(Sahifah Madinah yang dicetuskan Rasulullah pelopor cara hidup muafakat dalam masyarakat)
Sering kali Sahifah Madinah menjadi rujukan utama dalam membina asas kekuatan ummah yang akhirnya menjelmakan kesatuan masyarakat yang disebut sebagai ummatan wahidah. Wahidah ertinya ialah satu kesatuan utuh, tidak berpecah-belah dan bercerai yang menjadi asas kepada keutuhan negara bangsa.
Sahifah Madinah menjadi panduan hidup bermasyarakat dalam masyarakat majmuk. Dalam Sahifah Madinah menganjurkan hubungan dan persahabatan yang dijalin tanpa mengenal agama atau asal keturunan.
Dianjur dalam rumpun kehidupan untuk sentiasa tolong menolong dan bantu membantu demi kebaikan dalam konteks membina masyarakat bernegara yang kukuh seumpama membina suatu bangunan yang terhasil dari batu-bata.
Masyarakat Madinah melalui Sahifah Madinah membentuk satu identiti bangsa tersendiri iaitu masyarakat majmuk yang bertanggungjawab untuk mempertahankan negara bangsa yang merdeka itu. Ia diasaskan daripada penyatuan puak dan bangsa.
Dalam Islam, soal warna kulit, keturunan, rupa bangsa dan kedudukan adalah sama di sisi Allah melainkan mereka yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu dan bapa kalian pun satu. Tidak ada keutamaan orang Arab atas orang a'jam (bukan Arab) dan tidak ada keutamaan orang a'jam atas orang Arab, tidak ada keutamaan orang berkulit hitam atas yang merah dan tidak ada keutamaan orang berkulit merah atas yang hitam, kecuali dengan taqwa" (Riwayat Ahmad).
Berkaitan dengan pembinaan masyarakat wahidah di Madinah, Rasulullah melakukan dua kali ikatan penyatuan membabitkan kumpulan berbeza. Pertama, menyatukan kalangan muhajirin dan ansar membentuk ikhwanul muslimin.
Kedua, menyatukan golongan Yahudi dan penduduk Madinah secara keseluruhan bagi membentuk ummatan wahidah. Jelas Rasulullah SAW mempertimbangkan secara betul dan tepat akan latar belakang, budaya dan agama yang berbeza sebelum pelaksanaan ikatan penyatuan dilakukan.
Sebelum terbentuknya ummah wahidah di Madinah, masyarakat Madinah hidup di dalam keadaan berpecah-belah. Hal ini disebabkan Madinah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Secara keseluruhannya, penduduk Madinah terdiri daripada dua bangsa utama iaitu Arab dan Yahudi.
Orang Arab pula terdiri daripada dua puak iaitu Aus dan Khazraj. Kedua-dua puak ini sering bermusnahan antara satu sama lain terutama kerana perebutan kuasa. Orang Yahudi pula terdiri daripada beberapa puak dan yang paling terkenal ialah Bani Nadhir, Quraizah dan Qainuqak. Hubungan di antara puak Yahudi dan Arab sentiasa di dalam keadaan tegang sehinggalah Nabi berhijrah ke Madinah.
Apa yang jelas, Rasulullah sangat mementingkan penyatuan antara umat yang kepelbagaian puak itu. Baginda cekap melakukannya demi mematahkan pertelingkahan konflik yang membayangkan kemungkinan berlaku. Atas kecekapan dan kehebatan Rasulullah membaca sifir keamanan, maka ciri kemajmukan yang menjadi jurang perbezaan itu bertukar menjadi rahmat keamanan.
Rasulullah mempersatukan seluruh masyarakat Madinah di dalam pemikiran dan perasaan. Rasulullah mempersatukan sahabat tanpa mengira bangsa atau kaum, muhajirin atau ansar, miskin atau kaya, warna kulit atau keturunan membentuk satu masyarakat bangsa.
Secara umumnya Sahifah Madinah adalah undang-undang bertulis pertama di dunia yang dirangka oleh Rasulullah SAW pada 622 Masehi yang menjadi asas pemerintahan bernegara, terdiri daripada masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia menggariskan tanggungjawab ketua negara dan rakyatnya dan dirangka berasaskan persetujuan orang Islam dan bukan Islam.
Mengandungi 47 fasal dengan 23 fasa membincangkan hubungan orang Muslim dan tanggungjawab mereka manakala 24 fasa menggariskan tanggungjawab bukan Islam terhadap Madinah. Sahifah Madinah ini dapat dirumus kepada tujuh aspek penting merangkumi politik, ekonomi, sosial dan dari segi pentadbirannya, Nabi Muhamad dipersetujui untuk dilantik sebagai pemimpin Negara Madinah dan bertindak sebagai hakim bagi menyelesaikan sebarang masalah timbul.
Dari segi agama, penduduk Madinah bebas mengamalkan sebarang agama dan bebas mengamalkan adat selagi tidak bertentangan dengan Islam. Masyarakat yang dibentuk di Madinah adalah masyarakat dikenali sebagai ummatan wahidah atau masyarakat Madinah yang satu yang mempunyai tanggungjawab sama terhadap negara dan tidak sekali-kali boleh bermusuhan.
Dari segi perundangan undang-undang Islam diguna pakai, tetapi undang-undang kekeluargaan dalam kabilah boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan Islam. Undang-undang Islam menekankan aspek membina keinsafan atas perbuatan dan bukannya menjatuhkan hukuman semata-mata.
Undang-undang menetapkan bahawa syarat untuk menjatuhi hukuman mestilah mengemukakan saksi yang dapat mengesahkan jenayah berkaitan. Aspek pertahanan, semua anggota masyarakat, tanpa mengira Muslim dan bukan Muslim, dikehendaki pertahankan negara mereka. Sementara kedudukan kaum Yahudi pula terjamin selagi mereka mematuhi perlembagaan Madinah. Sahifah Madinah menyebutkan nama mereka satu persatu dan mereka masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap negara Islam Madinah.
Dari segi ekonomi, kerjasama dituntut bagi memajukan ekonomi negara dengan amalan tipu dan riba dihapuskan. Bermakna, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua masyarakat majmuk untuk memakmurkan negara melalui penjanaan pembangunan ekonomi yang menyeluruh, membabitkan tanggungjawab bersama.
Aspek keadilan dan perpaduan adalah dua unsur terpenting dalam membina umat yang satu. Di dalam Al-Quran, wujud banyak suruhan supaya kita berlaku adil. Dalam konteks kepelbagaian bangsa ini, agama menganjurkan umatnya agar sentiasa hidup tolong menolong dalam melakukan kerja-kerja kebaikan dan sentiasa bertaqwa kepada Allah.
Kita dilarang melakukan perkara dosa dan permusuhan. Firman Allah yang bermaksud "Dan tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (Surah Al-Maidah, Ayat 2).
No comments:
Post a Comment