Rakyat Palestin, terutama kanak-kanak terus diratah oleh askar Yahudi dengan rakusnya dan air mata umat Islam terus berguguran membasahi bumi meratapi nasib saudaranya yang terpaksa mempertahankan negara dalam keadaan serba kekurangan.
Tentera Zionis bagaikan dirasuk iblis dengan menjelma menjadi binatang buas yang hilang akal ketika serangan itu dilakukan.
Kezaliman Yahudi sebelum ini terpahat dalam sejarah kezaliman melampau manusia dan pernah diceritakan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda, Abu Ubaidah bahawa Bani Israel membunuh 43 nabi pada sebelah pagi dalam satu masa.
Di Palestin kini, angka kematian terus meningkat kepada lebih 1,000 orang, ketika umat Islam di seluruh dunia berterusan menggunakan senjata 'menunjuk perasaan' sebagai memprotes kekejaman Yahudi di bumi yang berpecah kepada dua kumpulan itu.
Amalan berdekad negara Muslim, langsung tidak menjejaskan kegilaan negara kecil Yahudi yang disokong oleh negara Barat diketuai Amerika Syarikat itu. Pemimpin dan masyarakat Islam di Palestin terus menjadi lemah akibat perpecahan puak.
Allah SWT memberi peringatan dalam Firman-Nya yang bermaksud: "Orang-orang kafir itu, sebahagian mereka menjadi pelindung sebahagian yang lain. Jika kamu (kaum muslimin) tidak melaksanakan apa yang diperintah Allah ( iaitu persaudaraan yang kukuh) nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar" ( Al-Anfal : 73)
Sejarah mencatatkan dan merekodkan bahawa sebelum kemerdekaan dari penjajahan British, bilangan Yahudi tidak melebihi 56,000 orang berbanding jumlah penduduk Palestin pada masa itu berjumlah 644,000 iaitu sebanyak lapan peratus saja berbanding 92 peratus jumlah penduduk asal Palestin. Keluasan tanah yang dikuasai Yahudi cuma seluas dua peratus dari keluasan sebenar Palestin.
Bermula penghijrahan beramai-ramai Yahudi ke Palestin pada 1882 dan sehingga 1903, sekitar 20,000 sudah berada di Palestin. Selepas mencapai kemerdekaan dari British pada Oktober 1917, Balfor berjanji pada 2 November 1917 kepada Yahudi untuk membina negara Yahudi di Palestin.
Selepas kemerdekaan sehingga meletusnya peperangan 1948, Amerika Syarikat membahagikan bumi Palestin pada 29 November 1947 kepada dua negara berdaulat iaitu Palestin dan negara haram Israel yang mana diberikan 45 peratus dari bumi Palestin untuk musuh Allah SWT, Yahudi.
Ketika meletusnya peperangan pada 1948, jumlah penduduk Palestin seramai dua juta berbanding bangsa Yahudi berjumlah 650,000 iaitu, nisbah 69 peratus penduduk asal dengan 31 peratus pendatang haram Yahudi. Pertambahan yang berlaku disebabkan oleh faktor kemasukan tentera keamanan di bawah kawalan British semasa perang ini.
Faktor ini menyebabkan bilangan Yahudi memiliki 5.66 peratus saja dari keluasan Palestin. Bagaimanapun mereka terus meluaskan penguasaan dengan pengumpulan 11 peratus daripada tentera keamanan ini di 191 kampung, tujuh bandar dan menghalau setengah daripada penduduk asal pada 1948.
Kerajaan Zionis mendirikan negara mereka iaitu Israel di atas bumi Palestin yang dirampas pada 15 Mei 1948 sebaik saja British mengumumkan pengunduran tentera bantuan mereka di Palestin. Ini mencetuskan peperangan di antara Zionis, penduduk Palestin dan ketenteraan negara Arab, sesuatu yang tidak dijangka akan berlaku tetapi oleh kerana pengkhianatan dilakukan Zionis, maka peperangan ini meletus.
Peperangan ini menyebabkan Zionis berjaya menguasai 77.4 peratus dari bumi Palestin. Penyembelihan dan pembunuhan yang dilakukan Zionis ke atas penduduk Palestin menyebabkan penduduk Palestin hanya tinggal seramai 160,000 saja di dalam negara mereka yang merdeka pada 1948 berbanding jumlah Yahudi melebihi sejuta orang. Penghijrahan pendatang haram Yahudi ke Palestin sepanjang enam bulan pertama untuk meluaskan pendudukan mereka iaitu seramai 101,828 orang.
Ketika berlakunya peperangan pada Jun 1967, Zionis membebaskan beberapa tempat seperti semenanjung Sinai, Mesir dan bukit Golan, Syria. Penduduk Palestin yang terus kekal di situ ketika perang meletus seramai 2.25 juta orang iaitu dengan nisbah 70 peratus berbanding Yahudi sebanyak 30 peratus.
Jumlah yang lari dari Palestin lebih 410,000 orang disebabkan penyembelihan dan juga takut kepada kezaliman yang dilakukan Zionis. Bermulanya penempatan baru Yahudi adalah di Dhiffah dan Gaza yang dibina pada 25 November 1967. Pada tahun pertama kemerdekaan, didirikan 14 kawasan penempatan dan pendatang Yahudi yang baru seramai 12,270 orang sampai ke Palestin.
