manusia dan negara”.
Biasanya manusia akan termakan dan terpengaruh dengan hujah melalui kepetahan seseorang yang bijak dan cekap menggunakan komunikasi lisan. Manusia seperti ini hebat dalam berkata-kata. Biasanya ia berkait dengan aspek penghakiman. Pengaruh hujahan seperti ini memberi kesan yang sangat besar. Berkaitan perkara tersebut, Baginda Rasulullah SAW ada  bersabda  Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 
Perdamaian adalah jalan yang disyorkan oleh agama seandainya ada pertelingkahan yang perlu diselesaikan. Manakala tunjuk perasaan  yang diadakan akan mengapikan pertelingkahan tersebut yang dibimbingi berakhir  dengan peperangan dan pembunuhan melalui tiupan ucapan yang penuh emosi diluar kawalan.
          Firman Allah yang bermaksud “Jika dua puak dari kalangan yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangiah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah. Jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat: 9-10)
Islam amat menjaga keamanan jiwa manusia sehingga ketempat yang paling aman sekalipun seperti di masjid dan pasar. Rasulullah SAW bersabda “Apabila salah seorang dari kalian lalu di masjid kami atau di pasar kami dangan membawa tombak, maka hendaknya dia memegang hujungnya atau beliau menggenggam dengan tangannya agar tidak ada suaatupun dari senjata-senjata tersebut yang menimpa salah seorang dari kaum muslimin." (Riwayat Al-Bukhari)
Tindakan untuk menakut-nakutkan  seorang muslim yang lain dilarang dilarang oleh agama. Rasululullah SAW telah bersabda "Tidak halal bagi seorang muslim membuat takut muslim yang lain." (Riwayat Ahmad)
Seterusnya Baginda bersabda "Barang siapa yang mengangkat senjata terhadap kami, maka ia bukan dari golongan kami." (Riwayat Al-Bukhari)
Adalah jelas bahawa menggunakan kekerasan, ugutan dan demontrasi bukanlah cara penyelesaian yang dicadangkan agama kerana melebarkan lagi jurang perpecahan dan pertelingkahan umat. Cara penyelesaiannya yang terbaik ialah kembali  kepada mereka yang dipertanggungjawab dalam suasana saling menasihati  disamping menjelaskan kewajipan yang sepatutnya mereka laksanakan dengan niat dan tujuan untuk kebaikan bersama.
PELUANG  REZEKI TERSEKAT AKIBAT MENDERHAKAI  IBUBAPA



            Definasi warga tua di negara ini secara umumnya adalah mereka yang berumur 55 tahun keatas.  Mereka daripada kalangan yang tidak mampu untuk meneruskan hidup secara efektif dan selesa diusia yang lanjut. Ditambah pula dengan perubahan fizikal dan mental yang menjadi masalah pertembungan psikologi dalam diri  hingga memberi gangguan emosi yang begitu sensitif.
            Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membahagikan golongan tua kepada tiga tahap umur iaitu peringkat awal, mereka yang berusia 50 hingga 65 tahun, peringkat pertengahan 65 hingga 75  tahun dan peringkat akhir iaitu mereka yang berusia 75 tahun keatas.    
Diianggarkan bahawa populasi golongan peringkat tua pertengahan di negara ini melebihi 1.5 juta pada tahun 2010 dan angka ini dijangka meningkat pada tahun 2020 nanti ekoran peningkatan taraf dan kualiti hidup disamping faktor perkembangan teknologi perubatan yang begitu pesat di negara ini.
Berdasarkan sumber yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),  bilangan orang tua yang mendiami  Rumah Sri Kenangan (RSK)di seluruh negara telah meningkat pada setiap tahun. Contohnya, pada tahun 2005, golongan tua yang menghuni RSK adalah  berjumlah 1827 orang. Angka ini telah meningkat kepada 1953 orang pada tahun 2006 dengan golongan lelaki berjumlah hampir sekali ganda  berbanding  dengan  golongan wanita.
