(Mudah kecewa, putus asa jejas kualiti peribadi punca kita mudah dipengaruhi nafsu)
Futur adalah suatu penyakit baru yang melanda sebahagian daripada umat Islam. Dalam
konteks bahasa, futur ertinya putus selepas bersambung atau tenang selepas bergerak. Juga boleh memberi erti malas atau lambat selepas rajin dan bersungguh-sungguh. Dalam erti kata lain, futur adalah penyakit kecewa yang boleh membunuh sahsiah Muslim. Penyakit ini berupaya merencat saraf rangsangan aktivis dalaman yang akhirnya mengganggu kesungguhan dalam kerja yang diamanahkan. Ia berpunca daripada hati. Penyakit futur ini menukar sama-sekali perlakuan pelakunya daripada seorang rajin dan semangat bekerja kepada sikap malas, putus asa, menunda atau berlambat-lambat melakukan pekerjaan.
Ia dikaitkan dengan kegagalan mencapai matlamat yang dihajati seperti tewas dalam peperangan, kalah dalam pilihan raya, gagal mencapai cita-cita peribadi atau tidak mencapai maksud dicita-citakan. Jangan sampai ia menular dan menjadi pembunuh semangat yang senyap dalam diri individu Muslim, yang akhirnya mengembang kepada kumpulan atau jemaah Muslim sendiri.
Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berbuat baiklah sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah, Allah tidak berasa bosan sehingga kamu sendiri yang berasa bosan. Dan amalan ad-din yang paling dicintai (Allah) ialah yang dilakukan secara rutin oleh pelakunya."
Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada harga perjuangan, persoalan yang melanda dalam diri berpunca daripada sikap dan kualiti diri kita, ketika semangat perjuangan membakar, hendaklah segera diatasi. Jangan biarkan keinginan dan nafsu menguasai diri melepasi perjuangan sebenarnya.
Ingatlah, peristiwa kekalahan pejuang Islam dalam Perang Uhud boleh memberi iktibar kepada kita. Ketika pejuang sudah mendekati kemenangan tatkala menentang musuh, namun berakhir dengan kekalahan di luar jangkaan, kerana sebab utamanya adalah kegagalan pejuang memelihara kualiti diri mematuhi arahan ketua.
Apabila keseimbangan itu hilang, tentu akan terjadi keadaan yang tidak stabil, sedangkan strategi awalnya amatlah baik. Namun, arahan yang sepatutnya ditaati tidak berupaya diterjemahkan dalam bentuk taat dan patuh kepada arahan ketua.
Allah mengingatkan kita melalui firman yang bermaksud: "Sesungguhnya pada kisah mereka itu ada pengajaran bagi orang yang mempunyai fikiran. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi ia membenarkan (kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman." (Surah Yusuf, ayat 11)
Sepatutnya apa yang pernah menimpa kepada umat Islam dulu dijadikan pengajaran supaya kita tidak melakukan kesilapan serupa. Tujuan Allah menceritakannya dalam al-Quran ada hikmah dan pengajarannya.
Firman Allah yang bermaksud: "Maka ambil iktibar (pengajaran), wahai orang yang mempunyai penglihatan." (Surah al-Hasyr, ayat 2) Sesungguhnya, banyak peristiwa berlaku pada kita hari ini adalah suatu putaran dan pusingan kehidupan. Apa yang kita alami kini pernah berlaku suatu ketika dulu dalam keadaan yang mungkin sama, cuma masa saja berlainan.
Percayalah, setiap kejadian yang berlaku hari ini akan berlaku pada depan. Yang pentingnya ialah bagaimana kita menghadapi kejadian yang akan datang melalui perancangan berjadual. Perancangan seperti ini disebut juga sebagai perencanaan berstrategik. Sejarah perjuangan Rasulullah SAW penuh dengan perancangan dan strategi. Bermula dengan penerimaan wahyu, diikuti penyebaran Islam secara tersembunyi dan akhirnya secara terang-terangan.
