Thursday, September 22, 2011

PENGADU DOMBA PEMUSNAH KEHIDUPAN HARMONI




Ada istilah yang biasa diguna pakai oleh sebahagian daripada masyarakat kita bila menyebut adu domba ini sebagai ‘spekulasi dan gossip ” walaupun mungkin  sifatnya jelas untuk melaga-lagakan pihak lain.
 Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Inginkan kalian aku beritahukan apa itu al-’adhu? Dia adalah adalah adu domba, menyebarluaskan isu di tengah masyarakat.” (Riwayat. Muslim )
Adu domba bermaksud melaga-lagakan seseorang atau kumpulan dengan seseorang atau kumpulan yang lain. Istilah Arab menyebutnya sebagai an-namimah yang berasal dari perkataan an-namma bererti mengeluarkan berita dengan tujuan menghasut.  
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “Apakah kamu tahu siapakah sejahat-jahat kamu?” Jawab sahabat: “Allah SWT dan Rasulullah SAW yang lebih tahu.” Rasulullah  SAW bersabda: “Sejahat-jahat kamu ialah orang yang bermuka dua, yang menghadap kepada ini dengan wajah dan datang kesana dengan wajah yang lain.” ( Riwayat Abu Hurairah)
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah, perkataan namimah pada kebanyakan pendapat  adalah “menyampaikan percakapan orang lain kepada orang yang dikatakan”.
 Manakala Al-Bhaghawi Rahimahullah atau nama sebenarnya Abu Muhammad al-Husin bin Muhammad al-Farra' al-Baghawi as-Syafie, seorang Hafiz, Al-Faqeh dan Mujtahid yang terkenal telah menyebut bahawa namimah adalah “mengutip suatu perkataan dengan tujuan untuk mengadu domba antara seseorang dengan si pembicara”.

Biasanya ia berfokus kepada hal-hal yang tidak disukai, sama ada oleh orang yang mengadu domba, diadu domba atau orang yang menjadi objek adu domba. Adu domba boleh mengakibatkan huru-hara bermula dengan perkelahian, pergaduhan, dendam hingga  akhirnya membawa kepada pembunuhan.
Islam mencela golongan namimah ini samada invidu atau berkumpulan ini kerana sifat buruk mereka yang cukup berbahaya. Allah berfirman  yang bermaksud “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela, yang kian kemari menghambur fitnah.” (Surah Al Qalam, ayat  10)
Golongan yang bertindak untuk adu domba memang ada  dimana-mana hingga seringkali menimbulkan suasana kacau-bilau dan huru-hara. Tindakan golongan ini boleh mengganggu keharmonian masyarakat dan mampu mencemaskan kehidupan seharian.
Apa yang nyata golongan pengadu domba ini telah dijanjikan tempat yang sesuai untuknya. Dari Hudzaifah bin Al-Yaman RA berkata, saya mendengar Rasulullah  SAW bersabda  Tidak akan masuk syurga al-qattat  (tukang adu domba).” (Riwayat Bukhari).  Ibnu Atsir menjelaskan bahawa “Al-qattat” adalah orang yang mencuri dengar pembicaraan, tanpa sepengetahuan mereka, lalu ia membawa pembicaraan tersebut kepada orang lain dengan tujuan mengadu domba.”
Betapa buruknya perangai pengadu domba ini kerana peranan dan tindakannya membawa huru-hara dan kepincangan hidup bermasyarakat. Pengadu domba ini cekap berselindung disebalik peranannya. Kepada orang Melayu, golongan  ini biasanya bersifat “ lempar batu sembunyi tangan”.
Bahana yang besar apabila tindakannya yang tersembunyi menyebabkan timbulnya perasaan syak wasangka dan tuduh-menuduh dalam masyarakat sehingga memberi kesan buruk.

