Friday, September 24, 2010

Al- Ghuluw Yang Melampaui Batas

Biasanya golongan pelampau agama dikaitkan dengan sikap ketaksubannya berhubung dengan pandangannya tanpa mengiktiraf pandangan orang lain. Mereka menafikan pandangan orang lain dengan sewenang-wenangnya dengan penuh nada keangkuhan.

Dalam Islam, pelampau agama disebut sebagai Al-Ghuluw . Ghuluw bererti pelampau. Al-Tashaddud pula membawa maksud sesorang yang berpegang pada prinsip agama secara amat tegar dengan bertindak melebihi nilai yang dianjurkan agama. Orang ini mempunyai sifat khushun iaitu sifat kasar dan tidak beradab.

Seorang yang radikal dipanggil Al-mutatarrif iaitu orang yang berada disudut melampau, dengan pemikiran dan haluan hidup yang melampau. Sheikh Abu Al-Hassan Al-Nadwi (1914-1999) pernah berkata ” tidak dapat diragukan bahawa radikalisme, ekstrimisme, kesempitan dan ketegaran memang wujud. Ini adalah realiti”

Dalam hal ini Allah SWT telah memberi peringatan melalui firmannya yang bermaksud ” Janganlah kamu berlebih-lebihan (melampau batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulu dan mereka menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka tersesat dari jalan yang lurus ” ( Surah Al-Maidah, ayat 77)

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud ” Sesungguhnya agama itu mudah.Tiada sesiapa yang memberatkan didalam agama melainkan ia mengatasinya. Maka carilah jalan lurus, dekatinya dan bergembiralah dan minta bantuanlah pada berpagi-pagi dan pada waktu petang serta sebahagian waktu malam ” ( Riwayat Bukhari)

Dari Anas R.A ada menceritakan ” Tiga kelompok manusia datang ke rumah isteri-isteri Nabi SAW secara diam-diam menanyakan tentang ibadah Nabi SAW. Setelah diberitahu lantas mereka memperkatakan dan berkata ” Di mana letaknya kita jika dibandingkan dengan Nabi SAW, padahal baginda sudah dijamin mendapat keampunan dari Allah atas segala kekeliruan baginda, baik yang terdahulu mahupun yang akan datang ? ”

Salah seorang dari mereka berkata ” saya akan melakukan solat malam secara terus-menerus ” Yang lain lagi berkata ” saya akan berpuasa terus-menerus ” Dan yang lain lagi berkata ” saya akan menjauhi wanita dan tidak akan kahwin selama-lamanya”.

Kemudian Rasulullah SAW datang kepada mereka, lalu bersabda ” Kalian yang telah berkata begitu dan begini ? Ketahuilah ! Demi Allah, sesungguhnya aku adalah oarng yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa kepada Nya. Tetapi aku juga berbuka, solat dan tidur dan aku juga kahwin dengan wanita. Maka barangsiapa yang membenci sunnah Ku bukanlah dia dari golongan Ku ! ”
(Muttafaq’alaih)

Rasulullah SAW juga berpesan melalui sabdanya yang bermaksud ” telah binasalah al-mutanattiun, telah binasalah al-mutanattiun, telah binasalah al-mutanattiun ” ( Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
Dalam hal ini, Imam Al-Nawawi menjelaskan bahawa al-mutanattiun bererti seseorang yang sentiasa meneliti secara mendalam akan sesuatu, bersikap ekstrem dan melampaui kadar dan adab didalam percakapan dan perbuatannya.

Dr. Abdul Rahman Ibn Mualaa al-Luwaihiq didalam kitabnya ” Al-Ghuluw Fi al-Din ” memetik kata-kata daripada As-Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi, pakar rujuk Islam yang terkemuka, yang menjelaskan bahawa radikalisme dan ekstrimisme dengan beberapa sifat, iaitu :

• Berpegang teguh hanya pada pandangan dirinya sendiri dan tidak memberi peluang untuk mendengar pandangan orang lain.
• Menyuruh manusia melakukan sesuatu yang tidak dianjurkan syariah
• Ketegasan tidak kena pada tempatnya
• Kasar dan tidak beradab
• Sentiasa berfikiran buruk terhadap pandangan orang lain
( su’u dhzan )
• Menghukum orang lain sebagai kafir

Kumpulan Ghuluw yang pertama muncul dalam sejarah politik Islam, iaitu kaum Khawarij yang bermaksud keluar dari kepimpinan Ali bin Abi Thalib ra berikutan krisis kepimpinan Ali Abi Thalib dan Mu'awiya bin Abi Sufyan. Saidina Ali mengutus Ibn Abbas untuk berdialog dan meninjau kumpulan ini dan Ibn Abbas melaporkan sepertimana yang diceritakan dalam Hadis itu akan ciri-cirinya.

