Monday, November 1, 2010

Pemimpin Amanah Tidak Menjual Harga Diri

(Memilih ketua tidak boleh dibuat secara mudah, kaedah wajar diikuti)

ISLAM dan pemimpin tidak boleh dipisahkan. Memilih pemimpin dalam Islam adalah diutamakan. Ketika masyarakat Islam di Madinah berdepan peristiwa kewafatan Rasulullah SAW, isu yang hangat diperkatakan, selain menguruskan pemakamannya ialah pencarian pengganti Baginda sebagai pemimpin ummah.
Pemilihan pemimpin untuk menggantikan tempat Baginda dibuat ketika persiapan menguruskan jenazah Rasulullah SAW yang diketuai Saidina Ali Abi Talib ra dengan bantuan sahabat, tetapi belum selesai.
Maknanya, Islam tidak mengambil jalan pintas soal pengurusan dan pentadbiran negara. Memilih pemimpin mengikut Islam tidak boleh dibuat secara mudah. Islam mempunyai kaedah dan ciri pemimpin yang digariskan untuk diikuti penganutnya.
Memang betul, dalam amal ibadat, umat Islam komited mematuhi garis panduan dan tatacara yang ditetapkan tanpa ada perbezaan fikrah. Mengapakah apabila sampai masa untuk kita memilih pemimpin, garis panduan dan ciri yang diberikan agama seperti diketepikan.
Apabila kita diminta memilih pemimpin, sebahagian daripada kita lebih mengutamakan nafsu dan pemikiran sendiri. Sebahagiannya membenarkan penjajahan dilakukan ke atas akal budi mereka. Suatu amalan yang amat hina dan mengaibkan. Alangkah indahnya Islam seandainya penganutnya dapat membuat pilihan bijak dengan memilih pemimpin yang digariskan kriterianya oleh Islam.
Islam tidak pernah membenarkan individu untuk menonjolkan dirinya kepada orang lain supaya diangkat dirinya menjadi pemimpin. Apatah lagi individu berkenaan dibaluti riak dan kebesaran diri tetapi secara bijak menyembunyikannya. Seperti juga imam solat, pemimpin, sama ada ditunjuk atau menawarkan diri jika difikirkan layak selepas menyedari mampu dan berupaya untuk memimpin.
Jangan mengangkat seseorang pemimpin kerana kepentingan peribadi dengan mengetepikan peluang dan hak orang lain yang lebih layak. Jangan menggunakan wang ringgit dan kekayaan untuk mempengaruhi orang lain supaya mengangkat diri kita sebagai pemimpin.
Seorang yang kononnya ikhlas menawarkan diri sebagai pemimpin tidak akan menipu dan memudaratkan orang lain dengan sewenang-wenangnya. Maksudnya, mempengaruhi orang lain secara tidak sihat dan orang dipengaruhinya akan menjadi rosak hati dan budi disebabkan pengaruh terbabit.
Prinsip Islam menggariskan bahawa pemimpin yang dipilih mestilah di kalangan orang beramanah. Beramanah maknanya tidak mengkhianati tanggungjawab yang diberikan. Pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan sesuatu amanah itu mesti menjalankannya dengan betul dan benar.
Allah SWT memberi amaran kepada orang yang melampaui batas iaitu mereka yang melakukan penipuan, berkepentingan dan tidak beramanah. Amanah bukan satu keistimewaan tetapi tanggungjawab yang mesti dipikul dengan takwa. Jangan jadi pengkhianat kepada amanah yang diberikan. Ia menentukan corak dan pencapaian masa depan masyarakat yang dipimpinnya.
Pemimpin dipilih tidak boleh melepaskan dirinya daripada menunaikan amanah dipertanggungjawabkan kepadanya. Amanah ini mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicampuradukkan dengan pelbagai elemen yang boleh merosakkan.
Setiap pemimpin mesti menunaikan amanah dan kepercayaan yang diberikan kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang beriman. Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasulnya. (Janganlah) mengkhianati amanah kamu sedangkan kamu mengetahui (salahnya)” � (Al-Anfaal : 27)
Mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin perlu menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan sempurna. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara ia melakukannya dengan tekun memperbaiki dan mempertingkatkannya.”
Kepemimpinan dipilih mestilah daripada kalangan mereka yang mantap dan berkebolehan. Ciri-ciri ini penting kepada mereka yang akan menjalankan kewajipan dan pertanggungjawaban. Islam menganggap kecacatan dan kelalaian terhadap tanggungjawab dalam menjalankan sesuatu kerja yang diamanahkan akan memberi kesan kepincangan, kerosakan dan kemusnahan.
Kegagalan mempraktikkan dan kemantapan kepemimpinan bermakna pemimpin yang dipilih itu mendedahkan dirinya kepada kelemahan pengurusan dan pentadbiran yang secara langsung memberi kesan kepada masyarakat dan negara.
Masyarakat inginkan pemimpin yang boleh menjalankan tugas dengan adil, saksama dan penuh kasih sayang kepada masyarakat yang dipimpinnya. Adil bermakna meletakkan sesuatu pada haknya. Saksama bermakna tidak memilih kelompok dan kumpulan tertentu yang biasanya berada di sekeliling pemimpin terbabit.
Perasaan sayang berkaitan dengan naluri seorang ketua. Bapa menyayangi semua anaknya. Seorang raja menyayangi rakyatnya. Sifat adil, saksama dan saling menyayangi sesama manusia sebenarnya satu syarat untuk mendapat rahmat Allah. Sifat ini tidak boleh dilihat secara terasing daripada prinsip lain.
Misalnya, ketika Rasulullah SAW menjadi pentadbir Madinah, Baginda menguruskan negara secara adil dan saksama walaupun masyarakat ketika itu mempunyai komposisi puak (bangsawan), keturunan dan agama berbeza. Adunan daripada tiga dimensi ini dapat melahirkan sifat tolong menolong dan kasih sayang antara mereka.
Islam menggalakkan pemimpin yang akan dipilih hendaklah di kalangan mereka yang boleh bekerja secara jemaah.
Pemimpin yang baik akan bekerja bersama-sama orang dipimpinnya. Pemimpin yang cuma bertindak untuk mengarahkan tanpa bersedia untuk bersama menjalankan tanggungjawab akan merosakkan kredibiliti pemimpin itu sendiri.
Asas ditetapkan itu akan menjadi lebih kukuh seperti sebuah binaan. Inilah rahsia kekuatan berpasukan seperti anjuran agama. Ertinya, pemimpin yang tidak boleh bekerja sebagai satu pasukan mestilah bersedia untuk mengundurkan diri dengan memberi peluang kepada orang lain yang boleh berkongsi tanggungjawab.
Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang boleh dan tahu merancang. Islam menyarankan supaya perancangan dibuat sebelum sesuatu perkara dilaksanakan. Sebagai contoh, penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat ke Madinah dilakukan secara berperancangan bagi membolehkan persiapan strategi untuk menghadapi ancaman musuh.
Pemimpin tidak mempunyai daya merancang (misi dan visi) menyerlahkan kelemahan daya pengurusan dan pentadbirannya. Peranan pemimpin bukan saja dapat menjangkakan kejadian akan datang tetapi membuat persiapan bagi menghadapinya lebih awal. Tindakan secara tergesa-gesa akan memberi padah buruk dan boleh menghancurkan negara.
Segala bentuk pengawasan dan tindakan susulan adalah ciri-ciri pengurusan dipentingkan Islam.
Pemimpin layak dipilih bukan pemimpin yang ada kepentingan lain selain kesediaannya menyumbang ke arah pembangunan agama, bangsa dan negaranya. Individu yang menjual harga diri untuk berebut menjadi pemimpin dibimbangi akan memanfaatkan kesempatan untuk mengaut keuntungan secara melampau sehingga merosakkan diri dan sahsiahnya seandainya dipilih nanti. Kaedah yang digariskan Islam mampu menyelesaikan masalah pencarian pemimpin terbaik.

Thursday, October 14, 2010

Hijrah Elok Jadi Iltizam Sambutan Tahun Baru

(Umat Islam digalak perbaiki akhlak, contohi perjuangan Rasulullah setiap 1 Muharam)


Umumnya  hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah SAW berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.
Mengenai hijrah ke Yathrib, Rasulullah SAW ada menceritakan dalam hadisnya yang bermaksud:
“Aku melihat dalam tidurku aku berhijrah dari Makkah ke satu tanah yang banyak pokok kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar, rupa-rupanya ia adalah Madinah, iaitu Yathrib.” – (Hadis riwayat Bukhari)
Hijrah mempunyai nilai yang tinggi untuk diletakkan harganya, bukan kerana disambut setiap tahun oleh masyarakat Islam di negara ini melalui pelbagai atur cara, lebih dari itu ialah nilai penghayatan yang tersirat dan dipancarkan melalui pengertian penghijrahan itu sendiri.

