(Pekerja curi masa ketika di pejabat, buat kerja peribadi akan diperhitung di akhirat)
Menjalankan kerja yang halal bermakna membawa rezeki diberkati untuk
menanggung kehidupan sendiri mahupun keluarga. Jauhilah daripada kerja haram
dan subahat kerana kelak pintu keberkatan rezeki akan tertutup.
Daripada Anas bin Malik meriwayatkan, seorang lelaki daripada kaum Ansar
datang menemui Rasulullah SAW dan meminta sesuatu kepada Baginda. Tiba-tiba
Rasulullah SAW bertanya lelaki itu: "Adakah sesuatu di rumahmu? Jawabnya:
Ada, ya Rasulullah. Saya mempunyai sehelai kain tebal, yang sebahagian kami
gunakan untuk selimut dan sebahagian kami jadikan alas tidur. Selain itu,
saya juga mempunyai sebuah mangkuk besar yang kami guna untuk minum."
Rasulullah SAW meminta lelaki itu membawa barang berkenaan dan
menyerahkannya kepada Baginda. Setelah barang diterima, Rasulullah SAW
melelongnya kepada sahabat yang hadir pada saat itu, Baginda menawarkan pada
siapa yang mahu membeli.
Salah seorang sahabat menawar kedua barang itu dengan harga satu dirham.
Tetapi Rasulullah SAW menawarkan kepada mereka barangkali ada yang sanggup
membeli lebih daripada satu dirham. Kemudian ada yang menawarkan dua dirham
dan Rasulullah SAW menyerahkan kedua barang itu kepada si pembeli dan
menerima wangnya.
Wang itu lalu Baginda SAW serahkan kepada lelaki Ansar berkenaan, seraya
berkata: "Belikan satu dirham untuk keperluanmu dan satu dirham lagi belikan
sebuah kapak dan engkau kembali lagi ke sini." Tidak lama kemudian lelaki
itu kembali menemui Rasulullah SAW dengan membawa kapak.
Rasulullah SAW melengkapi kapak itu dengan membuatkan gagangnya terlebih
dulu, lantas berkata, "Pergilah mencari kayu bakar, lalu hasilnya kamu jual
di pasar dan jangan menemui aku sampai dua pekan." Lelaki itu taat
melaksanakan apa yang disaran Rasulullah SAW.
Selepas dua pekan berlalu lelaki itu menemui Rasulullah SAW melaporkan hasil
kerjanya. Dia memberitahu Rasulullah SAW bahawa selama masa itu dia berjaya
memperoleh wang sebanyak sepuluh dirham. Sebahagian perolehan digunakan
untuk membeli makanan dan pakaian.
Selepas mendengar kata-kata lelaki Ansar itu, Rasulullah SAW bersabda:
"Pekerjaanmu ini lebih baik bagimu daripada kamu datang sebagai pengemis,
yang akan membuat cacat di wajahmu kelak pada hari kiamat."
Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: "Demi Allah, jika seseorang di
antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar,
kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi
keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi
perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang
seharusnya dipertahankan. Islam menghargai orang yang bekerja dengan
tangannya sendiri.
Rasulullah SAW pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang paling baik? Beliau
menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri
dan semua jual beli yang dianggap baik." (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Seorang yang bekerja dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya akan
bertambah martabat serta kemuliaannya. Sebaliknya, mereka yang berat tulang
dan lebih selasa menganggur, memberi imej buruk dan negatif pada pandangan
serta penglihatan orang lain.
Diceritakan pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab melihat Zaid bin
Maslamah sedang menanam tanaman di tanahnya, maka berkatalah Saidina Umar
kepada Zaid: "Benar sekali perbuatanmu itu. Engkau tidak menggantungkan
hidupmu kepada orang lain adalah cara terbaik untuk memelihara agamamu dan
amat mulia untuk menjaga martabat dirimu."
Saidina Umar juga pernah memberitahu: "Sesungguhnya aku memandang seorang
pemuda, maka aku kagum kepadanya. Lantas aku bertanya kepadanya apakah
pekerjaan yang dilakukannya. Lalu dijawab tidak, maka jatuh nilai pemuda itu
pada pandanganku."
Memang benar kehidupan sebagai buruh sangat berbeza dengan kehidupan
eksekutif. Secara umumnya buruh dilihat memerah keringat sementara eksekutif
bertungkus-lumus memerah dan mengeluarkan idea.
Jika semuanya itu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah nescaya ia
akan menghasilkan produk yang sangat bermanfaat dari segi masa, kos dan
tenaga sementara ruang lingkup kehidupan pula akan lebih sejahtera.
Di samping itu, kita hendaklah mengetahui setiap tugas atau kerja yang
diberi Allah SAW kepada seseorang itu adalah menurut kemampuan mereka
seperti firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang
melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya." (Surah al-Baqarah , ayat
286)
Ayat itu menegaskan tidak ada sebab bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan
mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Seseorang pekerja itu
boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya, melainkan pekerja itu sendiri
tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya.
Bagi pekerja yang punya prestasi kerja tinggi, komited, menjaga akhlak, masa
dan bermatlamat jelas untuk kepentingan keluarga, agama dan majikan, wajar
dihargai serta disanjung tinggi. Islam memandang tinggi kepada golongan
pekerja seperti ini.
Apalagi banyak antara mereka yang melakukan kerja dari subuh hingga larut
malam bagi tujuan memenuhi keperluan keluarganya. Atas niat yang betul,
mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Pekerja mahu pun majikan wajib mentaati dan menjalankan tanggungjawab
masing-masing dengan penuh amanah. Seorang buruh wajib bekerja sesuai dengan
akad yang disepakati bersama begitu juga majikan memastikan pekerja mendapat
haknya.
Jangan sekali-kali kita lupakan bahawa bekerja mengikut kaedah Islam adalah
berbeza mengikut pendekatan Barat. Dalam Islam, pekerjaan halal yang dipilih
akan meletakkan status pelakunya pada tahap yang tinggi sehingga pahala
diperoleh seperti pahala orang yang berjihad di jalan Allah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa bekerja untuk anak isterinya
melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang
berjihad di jalan Allah." (Hadis Bukhari)
Kita hendaklah insaf dan sedar bahawa setiap kegiatan dan pekerjaan di
dunia ini akan dihitung di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud:
"Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang sudah diperbuatnya."
(Surah al-Muddaththir, ayat 38)
Kita tidak boleh mengambil peluang mencuri masa dengan membuat kerja
peribadi dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong,
meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak kerana kita akan dihukum di
akhirat kelak walaupun terlepas hukuman di dunia.
Sebaliknya, berbahagialah kita di dunia dan akhirat jika kita melaksanakan
tugas menurut tuntutan Islam dan bergembiralah mana-mana pekerja yang
mendapat keredaan Allah dengan ganjaran pahala.
Islam benci kepada mereka yang layak bekerja tetapi menjadi pengemis atau
penganggur sementara yang mempunyai tanggungjawab perlu melaksanakan tugas
dengan sebaik-baiknya dan amanah kerana Allah SWT.
No comments:
Post a Comment