Hammad ibn Salamah ibn Dinar al-Basri, Bekas Mufti Basra yang terkenal yang meninggal pada tahun  167 Hijrah telah menceritakan perihal seorang budak.
Ceritanya : Ada Seorang yang ingin menjual budak, lalu  diberitahu kepada pembelinya: “Budak ini kiranya baik,  kecuali sifatnya yang suka adu domba.” Maka dianggap ringan oleh pembeli dan tetap dibelinya dan setelah beberapa hari ditempat majikannya, tiba-tiba budak itu berkata kepada isteri majikannya: “Suamimu tidak cinta kepadamu dan ia akan berkahwin lagi, apakah kau ingin supaya ia tetap kasih kepadamu?” Jawab isteri itu: “ Ya.” “kalau begitu kau ambil pisau cukur dan mencukur janggut suamimu  pada bahagian lehernya sewaktu suamimu sedang tidur.” kata budak itu.
Kemudian ia pergi kepada majikannya (suami) dan berkata kepadanya: “Isterimu bermain dengan lelaki lain dan dia telah merancang untuk membunuhmu, jika engkau ingin mengetahui buktinya maka cuba engkau berpura-pura tidur.”
Maka suami itu berpura-pura tidur dan tiba-tiba datang isterinya membawa pisau cukur untuk mencukur janngut suaminya, maka oleh suaminya disangka benar-benar akan membunuhnya sehingga ia bangun merebut pisau itu dari tangan isterinya lalu membunuh isterinya.
 Oleh kerana kejadian itu maka datang ahli keluarga dari pihak isterinya dan langsung membunuh suami itu sehingga terjadi perang antara keluarga dan suku suami dengan keluarga dan suku dari isterinya.”
Apa yang jelas dari peristiwa itu ialah peranan budak tersebut sebagai pengadu domba yang telah berjaya menghancurkan keluarga berkenaan secara tidak beretika. Peranannya sebagai ‘batu api’ telah berjaya.
Ingatlah akan Firman Allah yang bermaksud “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali bisik-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat ma’ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia.” (An-Nisa: 114)
Justeru itu,  azab kubur yang dijanjikan Allah kepada pelaku namima  ini adalah pembalasan yang setimpal perbuatannya.
Ibnu Abbas meriwayatkan, (suatu hari) Rasulullah SAW melewati dua kuburan lalu bersabda “Ketahuilah, sesungguhnya kedua penghuni kubur ini sedang disiksa. Dan mereka berdua disiksa bukan kerana sesuatu yang besar. Adapun salah seorang di antara mereka disiksa kerana suka mengadu-domba sedangkan yang lainnya disiksa karena tidak menjaga dirinya dari (percikan) kencingnya.” Kemudian beliau meminta pelepah kurma basah, lalu membelahnya menjadi dua. Kemudian beliau menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua. Kemudian beliau bersabda, “Semoga siksa keduanya diringankan selama kedua pelepah ini belum kering.” (Riwayat. Al-Bukhari )
Bagi mengelakkan kita terjerumus dan diwarnai dengan sifat-sifat namimah yang buruk ini , hendaklah dijaga tutur kata harian. Kadang-kala oleh kerana terlalu seronok  bercakap dan banyak pula  isu yang disentuh sehingga tidak sempat untuk ditapis telah memberi kesan yang tidak baik apabila kita turut memberi saham melaga-lagakan pihak lain  tanpa disedari.
Al-Imam Asy-Syafi’ie Rahimahullah dalam hal ini telah memperingatkan kita  bahawa“Seseorang selayaknya memikirkan apa yang hendak diucapkannya. Dan hendaklah dia membayangkan akibatnya. Jika nampak baginya bahawa ucapannya benar-benar mendatangkan kebaikan tanpa menimbulkan unsur kerosakan serta tidak menjerumuskan ke dalam larangan, maka dia boleh mengucapkannya. Jika sebaliknya, maka lebih baik dia berdia diri.”
Sebenarnya kita boleh mengelakkan diri dari terjurumus dengan sifat berkenaan  seandainya kita tahu memahami erti dosa dan pahala. Elakkan dari melakukan tokok tambah  apabila bercakap terlalu lama kerana mendorong kearah tersebut. Rasulullah SAW bersabda “Cukuplah menjadi suatu dosa bagi seseorang iaitu apabila ia membicarakan semua apa yang telah ia dengar.” (HR. Muslim)
Bercakap dan berbicaralah dalam tenang dan menggunakan percakapan yang tidak boros. Kata orang sedikit bercakap tapi kesannya banyak daripada bercakap banyak tapi kesanya sedikit. Dari Saidatina Aisyah RA menyatakan bahawa “Sesungguhnya Nabi apabila membicarakan suatu hal dan ada orang yang mahu menghitungnya nescaya ia dapat menghitungnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang yang banyak melakukan adu domba ini adalah orang yang mengalami kerosakan jiwanya. Kehidupannya yang telah rosak cuba untuk merosakkan sama orang lain.  Pengandu domba ini  dilihat sebagai orang yang tidak mempunyai program dalam hidupnya. Manakala orang yang dianggap musuhnya bakal dimusnahkan dengan skrip yang sama. Musuhnya  tetap berada dipihak yang salah dan perlu dikorbankan dengan apa cara sekalipun.

