(Berusaha jaga hati ibu bapa di samping beri bantuan moral, kewangan)
Warga emas menjadi sebahagian aset penting negara dan kehadiran mereka wajar dimanfaatkan. Kelebihan yang ada pada mereka ialah mampu memberi sumbangan kepada agama dan negara, terutama membabitkan aspek pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.
Pengalaman dan kepakaran dimiliki warga emas tidak ada nilainya walaupun kemungkinan dari segi teorinya, golongan muda boleh belajar di mana-mana pusat pengajian yang menyediakan kajian mengenai mereka.
Justeru, generasi muda jangan bersifat bongkak dan sombong apabila berdepan warga emas. Hormatilah mereka kalau kita minta dihormati apabila sampai masanya nanti. Hidup di dunia laksana roda yang berpusing. Yang muda tidak akan muda selama-lamanya.
Oleh itu, golongan muda jangan alpa ketika meniti kehidupan pada usia puncak yang menyeronokkan. Mahu atau tidak kita akan menempuhi hari tua yang amat mencabar dan cukup sensitif. Episod senja ini kalau drama kehidupan, adalah episod terakhir dalam kehidupan manusia yang begitu berharga untuk dilalui.
Daripada 26 juta rakyat Malaysia, tujuh peratus atau 1.75 juta adalah warga tua atau warga emas. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas dikategorikan sebagai warga emas.
Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), warga emas adalah di kalangan mereka berusia 65 tahun ke atas.
Negara ini akan mengalami penuaan penduduk pada 2020 apabila peratusan penduduk warga emas berumur 65 tahun ke atas akan meningkat kepada tujuh peratus atau 2.1 juta daripada jumlah penduduk 33.4 juta.
Sementara jangka hayat penduduk tempatan juga terus meningkat dengan lelaki meningkat daripada purata 66.5 tahun pada 1980 kepada 70.8 tahun pada 2003. Jangka hayat wanita pula dari 71.0 tahun kepada 75.5 tahun dalam tempoh sama.
Pada 2020, jangka hayat lelaki diunjurkan 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun. Ini bererti jumlah penduduk wanita akan melebihi lelaki. Justeru, keperluan sosial serta ekonomi mereka perlu diambil kira dalam perancangan dasar yang lebih peka kepada kesan penuaan yang berbeza bagi warga emas lelaki dan wanita.
Warga emas dianggap aset penting negara dan hakikat ini tidak boleh ditolak, sebaliknya perlu dimanfaatkan. Walaupun sudah semakin berusia, sumbangan bagi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara menerusi pengalaman, kepakaran serta kemampuan boleh terus dihulurkan.
Golongan berkenaan memang kaya dengan pelbagai pengalaman yang diperoleh dan dipupuk melalui pendidikan awal, hidup berkeluarga, berkerjaya dan bersosial. Pada usia emas ini kita akan merasakan sesuatu perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
Secara lumrahnya pada ketika itu, kita akan berada dalam serba kekurangan berbanding masa muda sama ada dari segi kekuatan fizikal, daya ingatan dan juga emosi. Oleh itu, seeloknya bagi mereka yang dikurniakan umur panjang agar dapat memanfaatkan nikmat usianya dengan sebaik-baiknya untuk terus berusaha memperbaiki diri dengan berbuat ketaatan dan melakukan amal perbuatan yang diredai Allah.
Semakin bertambah umur manusia itu bererti semakin kurang jangka hayatnya dan semakin hampir pula kepada ajalnya. Dalam melalui hari-hari tua, kita perlu mengubah sikap ke arah kebaikan dan menghindari dari kelalaian.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dari Abdul Rahman bin Abi Bakraah daripada bapanya, sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam katanya: Wahai Rasulullah, manusia bagaimanakah yang baik sifatnya? Sabda Rasulullah, siapa yang panjang umurnya dan baik amalannya, pemuda itu bertanya lagi: Manusia bagaimanakah yang buruk sifatnya? Sabda Baginda: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya". (Hadis Riwayat At-Tirmizi).
Banyak amalan baik untuk diamalkan oleh mereka yang dikurniakan umur panjang. Antaranya ialah sentiasa mengingati mati kerana ia akan mendorong kita untuk sentiasa mengerjakan amal salih dan meninggalkan perkara sia-sia.
Di samping itu, warga tua juga digalakkan agar memperbanyakkan taubat dan istighfar kerana taubat dan istighfar itu adalah jalan ke arah mendekatkan diri kepada Allah yang mendorong manusia untuk membuat segala amal bakti dan kebajikan, seperti disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Daripada Jabar bin Abdullah katanya Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami, sabdanya: “Wahai manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah kamu mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk dan adakanlah perhubungan antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyakkan zikir kepada-Nya". (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Sebenarnya, peringatan sebegini ada benarnya kerana diakui hati orang tua itu lebih kepada berangan-angan dan bernafsu untuk mengumpulkan seberapa banyak harta.
Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Daripada Abi Hurairah RA menyatakan bahawa telah bersabda Rasulullah SAW “ Hati orang tua itu mudah untuk mencintai dua perkara iaitu panjang angan-angan (harapan) dan suka membanyakkan harta." (Hadis Riwayat At-Tirmizi).
Orang yang berangan-angan panjang itu akan merasakan diri mereka seolah-olah kekal hidup di dunia ini yang akan menyebabkan mereka lalai untuk mengingati Allah. Mereka yang dilanda penyakit ini akan lalai untuk menyediakan bekalan untuk menuju akhirat, sentiasa mengikut hawa nafsu dan sering lupa kepada mati sehingga bertangguh-tangguh dalam mengerjakan amal salih.
Mereka yang panjang angan-angan ini selalunya lebih mengutamakan kepentingan dunia daripada kepentingan akhirat.
Sesungguhnya warga tua mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan. Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan umatnya untuk menghormati orang tua dan menganjurkan untuk menjaga hak mereka.
Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud Dari Anas bin Malik katanya telah bersabda Rasulullah SAW: “Tiada seorang pemuda yang menghormati dan memuliakan seseorang yang tua usianya melainkan Allah akan menentukan baginya orang lain yang akan menghormati kelak apabila dia pula mencapai usia tua." (Hadis Riwayat At-Tirmizi).
Sememangnya perhatian terhadap warga emas adalah satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan, yang akan menjadikan kita sebagai orang yang mengenang budi, yang akan menjadikan harapan sepanjang zaman. Tanpa mereka, hidup kita mungkin menjadi sia-sia kerana restu dan reda mereka akan menjadi sebahagian keberkatan dan kerahmatan Allah terhadap kita.
Dengan apa daya sekalipun kita hendaklah berusaha untuk menjaga hati mereka di samping memberi bantuan moral dan kewangan. Hendaknya kita melakukan yang terbaik untuk mereka ketika mereka melalui sisa-sisa hidup yang sedikit berbaki itu.
Menjadi amalan yang ditarbiyah oleh agama untuk kita berterusan menghormati dan menjaga kebajikan mereka. Biarlah kasih sayang yang dicurahkan kepada warga tua dirasai mereka dengan sempurna. Jangan sesekali mengabaikan dan mensia-siakan mereka.
No comments:
Post a Comment