Nilai penghijrahan yang mesti dihayati itu mempunyai nilai darjatnya yang tinggi di sisi Allah. Penghijrahan mesti dilakukan kerana Allah seperti mana yang diakui Nabi Allah Ibrahim, yang sedia patuh dan tunduk kepada Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku akan berpindah ke tempat yang diperintahkan oleh Tuhan.” – (Surah al-Ankabut, ayat 26)
Penghijrahan Rasulullah SAW hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif membabitkan perancangan strategik dengan melihat ruang dan peluang di tempat baru. Hijrah dilakukan semestinya kerana Allah, demi mendapatkan keredaan-Nya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Maka orang yang berhijrah, yang diiusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Aku hapuskan kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah, pada sisinya pahala yang baik.” – (Surah Ali-Imran, ayat 195)
Sebenarnya, urutan peristiwa Penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Yathrib ini bermula apabila pemuka-pemuka Quraisy yang diketuai Abu Jahal berasa tercabar dengan penyebaran Islam di Kota Makkah dalam tempoh 13 tahun itu.

Sepanjang tempoh tersebut mereka telah melakukan pelbagai bentuk seksaan dan kezaliman terhadap Muslimin untuk menanggalkan Islam dalam tubuh mereka. Anak isteri dipisahkan, harta benda dirampas, nyawa diragut, dipukul dan diseksa dengan seksaan yang begitu dahsyat dan mengerikan, namun tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu tidak berjaya juga menghalang kebangkitan Islam yang semakin luas penyebarannya dari sehari ke sehari.

Pemuka Quraisy yang mewakili kabilah masing-masing telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 26 Safar tahun ke 14 kenabian bertempat di Darul Nadwah bagi membincangkan langkah yang akan diambil untuk memusnahkan Islam. Di dalam persidangan itu iblis turut menghadirinya dengan menyamar sebagai Syeikh An-Najd (seorang tua dari Najd) yang turut memberi cadangan dan usul yang jahat.

Persidangan itu akhirnya berakhir dengan menerima cadangan dari Abu Al-Aswad agar Rasulullah SAW dibuang negeri dan kemudian menerima pula cadangan dari Abu Al-Buktari yang mencadangkan agar Rasulullah SAW dipenjarakan.

Allah SWT telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril mengenai pakatan jahat itu dan memerintahkan agar Rasulullah saw berhijrah ke Yathrib. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan ingatlah wahai Muhammad, ketika orang bukan Islam Makkah menjalankan tipu daya ke atasmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka, kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya” – (Surah Al-Anfal, ayat 30).
Rasulullah SAW telah memberitahu sahabat karibnya, Abu Bakar As-Siddiq mengenai makluman dan perintah dari Allah SWT itu dan membuat persiapan dan perancangan untuk berhijrah dari tanah kelahirannya itu.

Ringkasnya, Rasulullah SAW telah memerintahkan Saidina Ali bin Abi Talib, agar berbaring menggantikannya di tempat pembaringan dan menyampaikan beberapa pesanan dan amanah kepada Ali. Helah yang dilakukan oleh Baginda ini berjaya memperdayakan pengintip Quraisy yang telah mengintai tempat pembaringan Rasulullah SAW dan melihat sekujur tubuh sedang tidur yang disangkakan Rasulullah SAW itu. Rasulullah SAW telah berjaya melarikan diri dari kepungan Quraisy tanpa disedari oleh mereka walaupun seorang pun.

Rasulullah SAW bersama Abu Bakar bertolak ke arah selatan menuju ke Gua Thur dan bermalam di dalamnya selama tiga malam. Dalam tempoh itu, Asma dan Aisyah membawa bekalan makanan manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik bagi mendengar sebarang berita atau perancangan dari pembesar Musyrikin dan Amir bin Fuhaira’ pula mengembala kambing di sepanjang laluan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar bagi menghapuskan kesan-kesan perjalanan mereka berdua itu. Sewaktu Rasulullah SAW dan Abu Bakar berada di Gua Thur ini telah berlaku beberapa mukjizat iaitu wujudnya sarang labah-labah di depan gua dan sebagainya sehingga tidak dapat dikesan oleh pihak musuh.

Pihak Quraisy yang kecewa akibat tidak berjaya menangkap mereka berdua telah mengumumkan beberapa tawaran istimewa berupa ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya memberkas dua orang pelarian yang amat dikehendaki itu. Tawaran ini telah berjaya menarik minat Suraqah bin Malik yang berjaya mengesan jejak mereka berdua dan mengejarnya dari belakang.

Namun impiannya untuk mendapatkan 100 ekor unta itu berkecai akibat beliau dan kudanya tersungkur rebah ke tanah.

Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq meneruskan perjalanan mereka berdua melalui beberapa perkampungan di antaranya Tihama dan melintasi padang pasir yang luas dalam keadaan panas terik yang membakar padang pasir Sahara. Perjalanan yang penuh dengan kesusahan dan keperitan dengan melintasi padang pasir, batu kapur, lembah curam, binatang berbisa, kedinginan malam hari dan pelbagai tribulasi yang menguji Rasulullah dan rombongan penganut Islam. Segala bentuk kepayahan itu berjaya diharungi dengan hanya berbekalkan keimanan, ketabahan, kesabaran, kepatuhan yang tinggi kepada Allah SWT.

Akhirnya Rasulullah SAW bersama Abu Bakar tiba di Quba’ pada Isnin 8 Rabiulawal tahun ke-14 Kenabiaan, sebahagian ulama mengatakan hari itu bertepatan dengan 12 Rabiulawal. Baginda menetap di situ selama empat hari dan mendirikan Masjid Quba’.

Maka pada 24 September 622M bergemalah alunan merdu Thola’al Badrul Alaina yang dialunkan sebagai meraikan selamat datang rombongan Rasulullah SAW dengan penuh gembira. Tanpa disangka dan tanpa diduga, golongan Ansar yang dahulunya berperang sesama mereka tetapi akhirnya menerima agama yang menyatukan hati-hati mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Barang siapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka diberinya pengertian ad-din” – (Hadis riwayat Bukhari).
Kehadiran Islam menyatukan hati yang bersengketa bagi membentuk wahdatul qalb. Islam agama sejahtera ini telah menyatukan puak Ansar yang lama bersengketa itu. Suatu rahmat yang tiada bandingannya. Rahmat keamanan yang menenggelamkan persengketaan.

Renunglah kembali pengertian penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah yang memberi nafas baru kepada suatu perubahan yang besar dalam sejarah kebangkitan ummah. Penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah misalnya adalah sekadar penghijrahan biasa saja. bagi melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Makkah dan penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib adalah penghijrahan yang dilakukan atas arahan dan perintah Allah bagi meneruskan perjuangan untuk menegak, mengukuh dan mempertahankan Islam. Firman Allah yang bermaksud:
“Maka barang siapa yang mengikut petunjuk ku, maka tiadalah dia akan tersesat dan tiada pula akan sengsara” – (surah Al-Baqarah, ayat 38)
Kalangan ulama bersepakat meletakkan peristiwa hijrah sebagai ‘zaman baru’ yang memberi ‘nafas baru’ kepada misi penyebaran Islam. Selain daripada tahun hijrah diguna pakai sebagai penanda takwim baru umat Islam, hijrah juga menandakan bermulanya method kehidupan baru melalui pembinaan semula sahsiah dan keperibadian Muslim seperti yang dibentuk dan diperkasakan agama. Perpindahan daripada amalan yang memaparkan kejahilan setelah hilang panduan hidup kepada amalan yang berasaskan disiplin agama yang berpandukan al-Quran.

Menghayati penghijrahan Rasulullah SAW bermakna menghayati falsafah kecekapan dan kepintaran strategi, kesabaran dan kecekalan, keyakinan dan ketegasan, kesungguhan dan bermatlamat. Ia membabitkan semua peringkat masyarakat yang terdiri daripada belia yang diwakili oleh Saidina Ali, golongan dewasa yang diwakili oleh Abu Bakar As Siddiq, golongan korporat yang diwakili oleh Abdul Rahman Auf, golongan wanita yang diwakili oleh Asma’ Abu Bakar. Pembabitan kalangan bukan Islam sebagai penunjuk jalan yang diwakili oleh Abdullah Uraiqit juga membantu dalam menjayakan misi penghijrahan ini.
Hari ini dan ketika ini, cerita penghijrahan Rasulullah SAW hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah.

Seperti cerita sejarah yang lain, cabaran penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah menjadi rakaman sejarah sekadar untuk dibaca sebagai bekalan bagi menjawab soalan peperiksaan. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi agama. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.” – (Hadis Riwayat Bukhari)
Kehadiran tahun Hijrah 1430 yang bakal hadir nanti diharapkan dapat mengubah persepsi Muslim berkaitan isu itu melalui iltizam yang penuh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

Perkasa Elemen Spiritual Hadapi Dugaan Kehidupan

(Semua cabaran, ujian dunia bertujuan uji kesabaran, tahap keimanan setiap umat Islam)



Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai acara yang mencabar dan penuh ujian Allah, bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada juga yang tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.
Harus diakui ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat disebabkan cabaran dan dugaan yang datang silih berganti dan setengahnya pula secara bertimpa-timpa. Ujian yang akan dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu ujian kesusahan dan ujian kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran hanya kesenangan bagi mereka yang terpedaya kalau kita hanyut dengannya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Asy-Syams, ayat 8-10)
Dalam menghadapi kedua-dua ujian itu, elemen spiritual dalam diri individu hendaklah diperkasakan bagi membantu seseorang menghadapi apa saja dalam kehidupannya, sama ada kesusahan dan kesenangan. Justeru, apa pun bentuk ujian yang melanda, perkara pokoknya adalah kita sentiasa reda dan bersyukur kepada Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan lapar (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” ( Al-Baqarah, ayat 155)
Semakin tinggi nilai keimanan seseorang itu maka semakin tinggilah tahap ujian dihadapinya. Ini termasuk ujian membabitkan Nabi dan Rasul Allah. Oleh sebab itu kita menyaksikan menjadi sunnah orang beriman untuk diuji dengan ujian yang hebat.
Firman Allah yang bermaksud:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (Al-Ankabut, ayat 2-3)
Tidak dinafikan ujian adalah pengalaman yang amat berharga dan bernilai bagi manusia. Kadangkala kita tidak boleh menerima ujian yang diserahkan kepada kita dengan menganggap bahawa Allah tidak adil, pilih kasih dan sengaja menyusahkan kehidupan kita.
Maknanya secara terbuka kita menyalahkan Allah kerana mendatangkan ujian itu. Keimanan dan ketakwaan kita lebur bila hati kita berdendam dengan prasangka buruk pada Allah berkaitan dengan perkara itu.
Sebenarnya, ujian yang kita tempuhi dapat melatih kita untuk memperoleh sifat terpuji. Sabar, reda, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah di samping mengharapkan pertolonganNya, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Allah pasti akan menguji salah seorang dari kamu dengan sesuatu kesusahan, seperti halnya salah seorang dari kamu menguji emasnya dengan api. Sebahagian dari mereka ada yang berjaya keluar dari cubaan Allah seperti emas murni dan sebahagian yang lain ada yang keluar seperti emas yang hitam.” (Riwayat Tabrani)
Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya.
Rasulullah pernah membayangkan melalui sabda Baginda bahawa:
“Akan datang suatu zaman atas umatku, bahawa mereka sangat sukakan lima perkara dan melupakan lima perkara yang berlainan dengannya. Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan, mereka sukakan rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan manusia dan melupakan Tuhan Penciptanya.” (Riwayat Bukhari)
Sesungguhnya pilihan itu terletak di tangan kita. Adakah dugaan dan ujian yang tidak berupaya untuk kita menghadapinya. Adakah kita berterusan untuk mengakui kegagalan dan menjadikan alasan itu untuk terus putus asa. Akhirnya kita menjauhkan diri kita daripada Allah atau adakah ujian dan dugaan itu akan kita hadapi melalui jiwa besar lagi perkasa.
Kita laluinya dengan rasa reda dan tunduk kepada Allah. Suatu rumusan daripada ramuan kehidupan yang akhirnya berupaya mengangkat martabat keimanan kita. Bagi orang yang dikasihi Allah, kehidupan di dunia sarat dengan ujian yang didatangkan-Nya seperti kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya.
Sekiranya kita boleh bersabar dan reda, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Firman Allah bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang yang bersabar.” (Ali Imran , ayat 142)
Sebenarnya penyelewengan akidah disebabkan kemiskinan membuatkan sebahagian para salaf berkata: “Jika kemiskinan pergi ke satu negeri maka kekufuran berkata kepadanya, bawalah aku pergi bersamamu”. Maksudnya kekufuran itu mudah mengekori seseorang yang berada dalam kemiskinan. Kita perlu berhati-hati agar tidak tergelincir daripada aqidah yang sekian lama dipertahankan.
Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak reda, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan bebanan dosa kita. Seorang pelopor gerakan tasauf, Zun Nun al-Misri berkata: “Kebanyakan manusia yang ditimpa kemiskinan berubah menjadi kafir dan sangat sedikit sekali di antara mereka yang mampu bersabar menanggung derita kemiskinan itu.”

Saturday, October 9, 2010

Peliharalah Harga Keamanan Yang Dikecapi


           

Memilihara keamanan adalah suatu yang dituntut dalam kehidupan tanpa mengira agama, bangsa, mahu pun keturunan. Nabi Ibrahim AS pada awal baginda  menginjakkan kakinya di kota Makkah, beliau berdoa kepada Allah “YaRabb-ku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian.”( Surah Al-Baqarah: 126)

Keamanan merupakan nilai yang amat berharga untuk sebuah negara yang merdeka. Percayalah bahawa setiap penduduk dalam negara yang menghadapi persengketaan dan peperangan sentiasa mengimpikan keamanan yang entah bila boleh dikembalikan
         
 Jadikan pengalaman Iraq dan Afghanistan sebagai rujukan kepada pusingan sejarah. Bukankah kehancuran Iraq berpunca daripada keyakinan rakyat mereka untuk menerima bantuan asing yang kononnya boleh memenuhi impian mereka untuk keamanan. Manakala Afghansistan pula berpunca daripada rebutan kuasa dalam negara yang mengundang padah apabila kuasa luar terlibat untuk campurtangan. Kedua-dua negara contoh itu merupakan negara Islam yang sama dengan kita namun berabad lamanya menangung derita. Sehingga rencana ini ditulis masih tiada jalan menunggu keamanan yang mutlak.
         
Kejayaan Rasulullah SAW membina negara Madinah yang berdaulat adalah hasil kesepaduan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan. Ianya  membuktikan Islam mementingkan perpaduan dan keamanan. . Inilah keindahan Islam yang sepatutnya diamalkan sebagai model yang terbaik untuk dicontohi oleh penganut bukan Islam.
         
Sebenarnya kedudukan orang-orang bukan Islam yang tidak terjejas hak mereka, dapat dilihat dengan lebih jauh dengan melihat amalan aginda, khususnya dalam Perlembagaan Madinah.  Dokumen ini merupakan bukti konkrit di mana orang-orang Islam dan bukan Islam hidup bersama-sama dan masing-masing menikmati hak mereka, sungguhpun orang-orang Islam kuat pegangan agama mereka.  Malah penghayatan mereka kepada iman dan takwa mendorong mereka untuk lebih bertanggungjawab terhadap semua anggota masyarakat termasuk yang bukan Islam.
         
Sekiranya setiap penganut agama mengambil pendekatan sederhana dan bersikap adil terhadap penganut-penganut agama lain, insya-Allah, saya percaya bahawa perpaduan dan keamanan akan dapat dikekalkan di negara kita
                  
Betapa nikmat keamanan itu amat penting dalam kehidupan turut sama dirasai oleh Nabi Ibrâhîm  bilamana baginda memulakan doanya dengan memohon keamanan untuk kota Makkah. Baginda Nabi Ibrahim tahu bahawa  keamanan adalah lambang kebahagiaan masyarakat, bangsa dan negara dan dengan keamanan akan tercapai segala kemashlahatan dan kebaikan yang diimpikan  oleh manusia.
                  
Ingatlah bahawa keamanan yang diimpikan itu akan berterusan kepada pemberian nikmat rezeki yang melimpah banyaknya sepertimana Firman Allah yang bermaksud “Dan apakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan dari segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezki (bagimu) dari sisi Kami?. Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” ( Surah Al-Qashash : 57)
         
 Allah SWT  telah memberikan nikmat keamanan kepada Tsamud, kaumnya Nabi Salleh dengan kemampuan  serta keupayaan mereka memahat gunung sebagai rumah-rumah mereka tanpa ada ketakutan dan kecemasan dan Allah melimpahkan kepada mereka akan nikmat yang  tidak terhingga banyaknya. Nikmat itu  datang silih berganti. Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan Kami jadikan antara mereka dengan negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya, beberapa negeri yang berdekatan dan Kami tetapkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kalian di kota-kota itu pada malam dan siang hari dengan aman.” (Surah  Saba` : 18)
         
Ingatlah bagaimana Nabi Allah Yusuf ketika menyambut kedua orang tua dan ahli keluarganya, beliau mengingatkan mereka akan  nikmat keamanan yang dilimpahkan Allah kepada mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud “Masuklah kalian ke negeri Mesir, Insya' Allah dalam keadaan aman.” (Surah. Yusuf : 99)
         
Nilai keamanan dan kemakmuran yang dibawa Islam adalah sesuai dengan setiap masa dan zaman. Sesuai dengan kedudukan Islam  sendiri  sebagai  agama pembawa kesejahteraan. Untuk itu sekali lagi ditegaskan ia tidak boleh dilihat sebagai agama yang mencetuskan keganasan atau menyeru ke arah pertumpahan darah sesama manusia, sedangkan masih ada ruang yang luas untuk menyebar serta menegakkan ajaran dan syiar Islam di muka bumi ini.
         