Pada Mac 1982 berlangsung 'perdamaian Jalil' yang diadakan untuk memastikan keselamatan 63 penempatan dan bandar Zionis di utara Palestin daripada serangan bom di selatan Lubnan. Antara matlamatnya bagi menamatkan rusuhan di Palestin.
Zionis meninggalkan Lubnan pada 1985 dalam keadaan mereka mengawal di selatan serta memindahkan peralatan mereka antara 10 hingga 20 kilometer. Persepakatan dibuat dalam perjanjian Kem David dengan pihak Zionis berundur dari Sinai pada Mei 1982 dengan syarat dibebaskan daripada kawalan.
Selepas perjanjian Gaza dan Ariha pada September 1993 berlangsungnya perjanjian Oslo. Perjanjian membuat pembahagian yang tetap mengenai dua bandar utama iaitu Gaza dan Ariha. Kedua-dua bandar ini meliputi 1.5 peratus daripada bumi Palestin dengan keluasan Gaza ialah 363 kilometer persegi dan jumlah penduduknya adalah seramai 800,000 orang serta jumlah penduduk Yahudi di situ pula seramai 5,000 orang.
Keluasan Ariha pula adalah 60 kilometer persegi dengan penduduknya seramai 25,000 orang. Sebelum perjanjian Oslo dibuat, Israel sudah menguasai 65 peratus tanah di Dhuffah dan selepas perjanjian itu, 73 peratus daripadanya jatuh ke tangan Yahudi. Penduduk Palestin sekarang seramai 7.2 juta dan daripada jumlah itu, 4.4 juta adalah Yahudi dan 2.8 juta pula penduduk asal Palestin.
Bagaimanapun angka 7.2 juta penduduk Palestin tidak boleh menggambarkan kekuatan mereka. Mereka serba kekurangan di segi senjata dan peralatan perang. Gerakan Intifadah al-Aqsa (2000) untuk menentang Yahudi menggunakan batu sebagai senjata utama.
Selepas kematian Arafat, perpecahan kepemimpinan di Palestin menjadi agenda yang memudaratkan nasib masyarakat Palestin. Perpecahan akibat saingan di antara golongan muda dengan golongan veteran Fatah bukan lagi rahsia.
Kekalahan Fatah dalam pilihan raya majlis Baladiyat (Perbandaran) dan Legislatif memberi jawapan kepada masalah dalaman Fatah. Sebuah kerajaan boleh hancur kerana perpecahan.
Kemenangan Hamas dalam pilihan raya 25 Januari 2006 tidak memberi impak kepada pengukuhan Palestin.
Walaupun berjaya sebagai pemerintah Palestin, Hamas tidak mempunyai program meyakinkan bagi menyelesaikan masalah politik terutama berkaitan gagasan penyatuan puak yang berpecah itu.
Ismail Haneyah, menjadi pemimpin hebat hanya kerana kebolehan pintar beretorik tanpa agenda khusus bagi menyatu, menguatkan dan membina Palestin.
Akibatnya Palestin terus berpecah yang menjurus kepada kelemahan. Demi menyelamat Palestin, percubaan dibuat untuk mewujudkan kerajaan campuran di antara Hamas dan Fatah. Hamas tidak keberatan menerima cadangan itu dengan syarat tertentu berdasarkan kehendak rakyat Palestin.
Ketika rakyat Palestin dihukum oleh kuasa Barat kerana pilihan demokratik mereka, Hamas dan Fatah kelihatan bercakaran sesama sendiri. Mereka lupa kepada firman Allah SWT yang bermaksud "Dan janganlah kamu berselisih, maka kamu jadi lemah dan hilang kekuatan" ( Al-Anfaal : 46)
Tatkala pihak rejim Zionis mencabuli tempoh tahdiah (gencatan senjata) dan membunuh rakyat Palestin melalui operasi Summer Rains, Hamas dan Fatah sanggup berbunuhan sesama sendiri. Mereka bukan setakat bercakaran malah menghalalkan darah sesama mereka.
Dalam hal ini Rasulullah pernah mengingatkan kaum Muslimin supaya sentiasa bersatu dengan mengelakkan berpecah. Pemimpin Palestin tahu. Pemimpin Arab pun tahu akan perkara ini tetapi mereka gagal untuk menterjemahkannya dalam bentuk pelaksanaan. Inilah wajah sebenar Palestin dan dunia Arab masa kini.
Hari ini, bentuk dan rupanya akibat perpecahan itu menghantui masyarakat Islam keseluruhannya, termasuk di negara kita. Perpecahan yang berselindung di sebalik perebutan kuasa dan penonjolan puak itu gagal untuk mengambil iktibar sejarah lampau.
Umat Islam sedikitpun tidak berasa bersalah kerana membiarkan keadaan itu berterusan di sebalik seruan demi seruan untuk penyatuan mereka. Setiap kali apabila ada masalah negara Islam yang diserang dan dijajah, maka serentak dengan itu seruan penyatuan diperkatakan.
Apabila berlaku serangan ke atas Palestin, Zionis dipersalahkan kerana sikap biadap dan zalim mereka yang mencabuli undang-undang kemanusiaan dan persetujuan antarabangsa. Sementara, masyarakat Palestin pula dipersalahkan kerana menyediakan ruang kepada Zionis melalui rekahan dan lorong perpecahan yang mereka sediakan.
Semoga Allah SWT menyatukan hati mereka dan hati Muslim keseluruhannya, terutama masyarakat Islam di negara ini.
No comments:
Post a Comment