BANDINGAN MANUSIA BERILMU DENGAN KALANGAN TIDAK BERILMU




Imam al-Bukhari menyebutkan bahawa kewajiban seorang muslim sebelum beramal adalah berilmu. Jangan sesekali menghina dan memandang rendah akan kemampuan mereka yang memiliki ilmu. Allah berfirman yang bermaksud “Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
  Sebagai agama yang syamil-mutakammil Islam melihat ilmu dan amal sebagai penyumbang kepada kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Barang siapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya ; dan barang siapa yang ingin (selamat dan berbahagia) diakhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duanya pula". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ilmu  merupakan  elemen pembangunan yang penting di dalam menjamin kelangsungan hidupnya hati kita. Kata Saidina Ali Bin Abi Talib "Hidupnya hati adalah berkat bertambahnya ilmu Sedangkan matinya hati akibat ketiadaan ilmu.. Sihatnya hati adalah berkat keyakinan sedangkan sakitnya hati akibat keraguan.... “
Bagaimanapun akhir-akhir ini kita didapati adanya kecenderungan golongan yang tidak berilmu berlagak seperti mereka yang berilmu tinggi. Natijahnya membawa kepada porak peranda kehidupan manusia dan kemusnahan  binaan ilmu yang sebenar. Secara bandingannya seseorang doktor  tidak dibenarkan memeriksa dan memberi ubat kepada pesakit melainkan setelah dia lulus dalam bidang perubatan dengan baik. Kalau seorang ahli akademik berlagak seorang  doktor dengan memberi ubat kepada pesakitnya tentulah memudaratkan pesakitnya.                Seseorang itu tidak  diluluskan kemampuannya membina bangunan yang tinggi melainkan setelah dia memiliki kelulusan dalam bidang  binaan melalui ilmu seni bina yang dikuasainya. Kalau dilakukkan juga tanpa memiliki ilmu berkaitan pasti boleh menyebabkan berlaku keruntuhan bangunan yang dibinanya walapun dia mungkin mempunyai bakat dan gaya  menjadi jurubina.
Begitu juga terjadinya eleman kemusnahan dan kerosakan apabila mereka yang  tidak berilmu dalam aspek  pengurusan dan pentadbiran  bercakap soal  urusan umat, yang jahil berlagak  seperti orang alim, yang menghafal sepatah dua ayat berlagak Hafazan Quran, yang bukan ulamak mengaku dirinya ulamak kononya untuk dihormati dan dikagumi.  Maka ketika itu bersedialah kita menerima akibatnya. Rasulullah SAW bersabda. Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggu saat kehancurannya(Riwayat Al- Bukhari).
Apa yang mendukacitakan akhir-akhir ini ialah lahirnya  satu golongan yang disebut  oleh Rasulullah sebagai Ruwaibidhah. Golongan ini muncul dari kalangan masyarakat, mereka sebenarnya tidak berilmu tetapi dilihat berilmu, tidak berkelayakan tetapi cuba menonjolkan diri, samada melalui pentas masyarakat ataupun dalam gelanggang ilmu. Inilah dua peluang besar untuk golongan ini muncul dan bercakap, berbicara, memberikan pandangan mengenai urusan awam dan perkara yang melibatkan persoalan-persoalan besar.
Rasulullah SAW telah bersabda  Akan datang kepada kalian masa yang penuh dengan tipu daya ; ketika itu orang-orang akan mempercayai kebohongan dan mendustakan kebenaran. Mereka mempercayai para pengkhianat dan tidak mempercayai para pembawa kebenaran. Pada masa itu, ruwaibidhah akan berbicara.”  Rasulullah SAW ditanya “Apakah itu Ruwaibidhah ?”  Lalu Rasulullah menyebut bahawa, “Ruwaibidhah adalah orang-orang bodoh (yang berbicara) tentang urusan umat.” (Riwayat  Ibnu Majah dari Abu Hurairah )
            Sebenarnya tidak menjadi salah kepada golongan ini memberi pandangan dan pendapat tetapi kesilapannya kerana ketidaklayakan mereka, dengan bekalan ilmu yang tidak mencukupi untuk bercakap dan memberi pandangan kepada sesuatu yang bukan bidang mereka. Al-Imam al-Sayuti telah menjelaskan bahawa “ Al-Ruwaibidhah adalah orang yang lemah yang cuba mencampuri perkara-perkara besar dan berusaha untuk memperolehinya”.
            Ingatlah bahawa bercakap tanpa berfikir adalah petanda betapa rendahnya ilmu dan rosaknya akhlak. Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kekayaan jiwa terpancar kelebihan ilmu seseorang tanpa perlu dibangga. Jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk dan berlagak kerananya. Jangan sekali-kali meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.
Ilmu yang lahir dari tapisan mulut golongan berilmu menyumbang banyak faedah kepada ummah. Berbeza dengan golongan al-Ruwaibidhah yang menyumbang kepada suasana huru-hara dalam masyarakat. Orang Arab ada menyebut melalui kata-kata hikmat mereka “orang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikan sesuatu

