Ramadan datang lagi menguji keimanan, kesabaran dan kekuatan amal kita. Bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Manafaatkanlah sepenuhnya kehadiran Ramadan dengan apa jua bentuk dan amalan kebaktian dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Amat rugilah mereka yang gagal menghayati Ramadan dengan menyamataraf bulan yang mulia ini dengan bulan yang lain.
Ramadan sering disebut sebagai bulan mujahadah yang banyak mendidik dan mengawal nafsu. Kita kini menjadi lebih penyabar dan pemaaf. Segala kemarahan kita berjaya dibendung dan kita perlu buktikan bahawa kita mampu merubah diri dengan semangat dan kesungguhan yang sebenarnya.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.”(Riwayat Ibnu Majah).
Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan lahiriah saja, bahkan memelihara kewajipan batiniah. Al-Imam Al-Ghazali menggariskan kewajipan batiniah puasa. Antaranya, menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikan daripada mengingati Allah SWT.
Memelihara lidah daripada bercakap kosong yang tidak berfaedah, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, mengeluarkan kata menyakiti hati dan menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata riak, angkuh dan sombong.
Memelihara pendengaran daripada mendengar hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengar. Dan kerana itu jugalah, Allah SWT menyamakan pendengaran yang seumpamanya seperti memakan barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya “Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.” (Surah Al-Ma’idah, Ayat 42).
Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka dimakannya makanan yang haram dan meragukan.
Elakkan dari makan sehingga terlampau kekenyangan sewaktu berbuka kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal. Ingatlah bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dari mengikut keseluruhan arahan nafsu.
Hakikat puasa dan rahsia kekuatannya ialah dengan cara melemahkan kemahuan dan keinginan yang diajar serta dilatih oleh syaitan yang membuka pintu keinginan ke arah pelbagai kejahatan.
Muhasabahlah diri kita setiap hari kerana ia terlebih baik bagi kita. Setiap hati hendaklah sentiasa menaruh rasa bimbang dan takut di sebalik harapan yang tinggi kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment