Friday, September 24, 2010

Puasa Menyuburkan Amalan Kebajikan dan Sifat Ihsan

Kita masih berada dalam bulan Allah untuk meneruskan kebaktian. Sesungguhnya amalan kebajikan yang dituntut sepanjang bulan Ramadan mesti dihayati dengan sepenuh hati. Ingatlah bahawa para Malaikat sentiasa menyeru “ Wahai orang-orang yang menghendaki kebajikan, bergembiralah dan wahai orang-orang yang menghendaki keburukan tahanlah dirimu” (Riwayat al-Nasaie dan Ahmad)

Seseorang akan merasa bahawa dia sentiasa terikat dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah keatasnya, samada peraturan itu berbentuk suruhan atau larangan, berbentuk amalan zahir atau batin dan samada ketika berseorangan atau dikhalayak ramai. Sebagai contoh, seseorang itu boleh menentukan dan menilai dirinya samada benar-benar berpuasa atau sebaliknya walapun dia dilihat berpuasa oleh khalayak.

Justeru, kita hendaklah melakukan sesuatu kebaikan dengan ikhlas hanya kerana Allah SWT bagi mendapat keredhaanNya tanpa mengharapkan sebarang balasan. Keikhlasan menjadi asas terpenting di dalam melakukan ibadah untuk mendapat kesempurnaan dan keredaan melalui setiap amalan yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, jika kamu tidak dapat melihat Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu" (Hadis Riwayat Muslim)

Jelaslah bahawa ibadah sememangnya mengajak kita tunduk dan menurut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah bagi setiap muslim. Ibadah melatih kita supaya menunaikan kewajipan tepat pada waktunya, sentiasa berhati-hati dan melakukan sesuatu kerja dengan penuh kesedaran dan penghayatan.
Rasulullah SAW telah memberi wasiat di akhir khutbah baginda, antara lain Baginda Rasul mengingatkan kita supaya “ Perbanyakkanlah beramal di dalam bulan Ramadan dalam empat perkara. Dua perkara untuk kamu beroleh keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu tidak boleh terlepas darinya. Adapun dua perkara yang kamu beroleh keredhaan Allah ialah kesaksian kamu (syahadah) dan kamu beristighfar kepada-Nya. Dan dua perkara yang kamu tidak boleh terlepas darinya ialah kamu memohon syurga dari Allah dan memohon berlindung dengan-Nya dari neraka. Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa (ketika berbuka) Allah akan memberi minum kepadanya air dari kolamku sebagai air minum yang tidak akan dahaga lagi selepas meminumnya sehingga dimasukkannya ke dalam syurga.

Kalau dilihat kepada senario tersebut, konsep ihsan adalah manifestasi kepada akhlak Islam. Teras sifat ihsan pula ialah kecintaan kepada Allah. Apabila individu mempunyai sifat ihsan atau kecintaan yang ikhlas kepada Allah, dia akan melakukan perkara yang disuruh dan mengelak daripada perkara dilarang serta dimurkai.

Melalui sifat ini manusia menyedari dan menginsafi bahawa apa saja perlakuannya sentiasa diperhatikan oleh Allah tambahan pula apabila sesuatu yang hendak dilakukan itu melibatkan soal harta dan perbelanjaan.

Harta merupakan ujian yang diakui oleh Rasulullah yang akan dihadapi oleh umatnya. Daripada Kaab bin Iyad katanya. Aku mendengar bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda "Sesungguhnya bagi tiap-tiap umat itu ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta" (Riwayat Al-Tarmizi).

Memperbanyak sedekah yang merupakan sebuah amalan yang mulia terutama di bulan Ramadan.Amalan ini sewajarnya dibudayakan , sesuai dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud “Rasulullah s.a.w pernah ditanya, sedekah apakah yang paling utama? Baginda menjawab, seutama-utama sedekah adalah sedekah yang dilakukan di bulan Ramadhan” (Riwayat Tirmidzi, Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah).