             Di sesetengah tempat didapati seseorang yang cekap berkomunikasi dan pandai berceramah terus diberi peluang untuk berucap dengan membuat pelbagai kupasan berkaitan isu agama. Keupayaannya berbicara seolah-olah dia menguasai kesemua disiplin ilmu di dalam Islam. Apatah lagi apabila ceramah boleh mendatang pendapatan yang lumayan maka ramai yang berusaha  untuk menjadi penceramah dengan menghafal sepatah  dua ayat dan hadis lalu menafsirkannya menurut apa yang digemarinya,  bersesuaian pula dengan suasana dan keinginan semasa.

Golongan yang tidak berilmu  seperti ini  biasanya  licin gerakannya. Imej mereka sepertimana golongan berilmu tetapi sebenarnya mereka akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat.  Begitu juga dengan  golongan yang tidak berilmu tetapi menyebarkan ilmu yang boleh mengelirukan masyarakat. Apatah lagi bilamana ada pula golongan yang terpengaruh dan beramal dengan ilmu tersebut dan yakin sepenuh hati kebenaran ilmu tersebut.  Allah SWT telah berfirman yang  bermaksud  Katakanlah, apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya. Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya. (Surah  Al Kahfi, ayat 103-104)
Berbeza dengan golongan yang berilmu  yang sebenarnya. Golongan ini memperolehi kedudukan  dan martabat yang tinggi dikalangan penghuni langit dan bumi. Rasulullah SAW bersabda “ Orang yang berilmu akan dimintakan ampun oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air. Keutamaan orang yang berilmu dibandingkan dengan ahli ibadah bagaikan bulan purnama atas seluruh bintang.” (Riwayat Abu Dawud , Ar-Tirmidzi  dan Ibnu Majah )