Rasulullah SAW ketika menyelesaikan masalah masyarakat Islam pada zamannya sentiasa menjuruskan kepada keamanan dan kesejahteraan. Demikian juga yang Baginda lakukan ketika berhadapan musuh-musuh Baginda. Tindakan Baginda Rasulullah dalam berdakwah umpamanya, Baginda tidak mendahulukan menghukum daripada mendidik. Rasulullah juga mementingkan aspek kemanusiaan dan tidak mendahului nafsu dan amarah dalam tindakan baginda.
         
Sewajarnya umat Islam menanamkan sikap bertolak-ansur, hormat-menghormati serta toleransi yang tinggi sesama manusia dan sekeliling mereka. Orang yang beriman dan bertakwa pastinya akan mengamalkan sikap toleransi, bekerjasama dan tolong-menolong sesama insan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan sebagainya.  Disamping membantu memastikan keseimbangan dan keharmonian hubungannya dengan dunia persekitarannya, mereka  bergaul sesama manusia dan alam sekitar dengan sebaik-baik pergaulan tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan bahasa.  
         
Apatalah lagi jika mereka tinggal bersama-sama di dalam sebuah negara yang memerlukan mereka berkerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain kerana konsep tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan membenci perkara mungkar adalah di antara teras utama  bagi mereka yang beriman.
         
Agama Islam telah ditentukan sebagai agama rasmi negara melalui Perlembagaan Persekutuan dan penduduk bukan Islam pula bebas menganut dan mengamalkan agama masing-masing.  Toleransi agama seperti ini merupakan satu pendekatan keagamaan yang jelas menjaga kepentingan Islam.Kita semacam mencontohi baginda nabi yang memberi ruang kepada penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman di Kota Madinah.
         
Kedudukan Islam yang dijaga dan dipelihara oleh Perlembagaan negara ini merupakan hadiah yang amat berharga yang perlu dipertahankan oleh masyarakat Islam di negara ini. Manakala masyarakat bukan Islam pula boleh meneruskan kehidupan biasa mereka.
         
Perbezaan yang ujud ini tidak menghalang kewujudan negara bersama orang-orang Islam dan bukan Islam.  Al-Quran dengan jelas mengiktiraf hakikat kewujudan masyarakat majmuk dalam sesebuah masyarakat.  Malah konsep kongsi kuasa sepertimana amalan Malaysia adalah tidak bercanggah dengan kaedah Siasah Assyariah yang menjadi kaedah pengurusan negara umat Islam.  Justeru itu, ianya memberi impak yang cukup besar di mana hampir tiada kacau bilau mahupun pertelingkahan yang timbul akibat daripada salah faham agama.
         
Kewujudan berbagai-bagai bangsa dan agama dapat dilihat umpamanya menerusi konsep kebebasan beragama yang diberi jaminan dalam Islam.  Orang-orang bukan Islam adalah bebas untuk menganut apa-apa kepercayaan yang dikehendaki dan tidak ada paksaan dalam memilih agama, walaupun orang-orang Islam dikehendaki menjalankan kewajipan berdakwah. 
          
 Al-Quran sendiri menegaskan semua manusia perlu diberi penghormatan dan kejadian mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan puak adalah bertujuan semata-mata supaya mereka saling mengenali , bermuafakat dan bukan untuk membenci di antara satu sama lain.
         
Sebenarnya dengan asas bernegara ini,  umat Islam memiliki tanggungjawab keagamaan untuk melindungi nyawa, harta dan kehormatan orang-orang bukan Islam.  Adalah kewajipan umat Islam agar berbuat baik dan bersahabat dengan orang bukan Islam yang tidak memusuhi agama Islam dan umat Islam.  Rasulullah SAW telah memberi amaran kepada orang-orang Islam agar tidak menzalimi dan melakukan penganiayaan terhadap orang-orang bukan Islam.  Malah penganiayaan yang terjadi dianggap sebagai menyakiti Allah  dan RasulNya.
         
Semestinya setiap penduduk saling hormat dan tidak mementingkan diri sendiri melainkan melihat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat sebagai sesuatu yang lebih utama. Manakala perpaduan yang dibina dengan ikatan tali ukhwah ini mesti ada kesinambungan sepanjang masa



Saturday, September 25, 2010

Jangan Angkuh Memiliki Kelebihan Ilmu Agama

Salah satu daripada kewajiban dalam Islam adalah tahdzibun nafs (penyucian diri) tanpa pengecualian. Meninggalkan kewajiban ini akan menyebabkan kerugian dunia dan akhirat. Kesucian hati adalah sumber segala keutamaan manakala kekotoran hati  menjurus kearah kehinaan. Akhlak yang mulia terpancar daripada manifestasi hati seseorang, termasuk juga ilmuan agama.Tidak syak lagi bahawa jiwa yang bersih akan melahirkan tingkah laku dan gerak geri yang mulia, sopan dan tertib.

Kita mungkin berasa dukacita, geram dan marah apabila mendengar ada kalangan ilmuan agama mengeluarkan kenyataan yang terlalu angkuh dan sombong berbentuk menghina terhadap  ilmuan agama yang lain, lebih-lebih lagi oleh kalangan mereka yang tidak sealiran samada dengan individu atau dengan kumpulan yang dimusuhi. Manakala bahasa yang digunakan untuk mencela dan menghina tidak mencerminkan imej meredah diri dan tawadduk mereka.

Apa yang lebih ditakuti ialah lahirnya golongan yang berilmu tetapi jumud, berani tetapi kurang ilmu, emosi tak bertempat dan berbagai lagi sifat negatif golongan agama ini tetapi mengaku bahawa mereka juga perlu diktiraf sebagai golongan ulamak yakni tergolongan dalam ilmuan agama. Ulamak seperti ini kata Muhammad al-Ghazali, biasanya menjadi tumpuan ramai, kerana gambaran zahir, berjubah singkat berani mempertikaikan segala perkara. Pertikaian remeh temeh ini subur, pada masa Islam disingkirkan dalam perkara dasar.

Syeikh Muhammad al-Ghazali pernah menegur mereka yang belajar ilmu hari Sabtu, pada hari Ahad sudah mengajar, hari Isnin sudah ditabal mahaguru atau ulama besar, hari Selasa dengan berani menegur orang lain secara lebih terbuka dan berani.

Sikap dan keinginan mendabik dada sebagai golongan yang berilmu tinggi ini boleh menimbulkan rasa angkuh dan sombong dalam diri individu berkenaan. Mereka tidak boleh dikritik apatah lagi dari kalangan yang tidak sealiran. Inilah bunga-bunga keangkuhan dan kesombongan yang mula mekar dalam diri mereka.

Buanglah jauh-jauh rasa sombong, takabbur dan angkuh yang melanda sebahagian daripada ilmuan agama kita. Imam Al-Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang itu menjadi takabur apabila ia merasakan dirinya lebih mulia daripada seekor anjing. Contohilah para sahabat seperti Umar al-Khattab RA yang begitu menghormati Abu Bakar as-Siddiq kerana menyedari hakikat kedudukan dirinya jika dibandingkan dengan Abu Bakar as-Siddiq. Sedarilah bahawa sombong itu adalah pakaian Allah SWT . Sesiapa bersikap dengan kesombongan maka ia melakukkan dosa.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merendahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takabur.” (Surah al-Sajdah: 15).

Mereka yang beriman kepada ayat-ayat Allah terdiri daripada mereka yang bersifat tidak sombong, angkuh dan takabur serta merendah diri tanpa mengecualikan golongan dan individu tertentu yang dikatakan mempunyai kedudukan dan penghormatan tinggi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”. (Riwayat Muslim)

Dalam sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah mengutamakan pendapat para Sahabat dalam persoalan pengurusan dan perancangan seperti di Badr, Uhud dan banyak lagi peristiwa yang lain. Bahkan cadangan Salman Al-farisi membina parit sebagai strategi untuk melawan musuh berakhir dengan pembinaan parit mengelilingi Madinah sewaktu perang Khandak sebagai membuktikan penghormatan Rasulullah SAW kepada pandangan para sahabat.

Dalam sebuah Hadis yang diiwayatkan oleh Imam Muslim, diceritakan satu peristiwa berhubung dengan amalan pendebungaan pokok-pokok tamar oleh orang-orang Madinah yang ditegur oleh Baginda dan mereka menghentikan amalannya kerana menghormati Rasulullah SAW.

