Pada hakikatnya doa merupakan suatu ibadat yang sangat istimewa dalam kehidupan seorang mukmin samada diperkenan atau tidak diperkenankan Allah. Dalam agama, doa bukan sahaja berfungsi mengeratkan hubungan diantara manusia dengan Tuhannya, bahkan turut merapatkan hubungan sesama manusia. Bagaimanapun doa mungkin boleh memberikan inpak yang buruk kalau disalahgunakan.Dalam Islam doa dianggap sebagai suatu ibadat sepertimana sabda Nabi SAW bermaksudnya "Doa itu adalah ibadah” (Riwayat al-Tirmidzi)
Bagi seorang mukmin ketika ia menadah tangan kerana memohon sesuatu dari Allah dengan penuh vokal dan emosi, jiwanya akan berasa puas dan tenteram kerana pada detik-detik sentimental itu dia berkesempatan meluahkan perasaannya kepada Allah yang mampu menyelesaikan segala masalah yang dihadapinya. Allah telah berfirman yang bermaksud “Berdoalah kepadaku akan Aku perkenankan permintaanmu” (Surah Mukmin, Ayat 60)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Tidak seorangpun muslim yang berdoa dgn sesuatu doa yang tidak berunsur dosa mahupun memutuskan silaturrahim, kecuali Allah akan memberinya satu dari tiga perkara; samada doanya diperkenankan terus, atau disimpan untuknya pada hari akhirat, atau dijauhkan darinya keburukan yang setanding dengannya. Telah berkata para sahabat : Jikalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa. Baginda menjawab : Allah lebih banyak pemberiannya." (Riwayat Ahmad)
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud “Mintalah kepada Allah kurniaannya. Sesungguhnya Allah menyukai permohonan (dari hambanya)” (Riwayat At Tirmidzi)
Rasulullah SAW juga bersabda “Tidak berdoa seseorang hamba di bumi ini melainkan ianya akan diperkenankan Allah, atau dipalingkan Allah satu keburukan daripadanya setimpal dengan apa yang dipohonnya, selama mana dia tidak meminta perkara yang berdosa atau meminta untuk memutuskan tali persaudaraan” ( Riwayat Imam Bukhari& Muslim)
Doa yang mustajab ialah berdoa khusus kepada saudara dan rakan-rakan, tanpa pengetahuannya sepertimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Seseorang Muslim yang berdoa kepada saudara seagama dengannya, tanpa pengetahuannya, akan dicatat pahala yang sangat istimewa baginya ”( Riwayat Abu Muslim)
Manakala doa kepada seseorang tanpa pengetahuannya memberi ertian yang sangat besar kepada keikhlasan dan kesucian hati terhadap pihak yang didoakan. Doa seumpama ini sangat membantu ke arah mewujudkan perpaduan sesama umat Islam, sedangkan doa yang dibaca dengan rasmi dalam sesuatu majlis, yang didengar semua orang, boleh ditafsirkan dengan berbagai-bagai tafsiran.
Imam Nawawi Rahimahullah Ta‘ala berkata bahawa doa yang semacam ini mustajab kerana keikhlasan orang yang mendoakan itu. Setengah ulama salaf apabila mereka hendak berdoa untuk diri mereka sendiri, mereka akan mendoakan juga saudara mereka yang muslim dengan doa yang seumpamanya kerana cara doa seperti ini adalah mustajab, di samping mereka juga akan mendapat seumpama apa yang mereka doakan bagi saudara mereka yang muslim itu. ( Shahih Muslim)
Sementara doa supaya Allah memusnahkan pihak-pihak yang dianggap musuh, kalaupun benar mereka musuh menurut pertimbangan agama, ia tidak wajib didoa dengan bahasa yang keras dan melampaui pertimbangan iman dan akal manusia. Sebaik-baiknya contohilah doa Nabi SAW kepada kaumnya supaya dikurniakan hidayat, walaupun mereka mencampak najis di atas belakangnya ketika sedang solat, sedang Nabi mampu bertindak balas terhadap mereka
Dalam suatu peristiwa sewaktu Nabi berdakwah ke Taif didapati seruan baginda tidak diterima malah baginda banyak menerima cercaan dan balingan batu. Namun baginda tetap mendoakan penduduk di Taif diberi hidayah oleh Allah dan tidak berdoa yang buruk-buruk untuk mereka. Doa Nabi ketika itu berbunyi “Ya Allah ya Tuhan, berilah petunjuk kepada kaumku kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui.”