Contohnya puak Khawarij yang terkenal kerana radikalnya dan menjadi terlalu berani. Puak ini telah " menghalalkan" cara ganas demi mencapai matlamatnya. Mereka menuduh menantu Rasulullah SAW sebagai "kafir" dan mendakwa cara mereka sahaja yang benar. Mereka mencabar untuk berhujah dengan sesiapa sahaja yang menentang pegangan mereka. Golongan merekalah yang memulakan pendekatan takfir ( mengkafirkan mana-mana puak yang menentang kumpulan mereka) dan cara perjuangan mereka begitu radikal dan ekstrimis.

Adalah diyakini bahawa gerakan puak Khawarij ini tidak berkubur di zaman Khalifah Ali bahkan putaran golongan ini dan Neo-Khawarij ini akan berterusan sehingga 20 kali lagi sebelum Kiamat. Maksudnya golongan keras dan melampau ini akan muncul dari masa ke semasa.

Sebenarnya Islam menentang keras terhadap pemikiran yang ekstrim. Sikap melampau dalam agama sebenarnya berpunca daripada kefahaman salah terhadap doktrin Islam dan hukum-hakamnya serta tidak memahami suasana yang menyumbang ke arah pembinaan doktrin serta hukum tersebut. Kaedah dan cara mereka mentafsirkan nas-nas sandarannya bergantung kepada pengambilan ayat dan hadis tertentu. Mereka hanya berpegang semata-mata kepada makna zahirnya, tanpa melihat objektif Islam secara umum dari aspek akidah dan syariah.

Mereka tidak menekan tentang amanah dan kewajipan agama dalam merealisasikan matlamat individu dan kelompok. Bahkan tidak melihat kepada sebab ayat diturunkan, mahupun mengenali asas pencarian dalil daripada aspek bahasa dan hukum fiqh, dan juga tanpa membezakan antara prinsip umum dengan konsep pengecualian berdasarkan kepada sebabnya dengan puncanya.

Dari segi prinsipnya mereka memiliki kepercayaan serta pegangan atas nama agama yang di luar batasan ajaran agama Islam sebenar. Tindakan serta praktik amalan-amalan mereka telah terkeluar daripada metodologi salafi dalam memahami agama. Demikian juga dalam amalan apa sekalipun perbuatan golongan ini menggambarkan sikap ekstrim dalam pemahaman terhadap agama. Secara tidak langsung ia menyempitkan konsep samahah dalam Islam. ( catatan : sifat samahah adalah asas akhlak yang membawa kepada suasana yang harmoni)

Realitinya, sepanjang sejarah dan zaman semua agama samawi pernah dan masih bertembung dengan golongan pelampau agama. Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama akan bertembung dengan
ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan.

Agama tidak akan aman sama sekali daripada gangguan pelampau yang keras dalam hujahnya dan enggan mengalah. Mereka mahu berstatus pemenang dalam berhujah dan mengecil dan merendahkan martabat lawan mereka dengan penuh penghinaan yang mengaibkan.

Apa yang menghairankan golongan ini membolehkan dirinya berijtihad dalam masalah yang kompleks dan isu yang kabur, lalu mengeluarkan fatwa mengikut pemikirannya, sama ada bertepatan atau bersalahan dengan agama.

Namun golongan ini tidak menemui pandangan ulama semasa yang pakar dalam sesuatu bidang, secara individu atau kolektif berijtihad pada pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya. Dengan gaya keterampilan yang keras, pandangan orang lain diremehkan.

Pelbagai gelaran dan tomohan yang berupa menghina dilabelkan. Sebab itu ada kalangan mereka yang memberi gelaran kepada ilmuan yang tidak sependapat dengan mereka menggunakan pelbagai imej berupa penghinaan seperti ulamak haid dan nifas, ulamak terompah, ulamak akad nikah dan lain-lain gelaran yang tidak beradab dan bersopan. Gelaran yang dianggap menghina ini tidak sepatutnya keluar daripada mulut dan lidah-lidah mereka yang bergelar ulamak kerana ianya menggambarkan sikap sombong, angkuh dan takabbur.