Akhirnya hasilnya berkurangan dan apabila Rasulullah mendengar akan keadaan ini, maka bersabda Rasulullah “Saya hanya manusia biasa. Hanya apabila saya mengarahkan kamu berhubung persoalan kewajipan keagamaan sahaja perlu kamu mematuhinya, tetapi sekiranya saya menyatakan sesuatu berdasarkan pendapat saya, ianya hanya satu pandangan . Semestinya kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu”.

Maka adalah jelas bukan semua pendapat yang diutarakan Rasulullah (SAW) merupakan hukum yang tidak boleh dibincangkan atau dipertimbangkan. Sekiranya begitu kaedahnya yang telah ditunjukkan Rasulullah (SAW), maka tidak mungkin semua yang dikatakan oleh mana-mana ulama’ dalam soal pendapat dan pandangan semestinya diterima bulat-bulat seolah-olah ianya satu-satunya pandangan yang betul. Sekiranya semua yang dikatakan ulama’ dianggap bagaikan ‘wahyu’, maka kita akan kembali kepada zaman teokrasi.

Sebab itu para ilmuan Islam mesti sedar bahawa mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan dalam pelbagai disi[lin ilmu. Tidak semestinya apabila bergelar Ulama mereka seolah-olah telah menguasai semua bidang ilmu termasuk ilmu keduniaan. Pandangan mereka tidak semestinya menjadi fatwa yang tidak boleh ditegur. sebenarnya boleh ditegur kerana mungkin mereka tidak ada kepakaran dalam aspek berkenaan. Keenganan mereka, yakni ilmuan Islam atau Ulamak untuk tidak menerima sebarang teguran menjadikan mereka angkuh dan sombong. Apatah lagi melebalkan golongan yang menegur kesilapan mereka sebagai golongan yang tidak setaraf akan lebih memancarkan sikap angkuh, sombong dan takbur mereka.

Menurut Hujjatul Islam Al-Imam al-Ghazali, takabur itu buruk dan tercela. Allah SWT telah berfirman yang bermaksudnya “Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar daripada tanda-tanda Kekuasaan-Ku…” (Surah al-A‘raf : 146)

Manakala Rasulullah SAW telah bersabda “Tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya ada seberat zarah daripada takabur.” (Riwayat Muslim).

Kisah Abu Dzar patut kiranya menjadi pelajaran. Suatu ketika beliau sedang marah kepada seorang laki-laki sampai terucap, "Hai anak wanita hitam." Rasulullah mendengar hal itu, kemudian bersabda, "Wahai Abu Dzar, tidak ada keutamaan bagi kulit putih atas kulit hitam," (dalam riwayat lain ditambahkan, "melainkan karena takwa"). Mendengar hal itu Abu Dzar sangatmenyesal hingga meminta orang tadi untuk menginjak pipinya. (Riwayat Imam Ahmad)

Damaikan Pertelingkahan Secara Bijaksana

Perbezaan pendapat mengenai sesuatu isu bukanlah perkara baru yang melibatkan ilmuan Islam kerana masibng-masing ada pandangan tersendiri dalam sesuatu isu. Bahkan dalam satu kumpulanpun mereka boleh bertelingkah pendapat. Bagaimanapun sikap berkeras untuk tidak menyelesaikan masalah sehingga menghayutkannya konflik yang lebih dalam amat mengecewakan.Ianya menjadi suatu kudis yang buruk dalam Islam kerana kerana turut mengheret penyokong masing-masing sehingga merebak tanpa kawalan kata-mengata, rendah-merendah dan jatuh-menjatuhkan sesama Islam.

Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif dalam kehidupan bermasyarakat seperti fitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, dendam dan mendedah keaiban orang lain. Sebab itu Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabda baginda yang bermaksud “ Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.' (Hadith Riwayat At-Tirmizi)

Tambah malang lagi apabila isu yang melibatkan pertelingkahan sesama Islam dibesar-besarkan tanpa ikhtiar untuk meredakannya. Cabar - mencabar sebagai medan menunjukkan kehebatan dan menguji pengaruh serta sokongan tidak dibolehkan dalam Islam. Hassan Al-Banna, pendakwah Islam yang terkemuka pernah memberi wasiat kepada umat Islam melalui pesanannya “Janganlah memperbanyak perdebatan dalam berbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tidak akan mendatangkan kebaikan”

Bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata-kata, apatah lagi cabar-mencabar. Firman Allah SWT yang bermaksud 'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke抋iban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.' (Surah al-Hujurat:11)

Agama amat memberi perhatian dalam aspek pertuturan hinggakan perkataan yang keluar daripada lidah diperhalusi supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati dan menimbulkan rasa tiadak puas hati kepada orang yang mendengarnya. Apatah lagi perkataan yang terkeluar itu berupa sangkaan dan tohmohan yang gagal dibuktikan akan kebenarannya.

Allah telah berfirman yang bermaksud 'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.' (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Saidina Hasan RA ada meriwayatkan bahawa 'Daku meminta ibu saudaraku (sebelah ibu) yang sering menggambarkan sifat- sifat Rasulullah SAW agar dapat menceritakan kepadaku tentang cara dan adab Rasulullah SAW berbicara. Lalu beliau memberitahu bahawa Rasulullah SAW selalu risau (tentang akhirat), sering bertafakkur (tentang Allah dan sifat-sifat-Nya) atau memikirkan keadaan ummah dan lantaran perkara-perkara beginilah maka baginda tidak pernah berasa bebas daripada kerisauan. Sering sahaja baginda berkeadaan diam dan enggan bercakap melainkan atas perkara-perkara yang perlu sahaja. Apabila baginda bersabda maka sabdanya jelas, padat dan ringkas. Setiap percakapannya berbeza daripada yang lain jauh sekali daripada ketidakmusabahan dan kekeliruan). Baginda tidak cepat marah malahan tidak juga menghina orang lain.

Sementara itu Al-Imam Al-Ghazali dalam Kitabnya Ayyuhal Walad, menasihatkan mereka yang sering berdebat dan bertelingkah supaya “seboleh-bolehnya tinggalkanlah perdebatan kerana ianya boleh membawa kepada riak’, hasad, takabur, ujub dan sebagainya. Namun jika kamu terjerumus ke kancah perdebatan maka hendaklah ikhlaskan niat di hati bagi menzahirkan kebenaran. Niat yang ikhlas ini boleh dikesan melalui dua tanda iaitu pertamanya, kamu tidak membezakan samada kebenaran itu nanti akan tersingkap melalui lidah kamu ataupun lidah lawan debatmu. Keduanya, kamu lebih menyukai jika debat itu diadakan dalam tempat yang tertutup tanpa dilihat oleh orang yang begitu ramai.

Dalam Isu berdebat dan bertelingkah ini, didapati bahawa mereka yang suka berdebat bukan bertujuan menyampaikan kebenaran tetapi untuk membantah hujah pihak lawan seperti firman Allah yang bermaksud: "Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar." (Surah Az-Zukhruf, ayat 58)

Rasulullah SAW tidak menyampaikan risalahnya dengan cara berdebat semata-mata. Malah, Baginda membencinya, seperti diriwayatkan daripada Aisyah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling dibenci Allah adalah yang suka berdebat." (Hadis Muttafaq 'alaihi)

Dalam keadaan dimana berlakunya pertelingkahan yang melibatkan ilmuan agama, kita tidak boleh untuk terus berdiam diri. Sebaliknya hendaklah diikhtiarkan dan diusahakan perdamaian antara kedua-duanya.

Membiarkan pertelingkahan yang memanjang dibimbangi akan diambil manfaat oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan perpaduan ummah. Manakala kalangan yang bertelingkah akan terus mempertahankan hujah dan kebenaran masing-masing akan menarik lebih ramai penyokong untuk terus melebarkan jurang kepuakan yang dibenci agama. Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” ( Surah Al-Hujuraat, ayat 9)

Menjadi seorang muslim yang baik bukan sahaja terletak pada kebolehupayaan membaiki diri sendiri bahkan berupaya mengukuhkan ummah melalui ajuran perdamaian seandaianya berlaku sebarang pertelingkahan. Apatah lagi kalau ianya melibatkan tokoh ulamak dan ilmuan agama. Barangkali ramai dikalangan kita yang membiarkan pertelingkahan yang berlaku sesama kita atas dasar seronok untuk melihat pertarungan hujah tetapi tidak berupaya melepasi garisan bahaya perpecahan yang sedia menunggu.

Justeru itu menangani konflik yang berlaku dikalangan umat Islam juga perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab terhadap agama. Namun begitu kita banyak diajar dan dididik oleh agama akan cara-cara menangani konflik kalau ianya berlaku. Islam telah menggariskan kaedah yang tepat dalam menangani sebarang konflik peribadi atau kumpulan.Jawapannya dengan cara mendamaikan mereka secara adil demi maruah dan kepentingan agama mendahului pertembungan peribadi atau dendam lama yang tidak berkesudahan.