Sepatutnya golongan tua yang bernaung di bawah ‘ masyarakat penyayang ‘ menerima sepenuh tautan kasih  dan perhatian pada usia dipenghujung tebing kehidupan  sebegini. Jangka tempoh yang cukup menguji kesabaran anak-anak akibat mainan emosi dalaman mereka yang sukar dibaca. Bagimanapun sebagai generasi anak-anak, kita diminta untuk menghormati mereka walau dalam apa keadaan sekalipun sepertimana firman Allah dalam Quran yang bermaksud “ Telah kami pesankan seorang manusia untuk senantiasa berbuat baik kepada kedua orang tuanya.” ( Surah Al-Ahqaaf : 15)
Berdasarkan ayat di atas, Allah telah meminta generasi anak-anak agar sentiasa berbuat baik kepada kedua orang tua mereka secara limpahan kasih sayang yang tiada had masanya. Namun berlainan pula dengan apa yang berlaku pada hari ini.  Mereka, yakni golongan anak-anak secara tidak sedar telah menghancurluluhkan hati kedua-dua orang tua mereka sehingga dianggap telah menderhakai mereka. Apakah  sebenarnya perbuatan yang dianggap sebagai derhaka menurut pandangan Islam ?
Ibnu Hajar al Haitami (909 – 974 H) Tokoh terkemuka ilmu Fikh ini menjelaskan bahawa “ kalau seseorang melakukan perbuatan yang kurang adab dalam pandangan umum, yang menyinggung orang tuanya, maka ia telah melakukan dosa besar, meskipun bila dilakukan terhadap selain orang tua, tidaklah dianggap sebagai dosa. Seperti memberikan sesuatu dengan dilempar, atau saat orang tuanya menemuinya di tengah orang ramai, ia tidak segera menyambutnya dan berbagai tindakan lain yang di kalangan orang berakal dianggap ‘kurang ajar’ sehingga  menyinggung perasaan orang tua”
Dalam konteks semasa, menyerahkan orang tua kepada pihak kedua tanpa izinnya boleh dianggap sebagai kurang ajar kalau mengambil kira pandangan Ibu Hajar Al Haitami. Apatah lagi dengan menjadikan RSK sebagai tempat penyelesaian masalah keluarga yang dihadapi oleh anak yang berdepan dengan orang tuannya secara muktamad.  Meletakkan orang tua di RSK dianggap sebagai jalan melepaskan bebanan diri paling tidak bermaruah kecuali atas keinginan  dan desakan  ibu atau bapa atas faktor yang diizinkan syarak.
Namun kalau disebabkan oleh factor paksaan dari anak untuk meletakkan ibu atau bapanya di RSK  telah menggugurkan nilai dan harga seorang anak di sisi agama dan masyarakat. Sekali gus memberi makna bahawa  pengorbanan dan kasih sayang  ibubapa tiada ertinya dan akan terpadam dengan mudahnya atas desakan dan pengaruh suasana.
Segala kebaikan yang dilakukan oleh ibubapa dinafikan Segala kesukaran dan kepayahan ibubapa melahir dan membesarkan anak tidak bernilai langsung, apatah lagi untuk dihargai dengan sepatutnya.
Allah berfirman yang bermaksud “Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”  (Surah Al-Ahqaf, 15)
Menyerahkan orang tua kita kepada pihak lain untuk dijaga bermakna memancung kasih sayang yang ditatang penuh sejak anak dilahirkan hingga  dewasa dan layak bergelar “ manusia”. Dalam suasana membalas jasa dan berbudi  kepada orang tua, sepatutnya  mereka bertindak menggunakan akal dan iman. Jangan mengambil keputusan singkat yang berisiko besar di akhirat kelak.
