ISLAM menekankan aspek perancangan strategi dalam apa saja tindakan, termasuk pengurusan ekonomi. Selain kekuatan akidah, umat Islam memerlukan harta untuk membolehkannya mencapai objektif kehidupan.
Ini bermakna kekuatan ekonomi berperanan penting bagi membolehkan umat Islam mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Dengan harta, urusan agama dan urusan dunia menjadi lebih mudah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Untuk membangunkan kekuatan ekonomi, kita perlu kesedaran dan pengetahuan dalam merancang serta mengurus kewangan mengikut apa yang digariskan Islam.
Kisah Nabi Yusuf AS membuat perancangan untuk Mesir yang menghadapi kegawatan ekonomi akibat kemarau selama tujuh tahun patut diteladani dan dicontohi, terutama pemimpin negara.
Kisah Nabi Yusuf AS memberi pengajaran berharga pentingnya pelan strategik dan futuristik menyelamat ekonomi rakyat serta negara dengan mengimbangi kadar penghasilan, penabungan, perbelanjaan selain pelaksanaan sistem ekonomi bijaksana yang berkesan.
Nabi Yusuf AS yang bersuluhkan wahyu Rabbani, menyarankan perancangan ekonomi pertanian untuk jangka waktu 14 tahun dengan membuat perimbangan antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan dan pelaburan semula. Dengan perencanaan bersifat melihat ke hadapan, krisis ekonomi yang dikhuatiri menimpa negara dapat dihindarkan.
Hanya melalui perancangan dan penjanaan ekonomi yang baik, pengurusan teratur dan mantap serta memanfaatkan sumber rezeki dianugerahkan Allah SWT secara optimum berupaya membangunkan kehidupan lebih kondusif.
Hari ini kita berdepan cabaran ekonomi semasa kesan daripada kemelesetan dunia. Penyakit yang sukar dikesan puncanya walaupun dikemukakan pelbagai teori. Justeru, peralihan tumpuan kepada sektor pertanian wajar diberi perhatian.
Galakan supaya penyertaan dalam sektor ini mesti dipertingkat. Sebenarnya, sektor pertanian memainkan peranan besar pada awal 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga 1980-an.
Ekonomi negara selepas merdeka dimonopoli aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika itu menunjukkan sumbangan sektor pertanian dan perlombongan mencecah angka 46 peratus.
Pertumbuhan dan daya maju sektor pertanian memerlukan kita mengubah cara pertanian tradisional kepada bercorak lebih komersial.
Petani dan peladang bukan saja perlu menggunakan teknologi canggih, tetapi juga mengamalkan pengurusan lebih tersusun. Berslogankan “Pertanian adalah satu perniagaan” Islam sebenarnya sudah lama memberi galakan supaya sektor pertanian diberi keutamaan.
Menurut sejarah Islam, selepas Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bukan saja menyusun pentadbiran dan menyatukan antara Ansar dan Muhajirin, bahkan Baginda mula melihat potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Madinah.
Rasulullah SAW menggalakkan pendudukan Madinah untuk mempertingkat hasil pertanian. Bumi Madinah ketika itu sememangnya subur dan perlu diusahakan dengan lebih giat. Sebagai penggalak, mereka diberi insentif untuk memiliki tanah diusahakan.
Diriwayatkan Aisyah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memakmurkan (mengusahakan) tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Perubahan struktur dalam sektor pertanian memerlukan pengorbanan besar kerana petani harus peka dan bersedia menerima serta membuat perubahan dalam amalan pertanian termasuk penggunaan teknologi baru. Mereka harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha lebih gigih merebut peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang Muslim pun yang bertani atau berladang lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang melainkan bagi dirinya daripada tanaman itu pahala sedekah.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Allah SWT menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut Islam. Perlu diingat, hanya rezeki yang halal mesti dicari kerana di situ letaknya keberkatan dan ganjaran Allah SWT.
Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Imam An- Nawawi, kelebihan bercucuk tanam dan ganjaran bagi orang yang melakukannya itu berterusan hingga hari kiamat selagi tanaman itu masih kekal. Mereka yang mengusahakannya akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan bahawasanya seseorang itu tidak akan memperoleh (kebaikan) kecuali daripada hasil usahanya sendiri.” (Surah an-Najm, ayat 39)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman melainkan Allah menetapkan baginya ganjaran pahala sebanyak jumlah yang dihasilkan oleh tanaman itu.” (Hadis riwayat Ahmad).
No comments:
Post a Comment