ISLAM MEMENTINGKAN PENJAGAAN KESIHATAN



Tidak ramai yang memberi fokus kepada amalan kesihatan dan penjagaan tubuh badan sedang agama memberi perhatian yang serius. Kecenderungan ini dapat disaksikan sepanjang bulan Ramadan sedangkan Islam amat menitikberatkan kesihatan sebagaimana Islam menjaga jiwa dan akal penganutnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu." (Hadis Riwayat Bukhari)
Menunaikan hak terhadap tubuh badan bererti menikmati tahap upaya badan yang benar-benar  baik dan selamat  disegi fizikal, mental, emosi, dan rohani secara  optimum sehingga  berupaya  mencapai potensi  dan matlamat kehidupan yang dipandukan agama. Mukmin yang kuat mempamerkan kekuatan agama berbanding dengan mukim yang lemah. Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud "Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim)
Kita diingatkan betapa bernilainya harga kesihatan.  Tiada gunanya harta dan kekayaan yang melimpah ruah sedangkan ianya tidak dapat dinikmati kerana  keadaan diri yang tidak sihat akibat pelbagai penyakit berhimpun. Istilah  "sihat" merupakan anugerah dari Allah yang sewajarnya disyukuri. Anugerah ini mesti dipertahankan hingga keakhir hayat tetapi jangan sampai melekakan. Rasulullah SAW bersabda “  Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia\ iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang ” (Hadis riwayat Bukhari)
Islam meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Kalau kita mempunyai masalah kesihatan bermakna segala urusan ibadat juga turut terganggu. Pernyataan tersebut berdasarkan Sabda Nabi  SAW yang bermaksud "Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman). “ (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Kaedah terbaik dalam penjagaan kesihatan ialah dengan menyediakan perisai pencegahan seawalnya. Namun apabila diserang penyakit, kita terpaksa juga  berikhtiar untuk menyembuhkannya walaupun terpaksa mengambil masa yang panjang. Ini bermakna mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubatinya. Kita diminta berubat apabila ditimpa penyakit  tanpa mengambil sikap membiarkannya.
Jangan sesekali  berubat dengan benda yang diharamkan agama. Rasulullah SAW  telah bersabda yang bermaksud ”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.” ( Hadis Riwayat Abu Daud).
Dalam satu peristiwa,  orang Arab Badwi telah datang kepada Baginda Nabi dan mereka bertanya: "Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat?" Maka sabda Nabi : "Ya, wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali satu penyakit sahaja." Maka mereka bertanya, "apakah penyakit itu?" Sabda Nabi : "Penyakit itu ialah 'tua'."  (Hadis Riwayat Ahmad)
Seorang tokoh perubatan Islam terkenal, Abu Ali Al Hussain Ibnu Abdullah (Ibnu Sina) menyatakan bahawa “Tujuan perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan  mengembalikan kesihatan ketika hilang”.
Dalam kehidupan seharian, kita sering dihidangkan dengan pelbagai jenis masakan dan juadah bagi memenuhi keperluan jasmani. Tujuannya untuk membekalkan tenaga yang secukupnya dalam melakukan aktiviti  harian. Keadaan ini begitu ketara di bulan Ramadan.  Makan hidangan secara berlebihan boleh memudaratkan badan. Al-Quran menjelaskan mengenai pentingnya bersederhana dalam soal makan dan minum sebagai panduan untuk kebaikan. Allah berfirman bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31) 
Sebenarnya, Islam sendiri mengakui  akan peri pentingnya menjaga kebersihan dan kesihatan  diri. Elakkan daripada berdepan dengan mereka yang mengidap penyakit bertujuan menghindarinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud Jika kalian mendengar ada wabak ta’un di sebuah negeri, maka janganlah kalian memasuki negeri tersebut. Dan jika ta’un itu mewabak di negeri kalian, janganlah kalian keluar dari negeri kalian untuk menghindari penyakit itu.” (Hadis Riwayat  Bukhari dan Muslim)
Dalam erti kata lain, Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengawal diri dari tempat penyakit berjangkit menular. Apatah lagi orang yang sedang sakit itu mendedahkan dirinya kepada masayarakat umum. Sehubungan itu, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya “Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat ” (Hadis Riwayat Bukhari)
Sebenarnya, keselamatan dari ada hubungannya dengan tahap penjagaan kebersihan diri dan persekitaran, Pemakanan yang seimbang, perlakuan dan aktiviti fizikal termasuk senamam dan sukan yang bersesuaian, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah dalam aspek kerohanian.
Firman Allah SWT "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri." ( Surah Al-Baqarah, Ayat 222)
           Kebersihan memainkan peranan yang begitu penting dalam mengelakkan seseorang ditimpa penyakit. Persekitaran yang kotor akan mengundang pelbagai jenis kuman pembawa penyakit ke kawasan tersebut. Sebab itu aspek kebersihan merupakan cabang keimanan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud  “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. ( Hadis Riwayat Muslim)
Disegi cara minum dan makan, Islam mempunyai tatacara yang jelas bagi mengelakkan kesan yang tidak baik  dari kebiasaan yang bertukar menjadi amalan. Walapun perkara ini nampak remeh namun natijahnya  sangat besar.
Islam melarang umatnya meminum air secara sekali gus atau terus-menerus di dalam satu bekas yang berisi air.  Sebaliknya sunat membaca Bismillah dan mengucapkan Alhamdulillah serta hendaklah diminum dengan dua atau tiga teguk. 
 Larangan itu berasaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Jangan minum terus-menerus seperti cara binatang minum. Tetapi minumlah dua teguk, dua teguk dan tiga teguk, tiga teguk. Dan baca bismillah apabila kamu minum dan baca alhamdulillah apabila selesai meminumnya."  (Riwayat Imam Al-Tarmizi)
Makanan yang disediakan juga hendaklah dipastikan kebersihannya, dibasuh dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna. Jangan mengendalikan masakan makanan untuk juadah keluarga keluarga dan orang lain secara sambil lewa tanpa mengambil kira kesan dan risikonya selepas itu.
Makanlah sekadar  mencukupi asalkan dapat berdiri untuk bekerja kerana keadaan lapar juga boleh mematahkan semangat bekerja. Isi perut hendaklah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 1/3  untuk makanan , 1/3 untuk minuman dan 1/3 lagi untuk pernafasan sehingga jiwa menjadi baik dan bersih.
Rasulullah SAW bersabda "Tiada satu tempat yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya selain daripada perutnya. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadah). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian, satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi kosongkan untuk bernafas."( Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