Friday, September 24, 2010

Kebiadapan, Kezaliman Isreal Tidak Terluah Dengan Kata-kata

Hanya manusia yang tidak ada hati dan perasaan yang tidak tersentuh jiwanya, selepas melihat betapa keganasan komando Israel menyerbu kapal bantuan kemanusiaan “Mavi Marmara” menyebabkan 19 aktivis terkorban dan 36 lagi cedera.

Malang bagi seluruh umat manusia apabila melihat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang berlakon sebagai penjaga keamanan dunia, begitu lemah mengendalikan tragedi buruk ini.

Melalui beberapa kenyataan rasmi UNSC berupa kekesalannya atas insiden yang berlaku, negara yang berjuang untuk survival kemanusia telah hilang keyakinan kepada UNSC yang sepatutnya bekerjasama menghantar bantuan kemanusiaan ke seluruh Gaza selaras dengan Resolusi 1860 yang diluluskan oleh badan tersebut. Kenyataan berkenaan tersasar jauh daripada apa yang sepatutnya dilakukkan oleh UNSC bagi memastikan keamaan sejagat terpelihara. Semakin terserlah dakwaan yang menyatakan UNSC merupakan alat zionis untuk mempertahankan tindakan Israel dalam apa jua sekali pun.

Sebenarnya, jenayah kejam rejim Yahudi Zionis di Palestin dan di kawasan-kawasan sekitarnya bukanlah sesuatu yang baru di dalam sejarah peradaban dunia.

Kisah kezaliman Yahudi ini banyak dibongkar dalam Al-Quran. Firman Allah yang bermaksud " Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang -orang yang beriman ialah orang-orang yang Yahudi dan orang-orang musyrik. (Surah al-Ma`idah : 82)

Satu dokumen Vatican di Itali yang menjadi Pusat Pentadbiran Gereja Roman Katolik dan diketuai oleh Pope, yang dibocorkan berkaitan dengan serangan terbaru keatas misi kemanusiaan tersebut, menyebut bahawa penjajahan Israel di wilayah Palestin sebagai 'ketidakadilan politik', yang dikenakan ke atas penduduk Palestin'.

Teks tersebut juga mengakui bahawa "Penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin menyebabkan kehidupan seharian rakyat Palestin sukar untuk mendapatkan kebebasan dari segi pergerakan, ekonomi dan menjalankan kehidupan agama.

Namun, disebalik perakuaan yang dibuat melalui kenyataan tersebut, harus diakui bahawa masih ramai di kalangan umat Islam di seluruh dunia samada di negara-negara Arab ( termasuk jiran yang terdekat, yakni Mesir) atau di negara-negara Islam lainnya termasuk negara kita sendiri masih begitu naif terhadap permasalahan Palestin yang merupakan isu terbesar umat di abad ini.

Sejarah telah merekodkan beberapa tindakan yang dilakukkan oleh Yahudi mempamerkan keangkuhan dan kesombongannya tanpa mempedulikan bantahan atas sikap buruk yang mereka lakukan.

Pada 13 Disember 1947, Sebuah perkampungan orang Islam Palestin, Yehida berhampiran Petah Tekva (penempatan pertama Zionis yang dibina pada 1878 diserang. Sekumpulan Yahudi yang menyamar sebagai tentera peronda British telah melepaskan tembakan dan mengebom rumah penduduk perkampungan itu.

Pada 1 Januari 1948, Kira-kira 200 pelampau Yahudi bersenjata mesingan dan bom tangan menceroboh kampung Al-Sheikh (5 km di tenggara Haifa) lalu membunuh wanita dan kanak-kanak.

Manakala pada 9 – 10 April 1948, dalam Operation Unity, pengganas Haganah, Irgun dan Stern bersatu mengepung kampung Deir Yassin selama dua hari. Dalam tempoh itu 250 orang Arab dibunuh dan dengan kejam dan wanitanya dirogol. Seramai 25 orang wanita hamil dibelah perutnya dan bayi mereka disembelih, 52 kanak-kanak dikudungkan kaki dan tangan.

Sementara itu pada 11 Julai 1948, Pasukan Batalion ke-89 komando Yahudi yang diketuai Moshe Dayan menawarkan pengampunan kepada penduduk Islam Lyadd dan Ramle setelah berjaya menawan perkampungan tersebut. Seramai 100 menerima itu dan berkumpul di Masjid Dahmash seperti di janjikan. Namun malang, perlindungan yang diharapkan itu menjadi bala yang sukar dilupakan apabila mereka menjadi mangsa kepada manusia berhati syaitan itu sehingga mereka mati kesemuanya.

Pada 15 – 18 September 1982 – Seramai 3,000 kanak-kanak dan wanita Palestin disembelih di khemah di Sabra dan Shatila di Lebanon.

Melihat kepada rentetan peristiwa tersebut jelas kepada kita betapa bangsa Palestin tidak pernah mengenal erti keamanan dan keselesaan serta apa-apa bentuk pembangunan. Dunia mereka adalah peperangan dan kemusnahan terutamanya pada tahun 1948, 1956, 1967, 1982, 2006 sehingga kini. Dunia mereka ialah kesakitan dan kecederaan

Ibu-ibu palestin mampu menangis bukan kerana meratap kematian anak lelaki mereka tetapi bersedih kerana tidak ada lagi anak lelaki yang mereka miliki untuk dihantar ke medan perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin dari terus di jajah.

Segala penyembelihan yang telah mereka lakukan terhadap rakyat Palestin seperti di Deir Yasin, Qabyah, Kafr Qasim, Khan Yunis, dan banyak lagi kampung-kampung yang lain, telah mengorbankan orang-orang tua dan kanak-kanak serta menguburkan janin-janin, menghancurkan rumah-rumah, yang telah berlaku beberapa kali di Qana, Beirut, Sabra dan Syatila, dan Bahrul Baqar di Mesir.

Pembunuhan tawanan Palestin dalam perang 1956 dan 1967, menanam mereka hidup-hidup, konspirasi untuk mengambil sebahagian daripada kawasan Sungai Nil adalah perancangan rapi zionis untuk melebarkan rancangan penubuhan Israel Raya.

Manakala rakyat Palestin mesti dikorbankan sebagai harga yang mesti dibayar untuk melaksanakan gagasan tersebut. Segala kekejaman kekejaman dan kezaliman mereka terhadap rakyat Palestin, termasuk kalangan yang bersimpati kepada penderitaan rakyat Palestin mesti ditentang. Bahkan pembunuhan dan penyebelihan yang dilakukan oleh yahudi tersebut berterusan sehingga mereka menuntut dunia supaya mengiktiraf tindakan mereka sebagai sesuatu yang benar dan perlu disokong.

Nilai kemaknusiaan dikebumikan dan kezaliman yang diasaskan oleh mereka menjadi jalur lebar yang tidak pernah ada penghujungnya.

Bangsa Yahudi ternyata terus mengganas dan lebih berani membunuh nilai kemaknusiaan kerana sikap fanatik mereka . Kefahaman mereka sangat jelas kepada bangsa lain selain dari Yahudi. Bangsa Yahudi sangat-sangat merendahkan manusia selain mereka. Hakham Shamon Bar, seorang Yahudi yang terkenal dengan sikap fanatiknya telah berkata “Kamu semua wahai para Yahudi inilah yang dinamakan manusia, sedangkan para haiwan itu (merujuk kepada manusia lain) tidak dinamakan manusia!”.

Pandangan yang sama turut diperkatan oleh Hakham Eido Alba , seorang yahudi yang melampau melalui kata-katanya “Sesungguhnya pengharaman untuk membunuh dan menumpahkan darah manusia tidak dihukum ke atas Yahudi sekiranya yang dibunuh adalah bukan Yahudi, dibolehkan untuk membunuh selain Yahudi (ke atas bangsa yang kita peranginya) termasuklah wanita dan kanak-kanak”.

Hanya syaitan yang sanggup membunuh dan menyembelih orang lain tanpa dibaluti rasa peri kemanusiaan. Manakala membiarkan ksengsaraan dan penderitaan orang lain adalah sesuatu yang dibenarkan untuk mereka lakukan secara wewenangnya oleh sekutu iblis yang menyokong mereka.

Agenda Perpaduan Wajar Disegerakan

(Jangan Mencari Dalil dan Alasan Untuk Menangguh atau Menggagalkannya)


Isu perpaduan bukanlah Isu baru bahkan telah lama diperkatakan. Masalahnya isu ini sukar untuk dilaksanakan selagi ada kegoan dikalangan individu dan kumpulan jamaah Islam itu sendiri. Justeru, perpaduan yang dimaksudkan lebih kepada teori pengukuhan ummah sahaja. Manakala perlaksanaannya menjadi igauan yang tidak berkesudahan.

Perpaduan Ummah (ummatan wahidah) merupakan pendekatan terpenting didalam pentabiran sesebuah negara kerana ianya lambang kekuatan negara dan kehebatan pemimpin. Pemimpin yang hebat dan dikagumi apabila berupaya menyatukan puak-puak dari kumpulan yang berpecah di dalam negara tersebut. Jika konsep ini tidak disempurnakan secara bijak akan memberi kesan kepada sistem dan perancangan negara.