Ada sesetengah golongan pelampau agama ini lebih ganas sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Bahkan terlalu radikal dalam menyampaikan seruan dakwah. Allah SWT memerintahkan agar kita menyeru manusia dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik bukan dengan kekasaran.
As-Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Asohwatul Islamiyah Baina al-Juhud Wa Tatarruf turut memperincikan sifat kelompok yang menyerupai golongan khawarij yang digambarkan Rasulullah. Menurut beliau, dalam realiti hari ini, wujud kelompok Khawarij Moden yang berkecenderungan melampau hingga bertindak mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan.

Sudah menjadi tabiat golongan pelampau agama di mana menjadi kebiasaannya bersangka buruk terhadap orang lain serta memandang mereka dengan pandangan negatif. Berburuk sangka dengan menyembunyikan kebaikan orang lain dan pada masa yang sama membesar-besarkan keburukan orang.

Dalam hal ini Allah SWT telah mengingatkan orang yang beriman dalam firmannya yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mencerca sebahagian yang lain. Sukakah kamu salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” ( Surah Al-Hujurat, ayat 12)

Hak sebuah masyarakat dalam menentukan tahap golongan pelampau serta sumber kegiatan mereka adalah tertakluk kepada aktiviti pelampau yang sampai kepada tahap pertembungan dengan pelbagai sistem masyarakat serta undang-undang kecuali sistem yang diikuti dan diterima oleh mereka.

Perlakuan amar makruf dan nahi mungkar contohnya adalah tatacara agama dan tatasusila serta penggeraknya layak dipuji. Tetapi sekiranya dilakukan tanpa batas yang jelas akan mendorong mereka yang melakukan 'amar makruf' ini menceroboh hak yang bukan hak mereka serta mengancam keselamatan individu serta kebebasan mereka.

Hadis Ibnu Abbas menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama." (Riwayat Ahmad, Nasa’e, Ibn Majah dan Al-Hakim).

Apabila timbul puak-puak khawarij yang menjadi pelampau, melihat diri mereka sahaja yang benar, mereka terjebak dalam sikap keras dan melampau serta lari daripada pemikiran Islam wasatiyyah. Ia sudah terjatuh dalam larangan Rasulullah SAW agar jangan melampau. Larangan Rasulullah SAW tidak dipedulikan dengan hujah-hujah yang membenarkan perlakuan dan tindakan mereka yang bersumberkan agama.

Demikian juga puak muktazilah yang muncul selepas itu dengan pegangan agama yang terlampau longgar. Mereka menjadi begitu taksub kepada akal sehingga melihat nas agama sebagai tertolak apabila bertembung dengan akal takwilan mereka. Mereka menjadi keterbalikan daripada khawarij dimana mereka menjadi pelonggar agama yang disebut nabi jangan jadi pelonggar agama.

Nyata sekali bahawa Islam tidak membenarkan melampaui batasan yang digariskan dalam beramal dengannya. Ghuluw boleh berlaku dalam berbagai bidang dan bentuk. Ianya merangkumi dalam akidah, ibadah, keruhanian dan berbagai. Umat Islam diperintahkan agar tidak melampau dalam semua aspek amalan agama. Sabda Rasulullah SAW bermaksud ” Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam beragama ” ( Riwayat Ahmad)

Justeru, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengawasi agar jangan ada mana-mana pihak yang cuba membawa elemen "melampau" sama ada dalam bentuk pemikiran mahu pun amalan. Jika mahu di lakukan secara peribadi, terserahlah kepada mereka. Tetapi menyebar luaskan fahaman melampau ini kepada umum, akan menjejaskan perpaduan umat dan masa depan umat di Nusantara ini.

Demikianlah Islam tidak membenarkan melampaui batasan yang digariskan dalam beramal dengannya. Ghuluw boleh berlaku dalam berbagai bidang dan bentuk. Ianya merangkumi dalam akidah, ibadah, kerohanian dan sebagainya. Umat Islam diperintahkan agar tidak melampau dalam semua aspek amalan agama.

No comments:

Post a Comment