Bangga diri atau kagum terhadap diri sendiri adalah penyakit hati yang membuat seseorang berasa selesa dan berlapang dada dengan pujian orang lain. Orang seperti itu menganggap dirinya paling baik dan sentiasa melebihi orang lain.
Sikap bangga mendedahkan pelakunya kepada akibat buruk di sisi agama. Pengamalnya akan membudayakan takbur iaitu sifat yang jelek di sisi Allah.
Firman Allah bermaksud: “Jangan kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri.” (Surah Al-Qashash, ayat 76)
Takbur adalah sikap individu yang berasa dirinya lebih tinggi tarafnya dan tidak mahu menghormati orang lain. Penyakit ini juga dikenali sebagai sifat ujub iaitu mengagumi diri sendiri.
Ibnul Mubarak pernah berkata: “Perasaan ujub adalah ketika engkau berasa dirimu memiliki kelebihan tertentu yang tidak dimiliki oleh orang lain.”
Imam Al-Ghazali menyatakan: “Perasaan ujub adalah kecintaan seseorang kepada suatu kurnia dan berasa memilikinya sendiri, tanpa mengembalikan keutamaannya kepada Allah.”
Suka dipuji dan memuji diri adalah sifat mazmumah yang membuahkan sikap riak. Sebenarnya, yang layak dan berhak dipuji hanya Allah. Firman Allah bermaksud: “Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam.” (Surah Al-Fatihah, ayat 2)
Setiap orang mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki orang lain, tetapi milik siapakah semua kelebihan itu. Allah berfirman bermaksud: “Bagi Allah semua kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antaranya.” (Surah Al-Maidah, ayat 120)
Sebenarnya bangga dan kagum diri sendiri adalah sifat Iblis yang memandang rendah Nabi Adam kerana dijadikan daripada tanah sedangkan dirinya daripada api. Firman Allah bermaksud: “Iblis berkata, aku lebih baik daripadanya (Adam), Engkau jadikan aku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan daripada tanah.” (Surah Saad, ayat 38)
Orang yang terkena penyakit kagum diri dapat dilihat daripada beberapa tanda iaitu selalu memuji dan mengagungkan diri. Pada masa sama, ia melupakan firman Allah bermaksud: “Maka jangan kamu mengatakan dirimu suci. Dialah (Allah) paling mengetahui orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)
Faktor penyebab sikap kagum diri berpunca pujian yang diberikan secara berlebihan dan tanpa mengindahkan tatacara ditetapkan menyebabkan pujian itu mempengaruhi orang dipuji. Orang yang dipuji berasa mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki orang lain.
Tatacara memuji dalam syariat Islam ada tiga iaitu tidak boleh berlebihan, ditujukan untuk hal yang benar dan tidak menimbulkan fitnah iaitu membuat orang yang dipuji menjadi kagum diri sendiri. Apabila tatacara itu dapat dipenuhi, seseorang boleh memuji orang lain.
Orang yang kagum berasa nikmat yang diterima kerana kepandaiannya bukan kerana pemberian Allah seperti anggapan Qarun. Allah menceritakan dalam al-Quran, Qarun berkata: “Sesungguhnnya aku diberi harta itu hanya kerana ilmu yang ada padaku.” (Surah al-Qashash, ayat 78)
Diriwayatkan, Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda SAW menambah: “Jika seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kita juga dilarang memuji dan menyebut kebaikan diri. Firman Allah bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (dan pelik wahai Muhammad) kepada orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah juga yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.” (Surah an-Nisaa, ayat 49)
Umar al-Khattab mengingatkan umat Islam: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Sesiapa yang mendakwa dia orang berilmu, sebenarnya dia jahil. Sesiapa yang mendakwa dia ahli syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka.”
Suatu ketika Rasulullah SAW menemui sahabatnya. Ketika itu sahabat sedang bersandar pada tongkat. Apabila melihat kedatangan Rasulullah SAW, mereka segera berdiri dengan maksud untuk menghormatinya.
Rasulullah SAW yang melihat hal itu bersabda yang bermaksud: “Janganlah kalian berdiri seperti dilakukan bangsa lain dalam menghormati satu sama lainnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Seorang Muslim yang terkena penyakit kagum diri harus segera bertaubat dan berusaha menyembuhkan dirinya daripada penyakit hati itu. Cara dapat dilakukan supaya tidak terkena penyakit kagum ialah selalu ingat hakikat dan kejadian diri.
Mereka juga harus sedar sekali pun diberi jangka hayat panjang, bukan bererti mereka boleh mendabik dada, angkuh dan membanggakan diri dengan nikmat serta kelebihan kurniaan Allah. Mereka tetap mati dan harta yang dibawa ialah amal selama hidup di dunia.
Penghayatan kesedaran seperti ini mendorong seseorang menghindarkan diri daripada penyakit kagum. Mereka yang terkena penyakit itu perlu lebih merendah diri serta selalu mengingati mati.
No comments:
Post a Comment