Monday, November 1, 2010

Pemimpin Amanah Tidak Menjual Harga Diri

(Memilih ketua tidak boleh dibuat secara mudah, kaedah wajar diikuti)

ISLAM dan pemimpin tidak boleh dipisahkan. Memilih pemimpin dalam Islam adalah diutamakan. Ketika masyarakat Islam di Madinah berdepan peristiwa kewafatan Rasulullah SAW, isu yang hangat diperkatakan, selain menguruskan pemakamannya ialah pencarian pengganti Baginda sebagai pemimpin ummah.
Pemilihan pemimpin untuk menggantikan tempat Baginda dibuat ketika persiapan menguruskan jenazah Rasulullah SAW yang diketuai Saidina Ali Abi Talib ra dengan bantuan sahabat, tetapi belum selesai.
Maknanya, Islam tidak mengambil jalan pintas soal pengurusan dan pentadbiran negara. Memilih pemimpin mengikut Islam tidak boleh dibuat secara mudah. Islam mempunyai kaedah dan ciri pemimpin yang digariskan untuk diikuti penganutnya.
Memang betul, dalam amal ibadat, umat Islam komited mematuhi garis panduan dan tatacara yang ditetapkan tanpa ada perbezaan fikrah. Mengapakah apabila sampai masa untuk kita memilih pemimpin, garis panduan dan ciri yang diberikan agama seperti diketepikan.
Apabila kita diminta memilih pemimpin, sebahagian daripada kita lebih mengutamakan nafsu dan pemikiran sendiri. Sebahagiannya membenarkan penjajahan dilakukan ke atas akal budi mereka. Suatu amalan yang amat hina dan mengaibkan. Alangkah indahnya Islam seandainya penganutnya dapat membuat pilihan bijak dengan memilih pemimpin yang digariskan kriterianya oleh Islam.
Islam tidak pernah membenarkan individu untuk menonjolkan dirinya kepada orang lain supaya diangkat dirinya menjadi pemimpin. Apatah lagi individu berkenaan dibaluti riak dan kebesaran diri tetapi secara bijak menyembunyikannya. Seperti juga imam solat, pemimpin, sama ada ditunjuk atau menawarkan diri jika difikirkan layak selepas menyedari mampu dan berupaya untuk memimpin.
Jangan mengangkat seseorang pemimpin kerana kepentingan peribadi dengan mengetepikan peluang dan hak orang lain yang lebih layak. Jangan menggunakan wang ringgit dan kekayaan untuk mempengaruhi orang lain supaya mengangkat diri kita sebagai pemimpin.
Seorang yang kononnya ikhlas menawarkan diri sebagai pemimpin tidak akan menipu dan memudaratkan orang lain dengan sewenang-wenangnya. Maksudnya, mempengaruhi orang lain secara tidak sihat dan orang dipengaruhinya akan menjadi rosak hati dan budi disebabkan pengaruh terbabit.
Prinsip Islam menggariskan bahawa pemimpin yang dipilih mestilah di kalangan orang beramanah. Beramanah maknanya tidak mengkhianati tanggungjawab yang diberikan. Pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan sesuatu amanah itu mesti menjalankannya dengan betul dan benar.
Allah SWT memberi amaran kepada orang yang melampaui batas iaitu mereka yang melakukan penipuan, berkepentingan dan tidak beramanah. Amanah bukan satu keistimewaan tetapi tanggungjawab yang mesti dipikul dengan takwa. Jangan jadi pengkhianat kepada amanah yang diberikan. Ia menentukan corak dan pencapaian masa depan masyarakat yang dipimpinnya.
Pemimpin dipilih tidak boleh melepaskan dirinya daripada menunaikan amanah dipertanggungjawabkan kepadanya. Amanah ini mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicampuradukkan dengan pelbagai elemen yang boleh merosakkan.
Setiap pemimpin mesti menunaikan amanah dan kepercayaan yang diberikan kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang beriman. Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasulnya. (Janganlah) mengkhianati amanah kamu sedangkan kamu mengetahui (salahnya)” � (Al-Anfaal : 27)
Mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin perlu menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan sempurna. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara ia melakukannya dengan tekun memperbaiki dan mempertingkatkannya.”
Kepemimpinan dipilih mestilah daripada kalangan mereka yang mantap dan berkebolehan. Ciri-ciri ini penting kepada mereka yang akan menjalankan kewajipan dan pertanggungjawaban. Islam menganggap kecacatan dan kelalaian terhadap tanggungjawab dalam menjalankan sesuatu kerja yang diamanahkan akan memberi kesan kepincangan, kerosakan dan kemusnahan.
Kegagalan mempraktikkan dan kemantapan kepemimpinan bermakna pemimpin yang dipilih itu mendedahkan dirinya kepada kelemahan pengurusan dan pentadbiran yang secara langsung memberi kesan kepada masyarakat dan negara.
Masyarakat inginkan pemimpin yang boleh menjalankan tugas dengan adil, saksama dan penuh kasih sayang kepada masyarakat yang dipimpinnya. Adil bermakna meletakkan sesuatu pada haknya. Saksama bermakna tidak memilih kelompok dan kumpulan tertentu yang biasanya berada di sekeliling pemimpin terbabit.
Perasaan sayang berkaitan dengan naluri seorang ketua. Bapa menyayangi semua anaknya. Seorang raja menyayangi rakyatnya. Sifat adil, saksama dan saling menyayangi sesama manusia sebenarnya satu syarat untuk mendapat rahmat Allah. Sifat ini tidak boleh dilihat secara terasing daripada prinsip lain.
Misalnya, ketika Rasulullah SAW menjadi pentadbir Madinah, Baginda menguruskan negara secara adil dan saksama walaupun masyarakat ketika itu mempunyai komposisi puak (bangsawan), keturunan dan agama berbeza. Adunan daripada tiga dimensi ini dapat melahirkan sifat tolong menolong dan kasih sayang antara mereka.
Islam menggalakkan pemimpin yang akan dipilih hendaklah di kalangan mereka yang boleh bekerja secara jemaah.
Pemimpin yang baik akan bekerja bersama-sama orang dipimpinnya. Pemimpin yang cuma bertindak untuk mengarahkan tanpa bersedia untuk bersama menjalankan tanggungjawab akan merosakkan kredibiliti pemimpin itu sendiri.
Asas ditetapkan itu akan menjadi lebih kukuh seperti sebuah binaan. Inilah rahsia kekuatan berpasukan seperti anjuran agama. Ertinya, pemimpin yang tidak boleh bekerja sebagai satu pasukan mestilah bersedia untuk mengundurkan diri dengan memberi peluang kepada orang lain yang boleh berkongsi tanggungjawab.
Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang boleh dan tahu merancang. Islam menyarankan supaya perancangan dibuat sebelum sesuatu perkara dilaksanakan. Sebagai contoh, penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat ke Madinah dilakukan secara berperancangan bagi membolehkan persiapan strategi untuk menghadapi ancaman musuh.
Pemimpin tidak mempunyai daya merancang (misi dan visi) menyerlahkan kelemahan daya pengurusan dan pentadbirannya. Peranan pemimpin bukan saja dapat menjangkakan kejadian akan datang tetapi membuat persiapan bagi menghadapinya lebih awal. Tindakan secara tergesa-gesa akan memberi padah buruk dan boleh menghancurkan negara.
Segala bentuk pengawasan dan tindakan susulan adalah ciri-ciri pengurusan dipentingkan Islam.
Pemimpin layak dipilih bukan pemimpin yang ada kepentingan lain selain kesediaannya menyumbang ke arah pembangunan agama, bangsa dan negaranya. Individu yang menjual harga diri untuk berebut menjadi pemimpin dibimbangi akan memanfaatkan kesempatan untuk mengaut keuntungan secara melampau sehingga merosakkan diri dan sahsiahnya seandainya dipilih nanti. Kaedah yang digariskan Islam mampu menyelesaikan masalah pencarian pemimpin terbaik.

No comments:

Post a Comment