Ibnu Abbas, seorang sahabat yang terkenal dan berpengetahuan luas dalam  ilmu Quran pernah berkata “ Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, menyempitkan rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
Betapa malunya pabila ada diantara anak tidak lagi menghormati kedua ibu bapanya mereka  yang bertanggungjawab menjaga  zuriat kurniaan Allah dengan penuh kasih sayang.  Barangkali  selepas anak mempunyai zuriat mereka sendiri barulah diketahui dan disedari akan ertian kasih sayang sejati  dari ibu bapa kepada anak mereka.  Baginda  Rasul telah bersabda yang bermaksud “Berbuat baiklah kepada bapa-bapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu.”  (Riwayat At-Thabrani)
Justeru, hormati dan sayangilah mereka sebelum terlambat. Seandainya mereka tiada lagi di dunia menyesalnya tiada guna. Kesedihannya tiada bermakna walau digugurkan air mata darah tanpa putus-putus sekalipun.  Sedang memori kasih sayang kedua mereka akan menjelma setiap kali perasaan kesal datang dan tidak berpenghujung itu. Ingatlah firman Allah “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” ( Surah Al-Israa : 24)
Yakin dan percayalah bahawa  berbakti kepada kedua orang tua tidak akan rugi.  Keuntungannya boleh dinikmati  dunia dan melebarnya sehingga akhirat. Rasulullah SAW  begitu kasihan kepada mereka yang tidak  sempat berbakti kepada kedua orang tuanya walapun ruang dan peluang untuknya  begitu terbuka. Sabda Rasululullah SAW bahawaSungguh kasihan, sungguh kasihan, sungguh kasihan.” Salah seorang Sahabat bertanya, “Siapa yang kasihan, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Orang yang sempat berjumpa dengan orang tuanya, kedua-duanya, atau salah seorang di antara keduanya, saat umur mereka telah tua, namun tidak mampu  untuk (melayakkan) nya memasuki Syurga.” (Riwayat Muslim)
Diceritakan bahawa ada seorang anak muda menemui  Nabi dan mengadu kepada Baginda Rasul akan ketidakpuasan hatinya kerana ayahnya bertindak merampas hartanya. Beritahu anak tersebut kepada Rasulullah  Wahai Rasulullah! Ayahku telah merampas hartaku.” Rasulullah bersabda, “Engkau dan juga hartamu, kesemuanya adalah milik ayahmu.” (Riwayat  Abu Daud dan Ibnu Majah)
Persoalan panjang umur dan pintu  rezeki  dikatakan amat erat pertaliannya dengan kebaktian anak terhadap ibubapa  mereka. Malah dikatakan juga bahawa keduanya  berkaitan dan saling memerlukan. Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi  yang bermaksud “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.”  (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda  Rasul juga bersabda “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Usah melihat isu pintu rezeki dan ketaatan  dan kebaktian kepada orang tua sebagai sesuatu yang tidak berkaitan. Barangkali mereka yang pernah mengalaminya akan memberi jawapan yang tepat dalam menjawab isu ini manakala golongan yang belum berasa akan kesengsaraan hidup akibat derhaka kepada ibubapa hendaklah mengambilnya sebagai iktibar. Peribahasa Arab ada menyebut “ jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan


MENGHORMATI MENTUA  BERMAKNA JANGAN MENDERHAKAINYA


Selesai sahaja majlis akad nikah, setiap pasangan tanpa disedari telah menambahkan ahli baru dalam kehidupan indah mereka iaitu mentua.  Manakala  di pihak mentua pula dengan senyum semanis kurma telah menyambut mesra kehadiran menantu mereka.
 Islam meletakkan status dan kedudukan yang tinggi terhadap kedua ibu bapa termasuk mentua kita . Tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan oleh menantu, terutamanya menantu lelaki. Mengabaikan tanggungjawab terhadap mertua  bagaikan  mengabaikan ibu bapa  kita sendiri. Ajaran agama kita dengan jelas menyatakan bahawa kita tidak akan terbatal wuduk dengan mentua kita. Rasulullah SAW ada ada menyatakan kedudukan mentua melalui sabda Baginda  yang bermaksud “Ibu mentua kedudukannya adalah sebagai ibu “ ( Riwayat At-Tirmidzi dan Ahmad)
Taraf dan penghormatan kita terhadap  mentua sama seperti ibu bapa kita sendiri. Sememangnya  kita ada tanggungjawab yang  perlu dilaksanakan kepada mereka atas sifat sebagai menantunya. Selagi ditanam perasaan asing dalam pemikiran dengan menganggap mentua adalah ibubapa kelas kedua maka selagi itulah ruang terbuka untuk menanam rasa curiga dan irihati sentiasa.
Kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap mentua. Jika tanggungjawab itu diabaikan pastinya isteri kepada seorang suami menjadi tidak selesa bilamana ibu bapanya telah diabaikan suami. Tegasnya, kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama kedudukannya. Tidak  akan rugi apa-apa seandainya kita berbuat baik kepada mereka. Pepatah Arab ada menyebut yang bermaksud " Buatlah baik kepada manusia nescaya kamu dapat mengabdikan hati mereka."
Bagi sesetengah  pasangan, permasalahan hubungan antara menantu dan mentua kerap menjadi punca timbulnya konflik suami dan isteri. Meskipun  di zaman ini sudah banyak pasangan yang tidak tinggal serumah dengan mentua, namun bukan bererti bahawa masalah menantu dan mertua telah berakhir. Ada sesetengah menantu dan mentua terpaksa adakan gencatan senjata  berpunca daripada perang dingin yang berpanjangan.
Mutakhir ini semakin ramai yang salah tanggap mengenai tanggungjawab sebenar seorang menantu terhadap mertuanya. Manifestasi tersebut telah membawa kepada rasa kurang hormat terhadap mertua. Sedangkan agama menuntut agar mereka wajib di hormati sepertimana penghormatan terhadap ibu bapa kita  sendiri. Tambahan pula dikala usia tua mereka yang memerlukan pen jagaan kita . Allah  berfirman didalam Al Quran yang bermaksudDan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Nya dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkahlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil” (Surah  Al-Israa’: 23-24)
Apabila wujudnya rasa kurang rasa hormat dan menurunya nilai tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan perasaan dukacita terpancar dihati mereka. Menantu lelaki terutamanya mempunyai tanggungjawab yang berat terhadap mertua berbeza dengan menantu perempuan. Kalau seorang wanita perlu meletakkan suami sebagai individu yang perlu dihormati dan ditaati selepas Allah dan Rasul, bagi lelaki pula dalam konteks menantu dan mertua, mereka wajib menghormati ibu mentua lalu  diikuti  dengan bapa mentua.
          Perasaan kasih sebagai anak sendiri mesti ditanam kukuh dalam jiwa dan perasaan setiap mentua  terhadap menantunya. Memberi layanan kelas kedua terhadap menantu akan mengheret  dilema kebencian menantu kepada mentuannya secara berterusan. Ditokok tambah  dengan masalah kecil yang dicantumkan untuk mempertahankan rasa permusuhan  tersebut.
          Sekiranya ada apa-apa masalah yang timbul melibatkan menteua dan menantu, terutama dalam tempoh penyesuaian cara hidup baru maka perbincangan secara keluarga perlu dihidupkan. Mentua sebagai  orang lama yang banyak merasai asam garam kehidupan hendaklah bertindak matang sesuai dengan status dan kedudukannya, tanpa menggunapakai kuasa mutlak dalam apa jua tindakan.
          Tidak dinafikan ada kalangan mentua yang cerewet sifat dan perilakunya. Mereka sering mencampuri urusan rumah tangga anak mereka sehingga anak membawa kepada padah bercerai-berai. Namun tidak dinafikan bahawa sikap bergadang dan keras hati bernafsukan kemarahan berpunca daripada salah tanggapan melibatkan rasa tidak puas hati  kedua-dua belah pihak yang terlibat.
Masyarakat sekeliling juga dilihat berperanan mengeruhkan suasana dan  hubungan diantara mentua dan menantu. Mereka melemparkan pelbagai persepsi negatif terhadap kedua-duanya. Ada kalangan tertentu yang memanaskan keadaan dengan bertindak sebagai batu api yang menyembunyikan peranan mereka.  
 Ada ahli masyarakat yang beranggapan bahawa  kalau ingin melihat rumah tangga pasangan yang baru kahwin itu bahagian maka mentua harus diasingkan. Lebih parah keadaanya apabila menantu dilarang mewujudkan hubungan yang baik dengan mentua sebagai petua menjaga keharmonian rumah tangga. Ada yang menyebut bahawa mentua tidak boleh dibawa tinggal bersama  dengan anak menantu. Banyak lagi tanggapan negatif yang disebarkan dan amat menghairankan apabila ianya mudah  dipercayai dan diterima oleh pasangan yang baru berkahwin. Persepsi yang tidak baik ini jika dibiarkan berupaya  membunuh mesra diantara mentua dan menantu.
