Friday, September 24, 2010

Membina Kekuatan Ummah Melalui NGO Muslim

(Perbezaan pendekatan capai maksud usah dijadikan pembunuh kesatuan fikiran, tindakan)


Gerakan Islam yang terdiri daripada pelbagai potensi, bidang dan matlamat penubuhannya perlu diperkasa dan diperkukuhkan. Setiap satu hendaklah saling menyokong supaya menjadi kuat dan tidak mudah lemah serta hilang hala tuju.

Perasaan saling hormat mesti ada di kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam. Jangan mencari jalan untuk melemahkan antara satu sama lain apatah lagi memfitnah dan menghancurkannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Muslim)

Elakkan daripada memperlekeh dan memburukkan pertubuhan berkenaan, apatah lagi mengaibkan dengan tujuan menimbulkan prasangka buruk. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya, apabila ia melihat sesuatu aib padanya, lantas diperbaikinya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Memperkukuhkan jemaah menjadi tanggungjawab bersama dan jangan diserahkan kepada pihak lain untuk memikul amanah itu. Jemaah adalah suatu lapangan tempat orang Islam menuangkan seluruh potensi dan menyatukan gharizahnya secara profesional.

Berbeza dengan Muslim yang menjauhi jemaah dengan mengutamakan hidup secara menyendiri yang gagal membina potensi dan kemampuan dirinya. Islam sendiri menekankan aspek pembinaan jemaah dan bertindak secara jemaah.

Gerakan NGO Islam di negara ini terdiri daripada pelbagai jemaah dan objektif penubuhan dengan matlamat perjuangannya yang satu iaitu memberi sumbangan untuk Islam serta memperkuatkan Islam.

Seperti juga ranting sungai yang membentuk pelbagai liku dan halanya menuju ke sungai utama lalu ke laut. Dianggarkan ada 95 NGO yang mengguna pakai nama Islam daripada pelbagai bidang termasuk perubatan, pendidikan, kebajikan, sosiobudaya dan politik di negara ini.

Soalnya sekarang, benarkah hubungan antara NGO Islam di negara ini yang sepatutnya berada dalam keadaan saling membantu dalam membina keutuhan, menjadi sebaliknya sedangkan banyak nas yang menyeru kepada kerja saling sokong menyokong atas kebaikan.

Firman Allah yang bermaksud: “Tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Setiap kali bercakap mengenai gerakan Islam, setiap hati dan perasaan kita sentiasa ingin melihat akan wujud dan terbentuknya Wahdatul Fikr, Wahdatul Amal dan Wahdatul Qalb. Soalnya sekarang apakah perkara itu boleh menjadi suatu realiti atas semangat juang yang digariskan oleh agama.

Wahdatul Fikr merujuk kepada kesatuan fikiran. Berfikir mengenai permasalahan umat, penyelesaiannya dan kita melebarkan cara serta kaedah itu sebagai sumbangan untuk menyelesaikan masalah ummah.

Kita tidak boleh mengharapkan orang lain berfikir untuk menyelesaikan masalah umat Islam yang kini diserang dari pelbagai penjuru. Kita tidak boleh melihat penyelesaian sebagai tanggungjawab jemaah yang ada, manakala kita terus bersendirian dan berusaha menjauhkan diri daripada memikirkan perkara itu.

Jika kita hidup secara menyendiri, orientasi pemikiran lebih terbatas kepada lingkaran diri dengan menghalakan fokus untuk soal kepentingan kita saja. Jika menjadi pemikir dalam jemaah, maka sumbangan dan buah fikiran kita lebih bermakna lagi untuk dikutip, dikongsi dan dilaksanakan bersama.

Tambahan pula, mutakhir ini umat berdepan pelbagai tekanan. Sepatutnya gangguan kepada ummah melalui provokasi atau liberalisasi yang berselindung di sebalik tabir agama mesti ditentang secara kesatuan fikiran.

Kita memerlukan senjata untuk menentang musuh Islam yang merancang strategi serang hendap dengan menggunakan senjata pemikiran. NGO Islam sepatutnya menggemblengkan semua kekuatan untuk mencapai paksi kesatuan fikiran.

Jangan sampai perbezaan pendekatan untuk mencapai maksud dan tujuan NGO yang diwujudkan itu menjadi pembunuh kepada kesatuan fikiran. Jangan sampai perbezaan cabang melebarkan jurang ke arah kesatuan fikiran dan kesatuan tindakan.

Wahdatul Amal adalah kesatuan tindakan yang membawa maksud sama-sama bertindak demi kepentingan Islam. Kepentingan Islam dan ummah lebih utama dan menjangkau ke depan daripada kesatuan atau badan yang kita wujudkan.