Ingatlah, hubungan diantara pemimpin dan mereka yang dipimpin adalah penting dan hubungan antara keduanya mesti dipelihara.Kata Dr. Yusof al-Qaradhawi, pemerintah adalah saudara kepada yang diperintah dan pemimpin adalah saudara kepada yang dipimpin.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah orang yang kamu sayangi mereka dan mereka menyayangi kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpin kamu ialah mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka, mereka melaknat kamu.”( Riwayat Muslim)

Manakala seorang mukmin dengan mukmin yang lain itu, diumpamakan seperti sebuah binaan, mereka saling kuat menguatkan satu sama lain.Ertinya dalam keadaan apa sekalipun umat Islam mempunyai peranan yang tertentu yang bersifat saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Sewaktu Rasulullah SAW tiba di Madinah baginda telah menyatukan puak Aus dan Khazraj lalu membentuk Ansar yang kemudiannya dipersaudarakan dengan Muhajirin sebagai agendah wahdah yang sangat penting dan strategik demi kekuatan ummah.

Di dalam Islam kesatuan ummah bermaksud tiada kelompok tertentu yang sekadar bersatu didalam kelompoknya sahaja dan pada masa yang sama enggan untuk bersatu dengan kelompok-kelompok Islam yang lain.

Sikap bertolak ansur dan saling hormat menghormati mesti meresap kedalam setiap jiwa ummah agar maslahah umat Islam terpelihara dan kesatuan ummah terjaga. Perkara pokok,kita perlu sedar dan tahu perancangan yang licik dari musuh Islam ialah untuk memecahbelah ummmah dengan menyebarkan pelbagai fitnah. Sejarah telah mendedahkan bagaimana berpecahnya kerajaan Uthmaniah berpunca daripada kelemahan wahdah apabila sebaran perkauman menjadi agenda perpecahan yang akhirnya merebak sehingga wilayah naungan masing-masing menuntut kemerdekaan.

Atas kesatuan ummah kita selesaikan segala masalah, kita leraikan segala yang berbalah, kita hapuskan buruk sangka, dengki, dendam dan khianat yang tidak sudah. Pendefinisian ini adalah merujuk kepada Piagam Madinah yang telah digubal oleh baginda Rasulullah S.A.W pada 623 M. Dan perkara ini terkandung di dalam Fasal ke 7 di dalam piagam tersebut.

Apabila dipersoalkan tentang mengapa umat Islam senantiasa berpecah dan tidak bersatu, maka jawapan yang disediakan cukup mudah dan ringkas iaitu telah menjadi biasa. Ertinya, mereka tidak bersedia untuk menyelesaikan kearah sesuatu yang lebih konkrik kerana mereka tahu akan likuan kesukaran yang akan ditempuhi dalam menjayakan cita-cita dan hasrat murni yang tersebut. Melainkan pemimpin yang berjiwa besar dan bersemangat waja sahaja yang berani untuk bercakap dan melaksanakan konsep wahdah yang dimaksudkan tersebut.

Sebenarnya, ummah atau umat Islam adalah entiti yang melampaui batas puak, kelompok dan keturunan, negeri dan negara , bangsa, kedudukan geografi, warna kulit, budaya dan bahasa. Elemen yang menyatukan ummah adalah kesatuan agama yang berlandaskan kesatuan tauhid.

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud “Janganlah kamu semua berselisih (berpecah), adapun umat-umat sebelum kamu dahulunya binasa disebabkan mereka berpecah”

Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan berkata bahawa bukanlah namanya masyarakat Islam jika ketaksuban kepada bangsa, keturunan dan kenegerian mendahului ukhuwah Islamiah. Dengan lain perkataan persaudaraan yang mendominasi ummah akan merentasi semua kelompok masyarakat hatta yang berbeza agama pun ada hak dalam hubungan keinsanan kita terhadap mereka.

Bukanlah namanya kesatuan ummah andai ada manusia yang terlalu tinggi darjatnya enggan bersaudara dengan orang lain begitu juga yang terlalu rendah darjatnya malu bersaudara dengan orang yang lebih tinggi daripadanya. Janganlah kita jadikan harta, jawatan, keturunan, kedudukan di dalam masyarakat untuk meninggikan diri antara satu sama lain.

Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud“ Kamu (wahai umat Muhammad) ialah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk faedah manusia kerana kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran: 110)

Apabila kesatuan ummah mempunyai kepercayaan dan prinsip bersaudara yang sama, maka tiada sebab untuk berlakunya krisis sosial, kecemburuan melampau, dengki khianat, kasta dan sebagainya. Mereka sentiasa tergolong dalam ahli masyarakat yang sama dan mempunyai pemikiran yang sama dan bertindak dengan tindakan yang sama demi kepentingan ummah dan agama.

Sebarang usaha kearah membina kesatuan yang padu mestilah disokong dan digerakkan secara bersama supaya ianya menjadi suatu realiti bukannya suatu teori yang tidak berpenghujung.

Al- Ghuluw Yang Melampaui Batas

Biasanya golongan pelampau agama dikaitkan dengan sikap ketaksubannya berhubung dengan pandangannya tanpa mengiktiraf pandangan orang lain. Mereka menafikan pandangan orang lain dengan sewenang-wenangnya dengan penuh nada keangkuhan.

Dalam Islam, pelampau agama disebut sebagai Al-Ghuluw . Ghuluw bererti pelampau. Al-Tashaddud pula membawa maksud sesorang yang berpegang pada prinsip agama secara amat tegar dengan bertindak melebihi nilai yang dianjurkan agama. Orang ini mempunyai sifat khushun iaitu sifat kasar dan tidak beradab.

Seorang yang radikal dipanggil Al-mutatarrif iaitu orang yang berada disudut melampau, dengan pemikiran dan haluan hidup yang melampau. Sheikh Abu Al-Hassan Al-Nadwi (1914-1999) pernah berkata ” tidak dapat diragukan bahawa radikalisme, ekstrimisme, kesempitan dan ketegaran memang wujud. Ini adalah realiti”

Dalam hal ini Allah SWT telah memberi peringatan melalui firmannya yang bermaksud ” Janganlah kamu berlebih-lebihan (melampau batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulu dan mereka menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka tersesat dari jalan yang lurus ” ( Surah Al-Maidah, ayat 77)

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud ” Sesungguhnya agama itu mudah.Tiada sesiapa yang memberatkan didalam agama melainkan ia mengatasinya. Maka carilah jalan lurus, dekatinya dan bergembiralah dan minta bantuanlah pada berpagi-pagi dan pada waktu petang serta sebahagian waktu malam ” ( Riwayat Bukhari)

Dari Anas R.A ada menceritakan ” Tiga kelompok manusia datang ke rumah isteri-isteri Nabi SAW secara diam-diam menanyakan tentang ibadah Nabi SAW. Setelah diberitahu lantas mereka memperkatakan dan berkata ” Di mana letaknya kita jika dibandingkan dengan Nabi SAW, padahal baginda sudah dijamin mendapat keampunan dari Allah atas segala kekeliruan baginda, baik yang terdahulu mahupun yang akan datang ? ”

Salah seorang dari mereka berkata ” saya akan melakukan solat malam secara terus-menerus ” Yang lain lagi berkata ” saya akan berpuasa terus-menerus ” Dan yang lain lagi berkata ” saya akan menjauhi wanita dan tidak akan kahwin selama-lamanya”.

Kemudian Rasulullah SAW datang kepada mereka, lalu bersabda ” Kalian yang telah berkata begitu dan begini ? Ketahuilah ! Demi Allah, sesungguhnya aku adalah oarng yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa kepada Nya. Tetapi aku juga berbuka, solat dan tidur dan aku juga kahwin dengan wanita. Maka barangsiapa yang membenci sunnah Ku bukanlah dia dari golongan Ku ! ”
(Muttafaq’alaih)

Rasulullah SAW juga berpesan melalui sabdanya yang bermaksud ” telah binasalah al-mutanattiun, telah binasalah al-mutanattiun, telah binasalah al-mutanattiun ” ( Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
Dalam hal ini, Imam Al-Nawawi menjelaskan bahawa al-mutanattiun bererti seseorang yang sentiasa meneliti secara mendalam akan sesuatu, bersikap ekstrem dan melampaui kadar dan adab didalam percakapan dan perbuatannya.