Setiap keluarga mempunyai budaya kehidupan keluarga yang tersendiri. Begitu halnya antara menantu dan mentua yang tentunya memiliki  cara dan kaedah pengurusan kehidupan keluarga yang berbeza. Contohnya, cara pengurusan kehidupan bandar berbeza dengan cara pengurusan hidup di kampong. Perbezaan yang ketara biasanya melibatkan status keluarga, status pendidikan, pegangan agama, pengalaman peribadi dan gaya interaksi yang menjurus kepada pembentukan karektor, sikap dan gaya pembawaan seseorang individu bilamana berhadapan dengan sesuatu masalah.
            Jangan mudah bersikap negatif dan saling menyalahkan apabila berlakunya  ombakan perasaan tidak puashati dalam keluarga berkaitan. Usah menyalahkan antara satu sama lain lantas bertindak  bermusuhan antara mentua dengan menantu. Sebaik penyelesaian ialah belajarlah sedikit demi sedikit melihat sesuatu permasalahan secara objektif. Mulakan dengan mengubah pola pemikiran kita sendiri. Hal ini berkait rapat kerana pasangan yang mempunyai sikap prejudis di dalam diri.
Melayan sikap yang negatif yang membiak dalam diri kita menyebabkan kita sering menyalahkan orang lain. Dengan mudah kita memustuskan hubungan silaturrahim semata-mata kerana nafsu dan sikap buruk kita sendiri. Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabda Baginda  Sesungguhnya rahmat Allah tidak turun pada kaum yang adapadanya orang-orang yang memutuskan silaturrahim.” (Riwayat Ahmad)
          Rasulullah SAW telah menekankan bahawa derhaka kepada orang tua adalah salah satu dosa besar setelah menyekutukan Allah SWT. Sabda Baginda  Adakah kalian mahu kuberitahu tentang dosa-dosa yang besar?”. Para sahabat menjawab: “Kami mahu, wahai Rasulullah SAW”. Rasulullah SAW bersabda: “menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sementara mentua pula sewajarnya menghormati apa jua keputusan anak dan menantu dengan mengiktiraf kedewasaannya. Mentua seberapa upaya hendakalah cuba memahami kehendak dan keperluan mereka.Tiada salahnya kita mendengar pendapat anak dan menantu kita lebih-lebih lagi zaman kita berbeza dengan zaman yang dilaluinya kini. Selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum dan prinsip agama maka kita sebagai mentua tidak ada sebab dan alasan untuk menolak apa jua cadangan untuk  kebaikan anak menantu kita.

Mentua hendaklah kita berperanan sebagai insan yang boleh membantu mengembirkan kehidupan anak menantu. Sewajarnya kita mengambil berat tentang keadaan anak dan menantu untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap keduanya, lebih-lebih lagi kepada cucu kita yang  dihasilkan oleh zuriat mereka. Berkongsi pengalaman dengan bercerita dan berkongsi idea serta mendapatkan pandangan daripada menantu dalam apa-apa isu keluarga yang bersesuaian adalah pendekatan terbaik merapatkan hubungan diantara mentua dan menantu.
Sewajarnya menantu juga menunjukkan sikap yang baik, mudah mesra dan bertolak ansur dengan mentua.  Sikap tolak ansur ini adalah amalan yang terpuji dalam agama kerana menghapuskan sifat mementingkan diri sendiri. Hari ini kita mengamalkan sikap bertolak ansur  terhadap mentua kita.
Suatu masa nanti bakal menantu kita akan meneruskan sikap dan amalan yang sama terhadap kita. Sekurang-kurangnya kita boleh berkongsi memahami  jiwa dan perasaan orang tua yang sangat sensitif dan mudah tersentuh itu. Yakinlah bahawa kita juga akan mengambil alih tempat mereka dengan alunan perasaan yang sama terhadap menantu yang bakal hadir sebagai penyeri dalam kehidupan kita nanti.