                          Akal yang cergas berkait rapat dengan badan yang sihat. Badan yang sihat berkait rapat dengan amalan makanan dan pemakan yang seimbang. Perpatah Arab yang berbunyi `Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat’

                       Bersukan bukanlah aktiviti yang asing bagi mereka yang mementingkan kesihatan. Dengan bersukan, kekuatan fizikal dapat ditingkatkan malah dalam al-Quran turut menggalakkan umat Islam untuk mempersiapkan kekuatan fizikal dan mental.
Antara aktiviti yang membantu kesihatan dan menjamin kecergasan badan  ialah berenang, memanah dan menunggang kuda. Aktiviti ini dicadangkan supaya ianya didedahkan kepada kanak-kanak lagi supaya menjadi kebiasaan untuk diamalkan dalam kehidupan mereka Dalam hal berkaitan Rasulullah SAW  telah bersabda yang bermaksud Ajarilah anak-anakmu memanah, berenang dan menunggang kuda.” (Riwayat Thabrani)
Perbetulkan tanggapan bahawa kekuatan tubuh  adalah disandarkan kepada banyaknya makan tetapi yang sebetulnya pengambilan yang seimbang menjadi faktor pembinanya. Mengambil makanan dengan kuantiti yang sedikit tetapi kerap adalah lebih baik berbanding dengan makan makan yang banyak secara sekali gus. Hidangan  sewaktu berbuka puasa adalah cabaran yang menjadi realitinya.
Rasulullah SAW bersabda “ Barang siapa yang berada dalam keadaan badan yang sihat, aman dalam penghidupannya dan memiliki makanan seharian yang cukup maka seolah-olah dunia ini miliknya.” ( Riwayat at Tirmizi)