Thursday, September 22, 2011

HAYATI SAMBUTAN AIDUL FITRI DENGAN ROH AGAMA



Perkataan 'fitri' bermaksud fitrah. Secara umumnya fitrah  membawa makna kejayaan manusia  kembali kepada fitrah yang asal kejadiannya. Sebenarnya fitrah merupakan suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa. Ertinya jangan sesekali mencampur adukkan yang hak dengan yang batil.
Fahami bahawa kita menyambut hari raya sebagai suatu perayaan agama bukannya perayaan peribadi. Maka cara menyambutnya hendaklah mengikut adab dan peraturan sepertimana yang ditetapkan agama. Elakkan daripada mencontohi perayaan yang disambut oleh masyarakat bukan Islam.
            Dari Ibnu Umar RA berkata, telah bersabda Rasulullah SAW “ Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang dari kalangan mereka." ( Riwayat  Abu Daud )
            Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulalah malamnya dengan aktiviti ibadat dengan memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran. 
Daripada Abi Umamah  RA daripada Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “ Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari qiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur engkar) pada hari itu.”  (Riwayat Ibnu Majah)
            Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk hadir pada majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah  iaitu hari perhiasan. Selepas itu kita juga disunatkan menghias diri dengan pakaian baru.  Ini didasarkan kepada amalan sahabat dimana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda Sesungguhnya Ibnu Umar R.A mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya ”. (Riwayat Imam Malik)
            Sebaik-baiknya hendaklah memakai baju baru sebagai menyatakan kegemberiaan kita menyambut ketibaan hari raya. Sememangnya naluri manusia  berkeinginan untuk  memakai pakaian yang cantik  sewaktu meraikan sesuatu peristiwa. Apatah lagi hari raya yang merupakan hari yang besar untuk diraikan dalam agama kita dengan mempamerkan wajah-wajah yang ceria dan gembira. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “Senyumanmu di hadapan wajah saudara kamu adalah sedekah bagimu”. ( Riwayat at-Tirmizi)

Dari Hasan bin Ali RA  menceritakan bahawa “Rasulullah SAW meminta kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi, berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).
Di zaman Rasulullah, seorang sahabat telah menemui Baginda SAW dengan berpakaian lusuh seraya bersedih. Katanya kepada Rasulullah sambil meluahkan perasaan “ Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat menyambut hari raya Aidilfitri ” Lalu baginda segera bertanya: “Kenapa wahai saudaraku?” Lelaki itu berkata “Kerana saya tidak ada baju baru.” Rasulullah SAW kemudian bertanya kepada beberapa orang sahabat yang lain, sesiapa yang mempunyai baju baru dapat kiranya diberikan kepada lelaki tadi. 
Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja bergaya dengan baju baru, namun pengajaran dari kisah tersebut ialah tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru untuk dipakai pada hari raya. Sebab itu digalakkan sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang-orang yang tidak berkemampuan.
Umat Islam diingatkan supaya tidak mengabaikan tututan membayar zakat fitrah bagi membantu golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada kita.  Seboleh-bolehnya hendaklah disegerakan urusan tersebut sebelum  mengerjakan solat sunat hari raya. Ibnu Umar r.a. menceritakan “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Umat Islam, tanpa mengira kaum lelaki ataupun perempuan disunatkan keluar beramai-ramai ke tempat solat dalam keadaan yang tenang dan berlapang untuk sama-sama bertakbir, mendengar khutbah dan berdoa.
Digalakkan bagi setiap orang yang hendak pergi ke tempat solat hari raya melalui jalan yang lebih panjang dan balik daripada sembahyang melalui jalan yang lain yang lebih pendek. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar “Sesungguhnya Rasulullah SAW di hari raya mengikuti satu jalan kemudian balik mengikuti jalan yang lain.” ( Riwayat Abu Daud)
Manakala kaum wanita juga dibenarkan sama bersolat sunat hari raya secara berjemaah. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan “Kami (para wanita di zaman Nabi SAW) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Riwayat Imam Bukhari).
Tidak berseri sambutan hari raya tanpa hidangan bermacam  makanan dan sajian  kuih-muih beraneka rupa dan rasa untuk dimakan sebelum  solat sunat hari raya. Diriwayatkan dari Ibnu Buraidah dari bapanya RA (seorang sahabat) yang menceritakan  Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan dan baginda tidak makan pada hari raya korban melainkan setelah beliau pulang”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dan at-Tirmiz
Anas RA juga menceritakan  Adalah Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil’”. (Riwayat Imam Bukhari)
Islam menegah umatnya melakukan pembaziran sewaktu menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian yang mahal dan kuih muih yang terlalu banyak sehingga menjadi luar biasa. Ertian sebenar menyambut perayaan dalam Islam wajar dihayati bagi mengelakkan pembaziran yang menjadi amalan syaitan.  
Kemenangan sewaktu menyambut Aidul Fitri bermakna juga kemenangan sahsiah manusia yang berupaya membendung nafsu dan sifat yang mazmumah selama ini.  Puasa merupakan sekolah latihan dan apa-apa yang dipelajari disekolah tersebut biarlah berterusan dan berkekalan amalannya.
Hiburan semasa menyambut hari raya diharuskan asalkan tidak berlebih-lebihan dan melalaikan. Hal ini berpandukan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan melalui Aisyah RA yang bermaksud “ Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)
Diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW  seraya berkata   "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)

Manakala semangat ukhwah dan persaudara Islam hendaklah disuburkan semasa meraikan sambutan hari raya. Inilah lambing kekuatan sebenar ummat Islam bagaikan binaan batu-batan yang kukuh dan kuat dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Al-Hafidz ibnu Hajar berkata dari Jubair bin Nufair yang menceritakan “Adalah para sahabat Rasulullah SAW apabila saling bertemu pada hari raya maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain ‘Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu’”. ( Riwayat Fathul-Bari )

Sewaktu menemui saudara kita hendaklah bersalam-salaman dalam suasana dan semangat persaudaraan . Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”. ( Riwayat Imam Abu Daud )

No comments:

Post a Comment