Keindahan reka bentuk binaan semata-mata tak dapat bentuk masyarakat Islam bersahsiah mulia
Masjid adalah rumah Allah SWT yang menjadi tempat manusia sujud, patuh dan mengingatnya. Pengunjung di dalamnya adalah orang yang memakmurnya dan sebaik-baik bidang tanah Allah SWT di muka bumi ini, sebagai menara petunjuk agama untuk majlis zikir, mihrabnya pula adalah ibadat, menaranya pengajaran ilmu dan pengetahuan syariat Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan sesungguhnya masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah” ( Al-Jin:18)
Rasulullah SAW pula menyebut mengenai kelebihan bagi mereka yang membangunkan masjid seperti mana sabda Baginda, “Barang siapa yang membangun rumah Allah (masjid) di dunia, maka Allah akan membangunkannya rumah di syurga” (Riwayat Muslim).
Kini didapati pembabitan generasi baru dalam menjayakan pelbagai aktiviti masjid tampak muram dan suram sekali. Berbeza dengan aktiviti hiburan yang sentiasa penuh dan kadang kala melimpah ruah. Perkembangan ini dibimbangi akan memberi kesan untuk jangka panjang. Setidak-tidaknya sebelum gambaran yang tidak ceria terpaksa diterima, kita bersedia untuk bertindak lebih awal dari menjangkakan sesuatu yang pasif secara memanjang.
Pendekatan baru memperkasakan aktiviti masjid mesti dimulakan dalam bentuk tindakan dan bukannya teori lagi. Fokus kepada usaha menjadikan masjid sebagai paksi aktiviti ummah sama ada di bandar atau di kampung hendaklah dijadikan agenda negara yang diminitkan untuk dilaksanakan segera.
Selama ini kita banyak memberi fokus lebih kepada aspek reka bentuk dan perancangan bangunannya mestilah berjalan serentak dengan memperkasa aktiviti dan fungsi masjid itu sendiri agar mampu mengharungi arus cabaran semasa.
Jika kita ghairah untuk bercakap mengenai kecantikan dan hiasan masjid semata-mata atau menceritakan kehebatan masjid berdasarkan sejarah keagungan Islam, selama itulah kita terus hanyut dengan memori silam yang amat indah. Justeru, kita akan tetap leka dan alpa. Manakala hasilnya kita akan gagal dan terus gagal dengan teori kecemerlangan silam pastikan berulang. Maknanya, perancangan untuk memperkasa masjid sebagai institusi kental masyarakat tidak akan berjaya. Apalagi dalam membentuk masyarakat Islam semasa yang bersahsiah mulia dan berupaya menghadapi cabaran semasa.
Krisis identiti yang melanda generasi Islam kini memerlukan pembedahan segera untuk mencari puncanya. Gejala sosial yang melanda remaja berkait rapat dengan keadaan mereka yang kehilangan tanggungjawab kepada ibu bapa dan kehidupan bermasyarakat dan kita gagal mencari jawapannya walaupun berhadapan soalan yang sama untuk sepanjang masa. Walhal jawapan yang tepat ialah faktor menjauhi masjid dan membunuh benih-benih agama dalam diri.
Apa yang dimaksudkan dengan krisis identiti ini adalah pembenihan budaya asing yang dulunya dianggap luar biasa dan janggal di dalam budaya hidup masyarakat Muslim. Bayangkan keadaan di mana proses pembesaran seseorang individu tidak lagi diikat dengan amalan kehidupan Muslim yang amat rapat dengan kita sebelum ini seperti upacara berkhatan, marhaban, perkahwinan dan khatam al-Quran.
Adalah wajar aktiviti semasa dan amat popular di kalangan masyarakat pelbagai peringkat pada hari ini dibawa ke masjid bagi menarik generasi muda dan mempertahankan hubungan komuniti setempat.
Pertama, mewujudkan medan ilmu dan memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat (ICT) di masjid. Kita dapati bahawa pengisian akademik mempunyai beberapa matlamat penting dalam pembinaan seseorang Muslim yang berilmu, beribadah, bertanggungjawab dan berkeperibadian tinggi. Seseorang Muslim itu perlu memahami tanggungjawab individu sebagai seorang Muslim dari sudut memahami dan mempraktikkan ibadat khusus dan tanggungjawab terhadap keluarga, tetangga dan komuniti. Minda seseorang Muslim itu dibentuk agar ia lebih kritis mencari, memahami dan menilai ilmu dan bukan bergantung semata-mata daripada satu sumber ilmu saja.
Kedua, Muslim yang mempunyai hubungan silaturahim yang erat sesama sendiri dan mempunyai tahap toleransi baik dengan bukan Muslim dalam sesebuah komuniti melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Aktiviti ini juga dilihat sebagai medan saluran berdakwah kepada masyarakat bukan Muslim. Seseorang Muslim itu perlu mengetahui tanggungjawab serta cabaran yang mungkin diterima daripada orang yang belum menerima penjelasan Islam dengan baik.
Ketiga, dalam menghasilkan Muslim yang mempunyai tubuh yang sihat dan kuat bagi menggembleng segala aktiviti serta mampu merapatkan hubungan komuniti setempat, aktiviti yang sesuai dan dicadangkan berkait dengan aspek penjagaan kesihatan seperti khidmat ceramah kesihatan, rawatan dan pemeriksaan kesihatan yang berpusat di masjid.
Keempat, pembabitan golongan remaja seharusnya diberi perhatian khusus sebagai pelapis generasi Islam yang mempunyai tanggungjawab jelas. Mereka ini akan mewarisi budaya hidup Islam. Program-program sesuai seperti sukan, sukaneka, pelajaran seni mempertahankan diri dan senaman dapat menjayakan objektif pembangunan jasmani ummah.
Kelima, pembangunan ekonomi setempat melalui penjanaannya yang berpusat di masjid. Budaya menerima sumbangan derma mestilah disertakan sama dengan usaha kepelbagaian ekonomi yang berteraskan keusahawanan dan perniagaan. Adalah wajar kalau masjid boleh digarap sebagai medan penjanaan ekonomi ummah.
Kursus motivasi yang dijayakan di masjid akan dapat mempertemukan individu serta keluarga dalam suatu keluarga besar. Hubungan kemasyarakatan menjadi lebih rapat dan tentunya akan memudahkan pengisian program keagamaan dan pendidikan.
No comments:
Post a Comment