Terdapat juga beberapa pertimbangan sebelum memanjatkan doa kepada Allah demi memelihara sesuatu yang tidak diingini berlaku. Sebagai contoh jangan berdoa dengan perkara yang membawa dosa dan memutuskan rahim. Baginda Rasulullah SAW bersabda “Jangan kamu berdoa buruk terhadap anak-anak kamu, harta benda kamu dan ternakan kamu. Dibimbangi berkebetulan saat mustajab doa, maka doa kamu terus diterima”
Manakala daripada Ummu Ad-Darda’ berkata, sesungguhnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud "Doa seorang muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan setiap kali dia berdoa bagi saudaranya itu. Malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: "Amin, dan bagimu seumpama (yang didoakan)." (Riwayat Muslim)
Manakala seorang sufi yang terkemuka, al-Fudayl ibn `Iyad ada menyatakan bahawa “ Jika saya mempunyai doa mustajab, nescaya saya percumakan doa itu kepada pemerintah, kerana mereka mempunyai kuasa untuk menjayakan segala cita-cita dengan mudah ”
Kalau ditakdirkan doa kita mustajab, bermakna kita berjaya mengikuti jalan pintas dalam mencapai hajat dan matlamat kita, namun kalaulaupun tidak mustajab, maka tiada apa yang rugi, kerana doa pastinya merapatkan hubungan dan dicatat sebagai ibadat.
Peranan doa sangat penting dalam Islam. Doa dikaitkan dengan ikhtiar akhir manusia dalam sesuatu perkara yang membabitkan diri sendiri atau diri sendiri dengan pihak lain. Hubungan antara Manusia dengan penciptanya menjadi terlalu rapat semasa doa dibaca dan diserahkan kepada Allah untuk dimakbulkannya.
Adalah disunatkan meminta agar didoakan oleh orang-orang yang mempunyai kelebihan sekalipun dia (orang yang meminta didoakan itu) mempunyai kedudukan yang lebih baik daripada orang tersebut (orang yang diminta supaya mendoakan), berdasarkan suatu riwayat daripada Ibnu Umar daripada Umar bin Al-Khatab RA yang maksudnya "Sesungguhnya dia (Umar) meminta izin kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk melakukan umrah. Lalu Nabi bersabda: "Wahai saudaraku! Sertakan kami di dalam doamu dan jangan engkau melupakan (untuk mendoakan) kami." (Riwayat At Tirmizi)
Maksud yang tersirat dari pesanan tersebut janganlah berdoa untuk diri sendiri sahaja, berdoalah untuk orang lain juga hatta kepada orang yang bukan berugama Islam sekalipun, tetapi dengan syarat bukan doa yang berbentuk permohonan keampunan bagi mereka, kerana ianya dilarang sebagaimana firman Allah "Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka." ( Surah At Taubah, Ayat 113)
Doa yang diharuskan kepada orang yang bukan Islam ialah doa agar mereka mendapat hidayat, sihat tubuh badan dan seumpamanya yang layak disebutkan untuk orang yang bukan Islam sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA maksudnya "Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah SAW sambil berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar keburukan ke atas mereka" Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: "Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam." (Riwayat Bukhari)
Selain daripada itu juga yang berhubung dengan doa, setiap orang Islam hendaklah menghindari daripada menzalimi dan menganiayai orang lain sekalipun kepada orang yang berbuat maksiat kerana doa orang yang dizalimi itu adalah sangat mustajab.
No comments:
Post a Comment