Hari ini kita beruntung kerana berada dalam negara yang harmoni dan aman tenteram. Nikmat yang dikurniakan Allah untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Hanya mereka yang tidak menggunakan nafsu bersendikan amarah dan dendam sahaja yang tidak mensyukuri nikmat yang teramat mahal nilainya itu.
Nikmat keamanan dan keharmonian dalam negara kita turut dinikmati sama oleh penduduk bukan muslim. Yang jelas dan pasti seluruh masyarakat di dalam negara ini mengutamakan iklim kehidupan yang aman dan harmoni. Justeru, penduduk bukan Islam tidak perlu merasa bimbang tentang keselamatan dan kebebasan mereka selagi mereka menghormati prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama.
Masyarakat bukan Islam bebas untuk berinteraksi dalam persekitaran sosial orang Islam dan untuk berintegrasi dengan mereka bagi menjamin kestabilan, keharmonian masyarakat, kemajuan dan kemakmuran.Begitu juga dengan sebaliknya. Suasana yang unik yang tidak terdapat dimana-mana negara yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan ras yang berbeza tetapi berkongsi negara dengan akal daya.
Seluruh masyarakat Malaysia hendaklah terus mengamalkan toleransi, sifat terbuka dalam hubungan sosial, bersama menggalakkan kesatuan, integrasi masyarakat, meluaskana ruang bersama, saling memahami, saling menghormati,saling mempercayai, saling meyakini antara satu sama lain. Mereka hendaklah menghalang sentimen agama daripada menjadi punca perbalahan dan persengketaan.
Dengan kata lain, demi menjaga keharmonian beragama di Malaysia, seluruh warga Malaysia mestilah mengamalkan sifat sederhana dan menjauhi elemen pelampau yang menjadi pembunuh yang boleh menghancurkan keamanan dan keharmonian yang dibina lebih dari 5 dekad itu.
Islam sebagai agama yang menekankan keamanan dan kesejahteraan sepertimana yang terkandung di dalam makna Islam itu sendiri. Seluruh warga Malaysia mestilah menjadi pendokong nilai-nilai kebaikan sejagat seperti cintakan keamanan, kedamaian dan keadilan sejagat.
Dalam satu hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda bahawa Orang Islam yang paling baik ialah menyebarkan salam apabila bertemu, sama ada dia kenal atau tidak orang itu. Pengulangan salam ini iaitu "Assalamualaikum" adalah kenyataan sebenar terjemahan daripada perasaan kedamaian yang ada dalam hati seseorang. Islam mahu menanamkan perasaan ini dalam setiap individu bahawa roh Islam benar-benar cintakan kesejahteraan,keamanan dan keharmonian. bertolak dari perasaan ini yang melakat dihati dan diluahkan apabila bertemu dengan seseorang dengan suluhan maksud dan makna yang amat jelas dan penuh ertian.
Dalam hal ini Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa "Orang Islam itu ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam daripada (bahaya ancaman) lidah dan tangannya". (Riwayat Bukhari).
Dalam suatu yang lain Rasulullah SAW bersabda "Demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, lalu ditanya, siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah? Jawab baginda: iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jadi, jelas bahawa untuk memelihara sistem hidup manusia atas landasan keamanan ialah dengan menjaganya agar ia bebas daripada unsur-unsur perpecahan. Sebab itulah, al-Quran menyatakan "... dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaiknya." (Al -A"raaf, ayat 85)
Sebenarnya, pembentukan satu rupabangsa yang berlainan aqidah, kepercayaan, amalan dan adat resam tetapi berkongsi hidup dalam sebuah negara secara aman dan saling bantu- membantu di antara satu sama lain bukanlah satu yang mustahil.
Meskipun mereka mempunyai nilai budaya yang berbeza, namun hubungan sentiasa berlaku di dalam keadaan harmonis, bukan sahaja di antararakyat dengan rakyat, malah di antara kerajaan dengan kerajaan, seperti antara kerajaanMelayu Melaka dengan China. Pergeseran kaum tidak pernah berlaku berpuncadaripada perbezaan pegangan agama kerana mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Suasana hidup bermasyarakat seperti ini telah dilaksanakan oleh Rasullah SAW sejak daripada zaman permulaan Islam lagi. Rasulullah telah membentuk satu ummah yang terdiri daripada orang-orang Islam (Muhajirin dan Ansar) yang berlatar belakangkan berbagai puak dan bangsa. Di samping orang-orang Islam, konsep ummatanwahidah yang menjadi gagasan besar Rasulullah SAW ini juga turut memasukkan orang-orang Yahudi yang menjadi warga negara Islam Madinah. Piagam Madinah memberikan hak sama rata kepada seluruh penduduk tanpa sebarang diskriminasi melangsungkan pembinaan masyarakat yang harmonis dan aman selesa.
Namun untuk menghancurkan keamanan dan keharmonian hidup bermasyarakat yang sekian lama dirasai oleh penduduk yang berbilang kaum di negara ini amat senang. Kerja meruntuhkan binaan yang kukuh dan mantap boleh dilakukan hanya sekelip mata saja namun membinanya semula tidak mungkin secepat kerja memusnahkannya. Apakah lagi kemusnahan itu bermula dari prasangka buruk yang merebak dan cepat dipercayai walaupun kebenaranya tidak dapat dibuktikan.