Bahkan baginda sendiri sangat terkenal sebagai orang yang sangat dermawan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu lebih pemurah dibandingkan dengan angin berhembus. dan lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan.” (Riwayat Tirmidzi).

Sifat dan perasaan kasih sayang di dalam jiwa sesama manusia tanpa mengira darjat, warna kulit, bangsa dan bahasa. Hendaklah kita akui dan menghargai kewujudan orang lain di atas muka bumi serta menghormati hak-hak dan keperluan yang mereka hajati.

Justeru itu kita perlu menanamkan semangat persaudaraan sesama manusia dan semangat persaudaraan di jalan Allah sesama Islam, dan akhirnya kita harus menghilangkan sifat iri hati dan hasad dengki serta sombong dengan kedudukan yang ada.

Firman Allah yang bermaksud " Dan orang-orang yang terdahulu, yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka dengan kebaikan iman dan taat, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan dia, serta dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, mereka kekal dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar " ( Surah At-Taubah, Ayat 100)
Merapatkan hubungan keluarga terutamanya yang melibatkan hubungan dengan ibu bapa amat ditekanan oleh agama, terutamanya sewaktu berhadapan dengan usia emas mereka. Allah berfirman yang bermaksud " Dan hendaklah engkau berbuat baik (ihsan) kepada ibu-bapa, jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan "ah' dan jangan engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun " (Surah Al-Isra' ,ayat 23)

Begitu juga jalinan hubungan dengan kaum kerabat .Dalam apa jua keadaan, hubungan kita dengan kaum kerabat jangan dilupai. Dalam hal ini Allah SAW telah berfirman yang bermaksud " Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman, ia mengajar kamu dengan suruhan dan larangannya ini, supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya " ( Surah An-Nahl, ayat 90)

Sifat ihsan kepada jiran bermakna kita sentiasa bekerja sama dan saling tolong-menolong dalam perkara kebajikan dan yang mendatangkan kebaikan bersama. Tidak mengganggu ketenteraman jiran dalam apa sahaja bentuk samada bising atau bauan.

Rasulullah SAW bersabda “ Demi Allah tidak beriman ! Demi Allah tidak beriman ! Demi Allah tidak beriman ! Ditanyakan “ Siapa dia wahai Rasulullah ? Jawab Baginda Rasul : “ Orang yang tidak tenteram jirannya oleh sebab kejahatannya.”

Pernah baginda SAW berpesan kepada Abu Zar al-Ghifari RA “ Apabila engkau memasak kuah, perbanyakkanlah airnya dan berilah kepada jiran engkau.” ( Riwayat Abu Syuraih RA)
Ingatlah saat-saat sewaktu berlapar dan berdahaga disiang hari necaya kita akan mengingati saat-saat yang sama dialami oleh golongan miskin yang sekian lama mendeita dalam linangan air mata. Bersedekahlah kepada kaum fukara dan miskin. Kasihanilah anak-anak yatim nescaya kita akan dikasihi Allah. Rasulullah sendiri merasai akan kehidupan sebagai anak yatim piatu.
Sesiapa diantara kita yang memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa menyambungkan tali persudaraan (silaturahmi) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Sesiapa yang memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Sesiapa diantara kita yang memperbanyakkan salawat keatas Baginda Rasul di bulan ini, nescaya Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan di Padang mahsyar nanti.

Manusia mempunyai jalan dan landasan untuk membolehkan mereka menghayati sifat Ihsaniah melalui amalan yang diterjemahkan secara tindakan. Setakat peringatan dan syarahan tidak akan mengubah hati-hati manusia untuk berbuat kebaktian. Pada masa yang sama jiwa manusia perlu dihidupkan dengan amalan mulia disisi Allah untuk keharmonian sesama mereka. Sifat Ihsan akan menceriakan kehidupan manusia keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment