MENGHORMATI MENTUA BERMAKNA JANGAN MENDERHAKAINYA
Selesai sahaja majlis akad nikah, setiap pasangan tanpa disedari telah menambahkan ahli baru dalam kehidupan indah mereka iaitu mentua. Manakala di pihak mentua pula dengan senyum semanis kurma telah menyambut mesra kehadiran menantu mereka.
Islam meletakkan status dan kedudukan yang tinggi terhadap kedua ibu bapa termasuk mentua kita . Tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan oleh menantu, terutamanya menantu lelaki. Mengabaikan tanggungjawab terhadap mertua bagaikan mengabaikan ibu bapa kita sendiri. Ajaran agama kita dengan jelas menyatakan bahawa kita tidak akan terbatal wuduk dengan mentua kita. Rasulullah SAW ada ada menyatakan kedudukan mentua melalui sabda Baginda yang bermaksud “Ibu mentua kedudukannya adalah sebagai ibu “ ( Riwayat At-Tirmidzi dan Ahmad)
Taraf dan penghormatan kita terhadap mentua sama seperti ibu bapa kita sendiri. Sememangnya kita ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kepada mereka atas sifat sebagai menantunya. Selagi ditanam perasaan asing dalam pemikiran dengan menganggap mentua adalah ibubapa kelas kedua maka selagi itulah ruang terbuka untuk menanam rasa curiga dan irihati sentiasa.
Kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap mentua. Jika tanggungjawab itu diabaikan pastinya isteri kepada seorang suami menjadi tidak selesa bilamana ibu bapanya telah diabaikan suami. Tegasnya, kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama kedudukannya. Tidak akan rugi apa-apa seandainya kita berbuat baik kepada mereka. Pepatah Arab ada menyebut yang bermaksud " Buatlah baik kepada manusia nescaya kamu dapat mengabdikan hati mereka."
Bagi sesetengah pasangan, permasalahan hubungan antara menantu dan mentua kerap menjadi punca timbulnya konflik suami dan isteri. Meskipun di zaman ini sudah banyak pasangan yang tidak tinggal serumah dengan mentua, namun bukan bererti bahawa masalah menantu dan mertua telah berakhir. Ada sesetengah menantu dan mentua terpaksa adakan gencatan senjata berpunca daripada perang dingin yang berpanjangan.
Mutakhir ini semakin ramai yang salah tanggap mengenai tanggungjawab sebenar seorang menantu terhadap mertuanya. Manifestasi tersebut telah membawa kepada rasa kurang hormat terhadap mertua. Sedangkan agama menuntut agar mereka wajib di hormati sepertimana penghormatan terhadap ibu bapa kita sendiri. Tambahan pula dikala usia tua mereka yang memerlukan pen jagaan kita . Allah berfirman didalam Al Quran yang bermaksud “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Nya dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkahlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil” (Surah Al-Israa’: 23-24)
Apabila wujudnya rasa kurang rasa hormat dan menurunya nilai tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan perasaan dukacita terpancar dihati mereka. Menantu lelaki terutamanya mempunyai tanggungjawab yang berat terhadap mertua berbeza dengan menantu perempuan. Kalau seorang wanita perlu meletakkan suami sebagai individu yang perlu dihormati dan ditaati selepas Allah dan Rasul, bagi lelaki pula dalam konteks menantu dan mertua, mereka wajib menghormati ibu mentua lalu diikuti dengan bapa mentua.
Perasaan kasih sebagai anak sendiri mesti ditanam kukuh dalam jiwa dan perasaan setiap mentua terhadap menantunya. Memberi layanan kelas kedua terhadap menantu akan mengheret dilema kebencian menantu kepada mentuannya secara berterusan. Ditokok tambah dengan masalah kecil yang dicantumkan untuk mempertahankan rasa permusuhan tersebut.
Sekiranya ada apa-apa masalah yang timbul melibatkan menteua dan menantu, terutama dalam tempoh penyesuaian cara hidup baru maka perbincangan secara keluarga perlu dihidupkan. Mentua sebagai orang lama yang banyak merasai asam garam kehidupan hendaklah bertindak matang sesuai dengan status dan kedudukannya, tanpa menggunapakai kuasa mutlak dalam apa jua tindakan.
Tidak dinafikan ada kalangan mentua yang cerewet sifat dan perilakunya. Mereka sering mencampuri urusan rumah tangga anak mereka sehingga anak membawa kepada padah bercerai-berai. Namun tidak dinafikan bahawa sikap bergadang dan keras hati bernafsukan kemarahan berpunca daripada salah tanggapan melibatkan rasa tidak puas hati kedua-dua belah pihak yang terlibat.
Masyarakat sekeliling juga dilihat berperanan mengeruhkan suasana dan hubungan diantara mentua dan menantu. Mereka melemparkan pelbagai persepsi negatif terhadap kedua-duanya. Ada kalangan tertentu yang memanaskan keadaan dengan bertindak sebagai batu api yang menyembunyikan peranan mereka.
Ada ahli masyarakat yang beranggapan bahawa kalau ingin melihat rumah tangga pasangan yang baru kahwin itu bahagian maka mentua harus diasingkan. Lebih parah keadaanya apabila menantu dilarang mewujudkan hubungan yang baik dengan mentua sebagai petua menjaga keharmonian rumah tangga. Ada yang menyebut bahawa mentua tidak boleh dibawa tinggal bersama dengan anak menantu. Banyak lagi tanggapan negatif yang disebarkan dan amat menghairankan apabila ianya mudah dipercayai dan diterima oleh pasangan yang baru berkahwin. Persepsi yang tidak baik ini jika dibiarkan berupaya membunuh mesra diantara mentua dan menantu.
Setiap keluarga mempunyai budaya kehidupan keluarga yang tersendiri. Begitu halnya antara menantu dan mentua yang tentunya memiliki cara dan kaedah pengurusan kehidupan keluarga yang berbeza. Contohnya, cara pengurusan kehidupan bandar berbeza dengan cara pengurusan hidup di kampong. Perbezaan yang ketara biasanya melibatkan status keluarga, status pendidikan, pegangan agama, pengalaman peribadi dan gaya interaksi yang menjurus kepada pembentukan karektor, sikap dan gaya pembawaan seseorang individu bilamana berhadapan dengan sesuatu masalah.
Jangan mudah bersikap negatif dan saling menyalahkan apabila berlakunya ombakan perasaan tidak puashati dalam keluarga berkaitan. Usah menyalahkan antara satu sama lain lantas bertindak bermusuhan antara mentua dengan menantu. Sebaik penyelesaian ialah belajarlah sedikit demi sedikit melihat sesuatu permasalahan secara objektif. Mulakan dengan mengubah pola pemikiran kita sendiri. Hal ini berkait rapat kerana pasangan yang mempunyai sikap prejudis di dalam diri.
Melayan sikap yang negatif yang membiak dalam diri kita menyebabkan kita sering menyalahkan orang lain. Dengan mudah kita memustuskan hubungan silaturrahim semata-mata kerana nafsu dan sikap buruk kita sendiri. Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabda Baginda “ Sesungguhnya rahmat Allah tidak turun pada kaum yang adapadanya orang-orang yang memutuskan silaturrahim.” (Riwayat Ahmad)
Rasulullah SAW telah menekankan bahawa derhaka kepada orang tua adalah salah satu dosa besar setelah menyekutukan Allah SWT. Sabda Baginda “Adakah kalian mahu kuberitahu tentang dosa-dosa yang besar?”. Para sahabat menjawab: “Kami mahu, wahai Rasulullah SAW”. Rasulullah SAW bersabda: “menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sementara mentua pula sewajarnya menghormati apa jua keputusan anak dan menantu dengan mengiktiraf kedewasaannya. Mentua seberapa upaya hendakalah cuba memahami kehendak dan keperluan mereka.Tiada salahnya kita mendengar pendapat anak dan menantu kita lebih-lebih lagi zaman kita berbeza dengan zaman yang dilaluinya kini. Selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum dan prinsip agama maka kita sebagai mentua tidak ada sebab dan alasan untuk menolak apa jua cadangan untuk kebaikan anak menantu kita.
Mentua hendaklah kita berperanan sebagai insan yang boleh membantu mengembirkan kehidupan anak menantu. Sewajarnya kita mengambil berat tentang keadaan anak dan menantu untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap keduanya, lebih-lebih lagi kepada cucu kita yang dihasilkan oleh zuriat mereka. Berkongsi pengalaman dengan bercerita dan berkongsi idea serta mendapatkan pandangan daripada menantu dalam apa-apa isu keluarga yang bersesuaian adalah pendekatan terbaik merapatkan hubungan diantara mentua dan menantu.
Sewajarnya menantu juga menunjukkan sikap yang baik, mudah mesra dan bertolak ansur dengan mentua. Sikap tolak ansur ini adalah amalan yang terpuji dalam agama kerana menghapuskan sifat mementingkan diri sendiri. Hari ini kita mengamalkan sikap bertolak ansur terhadap mentua kita.
Suatu masa nanti bakal menantu kita akan meneruskan sikap dan amalan yang sama terhadap kita. Sekurang-kurangnya kita boleh berkongsi memahami jiwa dan perasaan orang tua yang sangat sensitif dan mudah tersentuh itu. Yakinlah bahawa kita juga akan mengambil alih tempat mereka dengan alunan perasaan yang sama terhadap menantu yang bakal hadir sebagai penyeri dalam kehidupan kita nanti.
No comments:
Post a Comment