Dr. Abdul Rahman Ibn Mualaa al-Luwaihiq didalam kitabnya ” Al-Ghuluw Fi al-Din ” memetik kata-kata daripada As-Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi, pakar rujuk Islam yang terkemuka, yang menjelaskan bahawa radikalisme dan ekstrimisme dengan beberapa sifat, iaitu :

• Berpegang teguh hanya pada pandangan dirinya sendiri dan tidak memberi peluang untuk mendengar pandangan orang lain.
• Menyuruh manusia melakukan sesuatu yang tidak dianjurkan syariah
• Ketegasan tidak kena pada tempatnya
• Kasar dan tidak beradab
• Sentiasa berfikiran buruk terhadap pandangan orang lain
( su’u dhzan )
• Menghukum orang lain sebagai kafir

Kumpulan Ghuluw yang pertama muncul dalam sejarah politik Islam, iaitu kaum Khawarij yang bermaksud keluar dari kepimpinan Ali bin Abi Thalib ra berikutan krisis kepimpinan Ali Abi Thalib dan Mu'awiya bin Abi Sufyan. Saidina Ali mengutus Ibn Abbas untuk berdialog dan meninjau kumpulan ini dan Ibn Abbas melaporkan sepertimana yang diceritakan dalam Hadis itu akan ciri-cirinya.

Contohnya puak Khawarij yang terkenal kerana radikalnya dan menjadi terlalu berani. Puak ini telah " menghalalkan" cara ganas demi mencapai matlamatnya. Mereka menuduh menantu Rasulullah SAW sebagai "kafir" dan mendakwa cara mereka sahaja yang benar. Mereka mencabar untuk berhujah dengan sesiapa sahaja yang menentang pegangan mereka. Golongan merekalah yang memulakan pendekatan takfir ( mengkafirkan mana-mana puak yang menentang kumpulan mereka) dan cara perjuangan mereka begitu radikal dan ekstrimis.

Adalah diyakini bahawa gerakan puak Khawarij ini tidak berkubur di zaman Khalifah Ali bahkan putaran golongan ini dan Neo-Khawarij ini akan berterusan sehingga 20 kali lagi sebelum Kiamat. Maksudnya golongan keras dan melampau ini akan muncul dari masa ke semasa.

Sebenarnya Islam menentang keras terhadap pemikiran yang ekstrim. Sikap melampau dalam agama sebenarnya berpunca daripada kefahaman salah terhadap doktrin Islam dan hukum-hakamnya serta tidak memahami suasana yang menyumbang ke arah pembinaan doktrin serta hukum tersebut. Kaedah dan cara mereka mentafsirkan nas-nas sandarannya bergantung kepada pengambilan ayat dan hadis tertentu. Mereka hanya berpegang semata-mata kepada makna zahirnya, tanpa melihat objektif Islam secara umum dari aspek akidah dan syariah.

Mereka tidak menekan tentang amanah dan kewajipan agama dalam merealisasikan matlamat individu dan kelompok. Bahkan tidak melihat kepada sebab ayat diturunkan, mahupun mengenali asas pencarian dalil daripada aspek bahasa dan hukum fiqh, dan juga tanpa membezakan antara prinsip umum dengan konsep pengecualian berdasarkan kepada sebabnya dengan puncanya.

Dari segi prinsipnya mereka memiliki kepercayaan serta pegangan atas nama agama yang di luar batasan ajaran agama Islam sebenar. Tindakan serta praktik amalan-amalan mereka telah terkeluar daripada metodologi salafi dalam memahami agama. Demikian juga dalam amalan apa sekalipun perbuatan golongan ini menggambarkan sikap ekstrim dalam pemahaman terhadap agama. Secara tidak langsung ia menyempitkan konsep samahah dalam Islam. ( catatan : sifat samahah adalah asas akhlak yang membawa kepada suasana yang harmoni)

Realitinya, sepanjang sejarah dan zaman semua agama samawi pernah dan masih bertembung dengan golongan pelampau agama. Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama akan bertembung dengan
ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan.

Agama tidak akan aman sama sekali daripada gangguan pelampau yang keras dalam hujahnya dan enggan mengalah. Mereka mahu berstatus pemenang dalam berhujah dan mengecil dan merendahkan martabat lawan mereka dengan penuh penghinaan yang mengaibkan.

Apa yang menghairankan golongan ini membolehkan dirinya berijtihad dalam masalah yang kompleks dan isu yang kabur, lalu mengeluarkan fatwa mengikut pemikirannya, sama ada bertepatan atau bersalahan dengan agama.

Namun golongan ini tidak menemui pandangan ulama semasa yang pakar dalam sesuatu bidang, secara individu atau kolektif berijtihad pada pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya. Dengan gaya keterampilan yang keras, pandangan orang lain diremehkan.

Pelbagai gelaran dan tomohan yang berupa menghina dilabelkan. Sebab itu ada kalangan mereka yang memberi gelaran kepada ilmuan yang tidak sependapat dengan mereka menggunakan pelbagai imej berupa penghinaan seperti ulamak haid dan nifas, ulamak terompah, ulamak akad nikah dan lain-lain gelaran yang tidak beradab dan bersopan. Gelaran yang dianggap menghina ini tidak sepatutnya keluar daripada mulut dan lidah-lidah mereka yang bergelar ulamak kerana ianya menggambarkan sikap sombong, angkuh dan takabbur.

Ada sesetengah golongan pelampau agama ini lebih ganas sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Bahkan terlalu radikal dalam menyampaikan seruan dakwah. Allah SWT memerintahkan agar kita menyeru manusia dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik bukan dengan kekasaran.
As-Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Asohwatul Islamiyah Baina al-Juhud Wa Tatarruf turut memperincikan sifat kelompok yang menyerupai golongan khawarij yang digambarkan Rasulullah. Menurut beliau, dalam realiti hari ini, wujud kelompok Khawarij Moden yang berkecenderungan melampau hingga bertindak mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan.

Sudah menjadi tabiat golongan pelampau agama di mana menjadi kebiasaannya bersangka buruk terhadap orang lain serta memandang mereka dengan pandangan negatif. Berburuk sangka dengan menyembunyikan kebaikan orang lain dan pada masa yang sama membesar-besarkan keburukan orang.

Dalam hal ini Allah SWT telah mengingatkan orang yang beriman dalam firmannya yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mencerca sebahagian yang lain. Sukakah kamu salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” ( Surah Al-Hujurat, ayat 12)

Hak sebuah masyarakat dalam menentukan tahap golongan pelampau serta sumber kegiatan mereka adalah tertakluk kepada aktiviti pelampau yang sampai kepada tahap pertembungan dengan pelbagai sistem masyarakat serta undang-undang kecuali sistem yang diikuti dan diterima oleh mereka.

Perlakuan amar makruf dan nahi mungkar contohnya adalah tatacara agama dan tatasusila serta penggeraknya layak dipuji. Tetapi sekiranya dilakukan tanpa batas yang jelas akan mendorong mereka yang melakukan 'amar makruf' ini menceroboh hak yang bukan hak mereka serta mengancam keselamatan individu serta kebebasan mereka.

Hadis Ibnu Abbas menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama." (Riwayat Ahmad, Nasa’e, Ibn Majah dan Al-Hakim).

Apabila timbul puak-puak khawarij yang menjadi pelampau, melihat diri mereka sahaja yang benar, mereka terjebak dalam sikap keras dan melampau serta lari daripada pemikiran Islam wasatiyyah. Ia sudah terjatuh dalam larangan Rasulullah SAW agar jangan melampau. Larangan Rasulullah SAW tidak dipedulikan dengan hujah-hujah yang membenarkan perlakuan dan tindakan mereka yang bersumberkan agama.

Demikian juga puak muktazilah yang muncul selepas itu dengan pegangan agama yang terlampau longgar. Mereka menjadi begitu taksub kepada akal sehingga melihat nas agama sebagai tertolak apabila bertembung dengan akal takwilan mereka. Mereka menjadi keterbalikan daripada khawarij dimana mereka menjadi pelonggar agama yang disebut nabi jangan jadi pelonggar agama.

Nyata sekali bahawa Islam tidak membenarkan melampaui batasan yang digariskan dalam beramal dengannya. Ghuluw boleh berlaku dalam berbagai bidang dan bentuk. Ianya merangkumi dalam akidah, ibadah, keruhanian dan berbagai. Umat Islam diperintahkan agar tidak melampau dalam semua aspek amalan agama. Sabda Rasulullah SAW bermaksud ” Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam beragama ” ( Riwayat Ahmad)

Justeru, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengawasi agar jangan ada mana-mana pihak yang cuba membawa elemen "melampau" sama ada dalam bentuk pemikiran mahu pun amalan. Jika mahu di lakukan secara peribadi, terserahlah kepada mereka. Tetapi menyebar luaskan fahaman melampau ini kepada umum, akan menjejaskan perpaduan umat dan masa depan umat di Nusantara ini.

Demikianlah Islam tidak membenarkan melampaui batasan yang digariskan dalam beramal dengannya. Ghuluw boleh berlaku dalam berbagai bidang dan bentuk. Ianya merangkumi dalam akidah, ibadah, kerohanian dan sebagainya. Umat Islam diperintahkan agar tidak melampau dalam semua aspek amalan agama.