(Perbuatan paksi segala kejahatan, akal tak berfungsi dan tindak-tanduk berubah luar biasa)
Amat malang sekali jika ada di antara Muslim yang mengakui dirinya biasa mengambil alkohol dalam minuman dan menganggapnya tidak ada apa-apa yang perlu diulas. Apalagi kalau ia menjadi amalan berterusan dalam kehidupan sehingga hilang fokus kepada dosa yang disebut oleh agama. Lebih hina lagi apabila minuman syaitan itu dianggap sebagai pelengkap kepada imej profesional dibawanya yang dirasai hebat dan gah, setanding dengan budaya barat yang dipujanya.
Harus dijelaskan bahawa arak adalah sejenis alkohol dalam bentuk ‘ethyl alcohol’. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau ‘yeast cells’ yang bertindak ke atas karbohidrat yang ada di dalam buah-buahan dan biji-bijian. Dalam pasaran, ada tiga jenis arak yang popular iaitu bir yang diperbuat daripada biji-bijian dan mengandungi tiga hingga enam peratus alkohol, wain yang diperbuat daripada buah-buahan dan mengandungi 11 hingga 14 peratus alkohol dan minuman keras yang dikenali sebagai liquor.
Liquor dihasilkan dengan memeram atau mendidihkan bahan makanan sehingga menjadi arak dan ia mengandungi 40-50 peratus alkohol.
Peminum arak dan kaki judi tidak pernah memikirkan mudarat pembaziran harta benda. Mereka sanggup membazirkan apa saja bentuk harta benda semata-mata untuk mendapat hiburan dan kesenangan jiwa melalui arak dan judi yang mereka anggap lambang status sosial yang mesti dibanggakan.
Mereka yang terperangkap dengan gejala penagihan arak ini akan hilang karektor sebagai Muslim sejati. Individu seperti ini sukar akur dan patuh kepada perintah agama. Bahkan mereka yang tegar sebagai peminum arak ini memiliki sifat angkuh dan sombong kerana beranggapan berada pada status lebih tinggi.
Mereka juga tidak bersedia menerima teguran kerana beranggapan dirinya hebat. Sahsiah dan keperibadian Islam semakin hilang. Cahaya keimanan juga makin malap dalam diri individu ini. Karektor mereka sebagai individu Muslim berubah seperti berubahnya alkohol daripada bentuk asal.
Golongan peminum tegar ini tidak berupaya memberi manfaat kepada manusia keseluruhannya. Sesungguhnya mereka yang ketagih arak akan hilang maruah diri dan tidak diyakini lagi berkaitan keupayaan peribadinya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)
Ibnu Abbas menyebut bahawa Islam mengharamkan arak kerana ia boleh menjadikan manusia rosak akal dan hilang maruah diri. Seterusnya ayat yang berkaitan dengan pengharaman arak dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan (baca).” (Surah an-Nisa’, ayat 43)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang minum khamr (arak) seteguk, Allah tidak menerima amal fardu dan sunatnya selama tiga hari. Siapa yang minum khamr segelas, Allah SWT tidak menerima solatnya selama 40 hari. Orang yang tetap minum khamr selayaknya Allah memberinya minum dari Nahrul Khabaal? Ketika ditanya: Ya Rasulullah apakah Nahrul Khabal itu? Baginda Rasul menjawab: Darah bercampur nanah ahli neraka.” (Hadis Riwayat at-Thabrani)
Dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dalam persoalan arak ada 10 orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya.” (Riwayat Tirmizi)
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”(Surah Al-Maa’idah, ayat 91)
Arak dan judi adalah paksi segala kejahatan. Kedua-duanya adalah perosak akal, badan, jiwa dan harta benda. Seseorang yang mabuk arak, akalnya tidak akan dapat berfungsi seperti biasa dan segala tindak-tanduknya berubah menjadi luar biasa. Segala perasaan malu dan rasa hormat akan hilang ketika itu.
Seorang ilmuwan Barat, Profesor AJ Arberry, pernah menjelaskan; “peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malah mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah sekali mendapat angin ahmar atau lumpuh. Selain itu, seorang yang mabuk arak juga akan hilang pertimbangan akal. Secara tidak sedar dia akan membuka rahsia keburukan dirinya sendiri kepada orang lain.”
Pelbagai bentuk bencana yang akan terhasil daripada minuman keras dan judi. Kedua-duanya lebih cenderung ke arah memporak perandakan kehidupan manusia dan makhluk ciptaan Allah yang lain.
Bertambah buruk lagi kesan negatif yang bakal diterima jika seseorang individu itu kaki arak dan judi pada masa sama. Disamping itu, arak dan judi juga boleh menimbulkan permusuhan sesama manusia serta merosakkan maruah mereka, lantaran itu Islam mengharamkan arak dan judi.
Islam memperingatkan manusia bahawa syaitan mempergunakan al-Maisir atau perjudian itu sebagai tempat untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara manusia, juga menjadi penghalang pelakunya daripada mengingati Allah dan menunaikan sembahyang.
Harus diingatkan dalam diri bahawa berjudi itu kerja maksiat. Wang yang diperoleh daripada judi adalah haram, tidak boleh digunakan apatah lagi jika digunakan untuk makan minum anak isteri.
Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa setiap suap yang dimakan daripada sumber yang haram itu, api neraka adalah lebih utama baginya. Daripada Kaab bin Ujrat menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka lebih utama untuk membakarnya.
No comments:
Post a Comment