(Ganjaran pahala bagi individu berkata sesuatu yang perlu, hindar percakapan tak berfaedah)
Pilihanraya sering menjadi medan perdebatan dan berhujah oleh parti yang bertanding bertujuan menarik pengundi menyokong kumpulan mereka. Lidah memainkan peranan penting ketika menuturkan ucapan dan kata-kata.
Sama ada ketika pilihan raya atau menjalani kehidupan biasa dalam lingkungan keluarga dan masyarakat, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuturkan kata-kata tanpa dibatasi disiplin agama yang mengawal dan menjaganya.
Tidak mengira dalam suasana apa sekali pun, Islam amat menjaga, memelihara dan mengawal penggunaan lidah dan tingkah laku. Rasulullah SAW mengingatkan sekiranya mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hendaklah ia mengeluarkan tutur kata yang baik, dan sekiranya tidak ada sesuatu yang baik yang hendak diperkatakannya, maka hendaklah ia berdiam diri saja.
Ingatlah Allah menciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara menyampaikan apa terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia. Allah berfirman, "Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Quran. Allah menciptakan manusia, mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya)" (Surah ar-Rahman: 1-4)
Berceramah sama ada secara langsung atau melalui media mesti mengikut tatacara dan adab tertentu yang ditetapkan agama. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.
Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadah yang besar pahalanya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Sementara itu, Abdullah ibnu Abbas RA, saudara sepupu kepada Rasulullah ada menyebut bahawa, ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.
Pertama – Janganlah engkau berbicara mengenai sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu mengenai perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.
Kedua – Jangan berbicara mengenai sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara sesuatu yang penting baginya, tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal yang memalukan.
Ketiga – Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu, manakala orang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.
Keempat – Ceritakan kepada saudaramu yang tidak hadir mengenai apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.
Kelima – Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan.
Ingatlah, bahawa tutur kata yang dikeluarkan seseorang itu mampu mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal waras, bercakap benar, sopan-santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata kotor.
Memang benar, sebagai manusia kita berhak menyuarakan pandangan dan pendapat kita kepada pihak kedua. Bagaimanapun sebarang pengucapan dan pandangan yang kita utarakan hendaklah dalam adat dan batas dibenarkan Islam.
Janganlah sampai ke tahap tutur kata yang tidak dikawal itu menimbulkan rasa marah, menghina, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor, mengutuk, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan pihak kedua.
Sikap demikian boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan. Amat tidak elok kalau suasana kita masih meraikan Aidilfitri kita cemarkan dengan pertuturan kita yang tidak dikawal dan merosakkan hubungan persaudaraan kita dengan saudara seagama dan rakan kita.
Allah berfirman: "Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik (mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya (menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk (mati) yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi." (Surah Ibrahim: 24)
No comments:
Post a Comment