NGO Islam mesti melihat permasalahan ummah secara sepakat bukannya menyerahkan kepada pihak lain yang kononnya ada kepentingan untuk mengambil tindakan. Kepemimpinan NGO Islam perlu ingat bahawa kita hilang keperkasaan bukan kerana tidak kuat tetapi lemah dalam kesatuan tindakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berpecah belah, nanti kamu menjadi lemah dan hilang keperkasaan.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Tidak hairanlah apabila ada NGO bukan Islam mengkritik Majlis Fatwa Kebangsaan kerana mengeluarkan fatwa berkaitan maslahah ummah, maka kesatuan tindakan yang sepatutnya menyatukan semua gerakan Islam tidak berlaku seperti sepatutnya demi mempertahankan hak dan kepentingan agama.

Justeru, kita tidak mencapai kata sepakat dalam tindakan kesatuan demi memelihara agama walaupun ketika itu maruah kita dicabar. Ingatlah bahawa Allah amat menyukai mereka yang berjuang pada jalan-Nya, yakni berjuang demi kepentingan agama.

Firma Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berjuang pada jalan-Nya dengan berbaris rapi seolah-olah mereka suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah ash-Shaff, ayat 4)

Ingatlah musuh Islam itu mencari masa dan ruang terbaik untuk mereka menghancurkan Islam. Jika kita masih gagal untuk membina kesatuan tindakan yang lebih kukuh, maka kita akan mudah untuk mengikuti kata dan telunjuk mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekali gus.” (Surah an- Nisa’, ayat 102)

Bagaimanapun, jika tindakan kesatuan diamalkan dalam perkara berasaskan kepentingan agama, yakinlah bahawa pertolongan Allah adalah untuk jemaah berkenaan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tangan (pertolongan) Allah berserta jemaah.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Kita tidak boleh mendedahkan kelemahan kepada pihak musuh. Kelemahan boleh berlaku apabila kita bergerak bersendirian dalam apa juga tindakan walaupun berasa bahawa badan yang kita sertai itu mempunyai kekuatan.

Renunglah kehidupan makhluk yang ada di sekitar kita. Kumpulan lebah sentiasa bersifat tolong menolong dan bantu membantu membangunkan sarang mereka, membersihkannya, menjaga kemudian menghisap bunga dan akhirnya mengeluarkan madu jernih yang menjadi ubat untuk manusia.

Wahdatul Qalb membawa pengertian kesatuan hati. Melalui kesatuan hati akan melahirkan kemanisan dalam perhubungan sesama Muslim. Perasaan persaudaraan dan kasih sayang yang menebal itu sukar untuk dileburkan membentuk jisim ikatan cukup kuat.

Apabila NGO Islam saling berjumpa sama ada dalam kelompok kecil atau majlis besar, perasaan sayang serta kasih akan menjadi lebih subur dan sentiasa segar. Hubungan tidak mesra semakin menjauhi perasaan kasih sayang seperti dianjurkan agama.

Dalam Islam, hubungan kasih sayang diibaratkan seperti satu anggota yang semua bahagiannya sentiasa bekerjasama dan saling memerlukan. Bagaimanapun, jika salah satu anggota sakit maka berinjak-injaklah seluruh anggota lain untuk merasai sakit dan menanggung derita sama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang selagi dia tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Kesatuan hati yang dibina bukan daripada bahan rapuh. Islam melihat persaudaraan agama terlalu tinggi nilainya. Ia adalah manifestasi keimanan tulen yang menghasilkan ikatan persaudaraan padu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Ikatan persaudaraan dalam kumpulan atau badan Islam adalah suatu kekuatan apabila lahirnya kesatuan hati antara saudara Islam. Ingatlah, mukminin dan mukminat, sebahagian mereka adalah pemimpin kepada sebahagian lain. Inilah gambaran perlu diwujudkan dalam jemaah yang dibentuk.

Janganlah kita mencari alasan bahawa jemaah kita lebih Islam daripada jemaah lain. Sikap angkuh dan sombong ini amat dibenci Allah. Apatah lagi meletakkan sesuatu jemaah itu sempurna dan tidak memerlukan bantuan serta sokongan jemaah lain.

Seperti mana juga sifat manusia yang serba kekurangan, maka jemaah yang dibentuk oleh manusia juga mencerminkan keadaan sama. Kita terima kelemahan itu dengan harapan jemaah yang kuat akan saling lengkap melengkapi dan mengisi ruang lemah itu supaya tidak diambil kesempatan oleh musuh Islam.

Marilah kita membina kekuatan ummah melalui sumbangan dalam kerja kita. Kepentingan peribadi mesti disingkirkan dari dalam diri dan jemaah. Letakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya. Marilah kita membina dan membentuk Wahdatul Fikr, Wahdatul Amal dan Wahdatul Qalb dalam badan serta jemaah yang ditubuhkan dengan memohon pertolongan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dialah yang memperkuatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan Mukmin dan yang menyatukan hati mereka. Walaupun kamu membelanjakan (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal, ayat 62-63)

No comments:

Post a Comment