Dalam hal ini Allah SWT telah meningatkan melalui firman nya yang bermaksud 'Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain...' ( Al-Hujurat : 12)
Fenomena fitnah dan khabar angin sering menjadi senjata berbisa yang amat tajam dalam menyebarkan maklumat yang tidak benar. Mereka menggunakan kemudahan canggih ini untuk melaga-lagakan sesama manusia, terutamanya dari kalangan musuh yang tidak menyertai kumpulan mereka .
Senjata inilah yang membunuh keamanan dan keharmonian yang menjadi impian manusia. Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab yang amat pedih. Rasulullah SAW pula bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Awasilah diri kamu dari berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara-mara”. (Riwayat Bukhori & Muslim)
Rasulullah mengingatkan kita agar sentiasa menjauhi diri daripada terjerumus dalam perbuatan keji sepertimana yang dinyatakan. Sesungguhnya impak daripada perbuatan keji itulah yang membawa berlakunya budaya tunjuk perasaan, fitnah memfitnah dan serang menyerang yang lagsung tidak mempedulikan soal keamanan dan keharmonian.
Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak berpuas hati dan dengki khianat atas sebab tertentu. Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan dan rasional akal dianugerahkan Allah. Semuanya berpunca daripada diri yang dikuasai nafsu marah, dendam dan dengki khianat yang berpanjangan.
Kita mesti sedar untuk tidak membenarkan gejala buruk ini berlaku dan terus berlaku. Jangan dibenarkan nfsu menguasai akal kerana tindakan itu adalah perbuatan iblis. Iblis tidak pernah menyesal apa yang dilakukannya. Sementara manusia ada pertimbangan akal, iman dan nafsu sebelum perbuatan buruk mereka lakukan. Justeru, letakkan nilai keamanan dan keharmonian sebagai nilai yang tidak ada harga untuk membayarnya.
Oleh itu semua pihak mesti memainkan peranan dalam usaha untuk menjaga keamanan dan keharmonian yang sekian lama kita kecapi ini. Nikmat Allah yang teramat berharga ini semestinya disyukuri sentiasa. Allah telah berfirman yang bermaksud "Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahnya semata-mata". ( An-Nahl ayat 114)
Tidak dapat dinafikan bahawa keamanan dan kestabilan hidup yang kita nikmati dan kecapi di negara ini adalah berkat muafakat dan kesepaduan hidup bermasyarakat, tanpa mengira agama, budaya dan bangsa yang diamalkan. Di sinilah keistimewaan agama Islam yang mengajar umatnya berbuat baik dan menunaikan tanggungjawab disamping menghargai nikmat keamanan dan keharmonian yang Allah kurniakan.
Betapa indahnya nikmat keamanan dan keharmonian yang kita miliki. Kita tanya diri kita dan saudara kita apakah uasaha dan pengorbanan yang perlu dilakukkan untuk mempertahankan nikmat keamanan tersebut. Perlu diingat, adalah tidak mustahil nikmat keamanan dan keharmonian yang ada ini akan hilang jika tidak dijaga dan dipelihara.
Bukankah Allah SWT telah menerangkan kepada umat Islam bahawa kunci keberkatan dan keamanan yang berkekalan lagi berterusan itu adalah melalui rasa syukur kepadanya.
"Dan ingatlah tatakala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab ku
amatlah keras". ( Surah Ibrahim, Ayat 7)
Yakin dan percayalah bahawa Allah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian. Manakala kemusnahan diatas muka bumi ini berlaku hasil daripada tangan-tangan manusia. Kemusnahan ini berlaku kerana manusia lebih banyak menggunapakai nafsu dari akal. Sikap amrah dan dendam menguasai diri manusia untuk menerbitkan perasaan untuk bertindak luar biasa. Tindakan inilah yang menghancurkan keamanan dan keharmonian hidup manusia
Sedangkan kalaulah manusia tahu bahawa Allah menciptakan mereka sebaik-baik kejadian sebagaimana firman-Nya yang bermaksud "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya". ( At-Tin, ayat 4 )
Adapun nikmat yang dinyatakan tadi hanyalah cuma sebahagian dari nikmat-nikmat kurnia Allah. Namun begitu ini belum lagi termasuk nikmat Islam dan iman, nikmat kekayaan, nikmat kebahagiaan hidup, kelazatan, kesenangan rezeki dan sebagainya. Sebagaimana yang ditegaskan Allah melalui firmannya yang bermaksud "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkannya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu-persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi". ( An-Nahl, ayat 18)
Apabila keamanan dan keharmonian hancur, tiadak ada gunanya dibelanjakan wang yang banyak atau dititiskan airmata darah sekali pun untuk mengembalikannya. Nikmat yang Allah kurniakan mestilah dihargai dan disyukuri. Tanya Masyarakat Palestin tentang nilai dan harga sebenar keamanan dan keharmonian yang mereka perjuangkan.
No comments:
Post a Comment