Begitu juga ketika berlakunya penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib, bagaimana perancangan rapi diatur Rasulullah berjaya mencapai matlamat. Ketika menjadi Ketua Negara Madinah, Baginda Rasulullah SAW membuat perancangan secara teliti dengan mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin untuk memperkuatkan kaum Muhajirin. Diikuti perjanjian dengan puak Yahudi demi mewujudkan sebuah negara bangsa yang kuat dan utuh di Madinah sehingga akhirnya berjaya menakluki semula Makkah.
Pengurusan berstrategik memerlukan kita untuk membuat perencanaan bagi menentukan matlamat, menggariskan kaedah dan tindakan untuk mencapai matlamat itu. Strategi diperlukan menggabungkan pelbagai instrumen kekuatan sumber dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya. Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan. Dalam soal mengatur perancangan strategi, soal penguasaan ilmu sangat penting. Rasulullah SAW menjelaskannya dalam hadis yang bermaksud: "Apabila kamu menghendaki hidup berjaya di dunia hendaklah kamu berilmu dan apabila kamu menghendaki hidup berjaya di akhirat hendaklah berilmu dan apabila kamu menghendaki kedua-duanya hendaklah juga kamu berilmu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya, penguasaan ilmu perancangan berupaya membantu membuat perencanaan secara lebih tersusun. Gerak kerja ini perlu penelitian rapi berdasarkan kepakaran bersumberkan ilmu. Begitu juga untuk menyusun strategi. Strategi yang baik akan membuahkan hasil yang baik. Strategi yang baik terhasil daripada pemerhatian dan kajian.
Strategi yang baik juga berupaya membangunkan, mengekalkan, menangani masalah yang timbul serta cekap dalam mengatur serangan, menyerang dan menguasai musuh seperti mana dibuktikan panglima Islam terkemuka, Salahuddin Al-Ayubi. Jika kita hanya membangun daripada segi perancangan strategi untuk memantapkan, mengukuh dan menguatkan jemaah saja sedangkan kekuatan dan strategi diatur musuh diketepikan, jawapannya kita tidak mampu menandingi pihak musuh dan tidak akan berkebolehan mengalahkan mereka.
Jangan lupa, musuh juga pasti tidak henti-henti membuat perencanaan untuk menandingi kekuatan kita. Kadangkala kita lupa bahawa strategi musuh di luar batas pemikiran. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk mereka segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan daripada pasukan berkuda yang lengkap dan sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahui sedang Allah mengetahuinya, dan apa-apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-anfal, ayat 60)
Perencanaan yang dibuat haruslah ada tata kaedah tertentu, dilaksanakan secara berperingkat, tersusun kemas dan teratur. Perencanaan hendaklah dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa. Ini penting kerana faktor emosi dan masalah sekeliling yang menekan akan menjadi sebab kepada perencanaan yang tidak bagus.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah." (Hadis riwayat Tirmidzi)
Kajian menyatakan kejayaan dalam sesuatu tindakan bergantung kepada kesungguhan untuk melaksanakannya, disamping faktor pengurusan masa. Faktor penguasaan isu semasa dan keadaan sekeliling juga sebahagian daripada momentum yang penting. Perancangan yang dibuat mestilah atas sifat sebagai hamba kepada Tuhannya. Penentuan kejayaan atau kegagalan itu bukan diberi kata putus oleh manusia. Oleh itu kita jangan menjadi angkuh dan sombong kerana kepakaran mengatur perencanaan dan menjadi strategi yang baik.
Ingatlah kuasa Allah yang menentukan kejayaan atau kegagalan. Jika kegagalan itu ada di pihak kita, ingatlah apa yang Allah katakan, 'ia adalah akibat daripada gara-gara kamu sendiri' dan setiap kejayaan daripada apa yang dirancang itu disambut dengan penuh kesyukuran. Jangan menjadi angkuh dan sombong atas kejayaan itu.
No comments:
Post a Comment