Imam Abu 'Abdullah Al-Qurtubi, ilmuan Hadis dan Tafsir yang terkenal dari Cordoba, Sepanyol pada abad ke12 menyatakan bahawa “ menjadi tanggung jawab kepada para pendakwah untuk memberikan nasihat kepada saudaranya dengan cara yang penuh bijaksana, lemah lembut dan penuh strategi dengan menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur dan memberikan nasihat agar orang yang ditegur tidak merasa malu dan melarikan diri sehingga menggagalkan matlamat dakwah”. Komunikasi lisan yang berhemat ini turut dikenali sebagai kesantunan berbahasa.
Kesantunan berbahasa atau kesopanan bahasa boleh ditakrifkan sebagai bentuk yang bermaksud untuk berlaku sopan kepada orang yang mendengar atau diajak bercakap bagi tujuan menghormatinya. Kesantunan dalam berbahasa akan memperlihatkan kesopanan terhadap orang yang bercakap dan dianggap sebagai seorang yang berbudi bahasa.
Manakala kaedah psikologi dakwah sebagai metodologi terbaik dalam usaha mendekati, memahami, menyampaikan dan mengendalikan tingkah laku manusia. Pendekatan ini juga dibuat untuk memberi efektif dalam urusan dakwah kepada masyarakat umumnya. Kita tidak mahu pendakwah mudah menerima label sebagai penghukum daripada berperanan sebagai pendidik masyarakat yang terlalu dahagakan ilmu agama. Justeru itu, kita perlu memahami kehendak dan naluri masyarakat sekitar sebelum menjalankan tanggungjawab sebagai pendakwah kepada mereka.
Secara umumnya psikologi merujuk kepada ilmu berkaitan tingkah laku manusia yang merupakan pancaran sebenar gejala jiwanya. Secara terperinci psikologi adalah bidang ilmu yang mempelajari tingkah laku lahiriah manusia dengan menggunakan pengamatan secara langsung melalui kaedah rangsangan dan responsif.
Sememangnya ada kalangan individu dan masyarakat kita yang langsung tidak sensitif atas perkara yang berkenaan. Psikologi dakwah merupakan suatu kaedah yang mudah dipupuk dan amat menarik untuk dipelajari. Komunikasi lisan oleh pendakwah mudah membabitkan soal hati dan perasaan yang melibatkan kedua belah pihak. Rangsangan sensitivitinya amat halus dan memerlukan kebijaksanaan kita untuk membaca pergerakkan anggota manusia. Kita sebenarnya mesti lebih bijak dan sentiasa berhati-hati dalam membaca, menelaah sahsiah dan suasana persekitarannya.
Ada juga yang membuat teguran umum bertujuan memperbetulkan kesilapan yang dibuat namun gigitan bahasa yang digunakan agak keras, tidak berlapik dan kaya dengan sindiran. Adakalanya melampui batas hingga keperingkat menghina individu tertentu termasuk mencela peribadinya.
Kita langsung tidak mempedulikan peringkat usia dan tahap pemikiran seseorang dalam menyampaikan risalah Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing” ( Hadis Riwayat Muslim)
Maksud tersirat ialah budaya menegur merupakan suatu amalan baik dan praktikal tetapi mesti dilakukan secara lembut, penuh kebijaksanaan dan bijak membaca suasana persekitaran dengan mengambil kira keadaan dan kedudukan masyarakat itu sendiri.
Seharusnya diperakui bahawa sememangnya setiap individu mempunyai perbezaan cara berfikir, mengeluarkan pendapat dan memberi pandangan dalam menangani pelbagai isu. Perbezaan ini akan mencambahkan lagi ilmu yang membantu menghadapi cabaran kehidupan. Ini adalah sesuatu yang normal atas sifat manusia yang ada akal, perasaan dan sensitiviti. Jangan sesekali membuat kesimpulan mudah dengan menghala pertuduhan dan prasangka buruk kepada pihak yang menolak atas pandangan dan nasihat kita.
Dalam hal ini hendaklah kita ingat akan Firman Allah yang bermaksud ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” ( Surah Yunus, ayat 36)
Terdapat tiga perkara asas yang menjadi garis panduan dalam memberi teguran kepada seseorang. Tujuannya untuk mempertahankan semangat ukhwah yang sedia wujud tidak bertukar menjadi musuh. Tiga faktor tersebut ialah, pertamanya teguran tersebut tidak bersifat merendahkan seseorang dalam bentuk menghina dan menjatuhkan maruahnya, keduanya mencari masa dan ruang yang bersesuaian dan tepat dan yang ketiganya memahami kedudukan orang yang ditegur dalam konteks kelapangan, keselesaan dan bebas dari tekanan emosi. Apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah. Perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan mampu mengundang ucapan penghargaan atau melorong ruang kearah permusuhan.
Allah berfirman yang bermaksud “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya. ( Surah An-Nahl, ayat 125)
Dicatatkan satu peristiwa bagaimana Baginda Rasul didatangi seorang lelaki yang meminta izin dari baginda untuk melakukan zina. Apakah Baginda Rasul berang dan marah dengan gelagat lelaki tersebut ? Rasulullah dengan berhikmah bertanya akan lelaki itu kembali, “Adakah engkau suka lelaki lain berzina dengan ibumu atau kakakmu atau adik perempuanmu?”
Jawab lelaki itu “Aku tidak menyukainya ya Rasulullah,” Lalu baginda berkata dengan lembut “Begitu juga dengan orang lain, mereka jua tidak suka jika engkau berzina dengan mana-mana wanita di kalangan kerabat mereka.”
Itulah bukti realis pendekatan yang ditunjukkan Rasulullah SAW untuk dicontohi. Persoalannya mengapa kita ketepikan cara dan kaedah yang telah ditunjukkan oleh Baginda.
Hakikatnya, Islam tidak hanya memperkenalkan etika dan kaedah menegur saudara seagama sahaja bahkan Islam turut menyediakan garis panduan dan cara menegur masyarakat yang berpegang kepada agama lain.
Allah telah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun supaya berkata lembut kepada Firaun sepertimana firman-Nya yang bermaksud ‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” ( Surah Thaha , ayat 44)
Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya, Islamsememangnya tidak suka jika kita bercakap atau berhujah semata-mata mengikut perasaan yang terpendam.
Justeru itu setiap muslim seharus berhati-hati dalam mempamerkan tingkah lakunya. Elakkan melakukan tindakan yang boleh membawa kesusahan pihak kedua kerana segala tindakan dan perbuatan yang kita lakukan akan dipertanggungjawabkan. Firman Allah yang bermaksud ”Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan dimintai pertanggungjawabannya.” (Surah Al-Isra’ : 36)
Diceritakan satu peristiwa dimana seorang Arab Badwi yang telah memasuki masjid Nabi , lalu membuang air kecil di salah satu sudutnya. Para sahabat yang menyaksikan hal itu amat marah dan bertindak untuk menerpa lelaki Badawi tersebut disebabkan sikapnya yang biadap dan mencemarkan masjid yang digunakan untuk beramal ibadat itu.
Rasulullah SAW atas sifat kasih dan cinta serta sikap hikmah Baginda telah menghalang para sahabatnya dari bertindak kasar, menghina dan mencaci sehingga menjatuhkan maruah orang lain. Sebaliknya Baginda Rasul telah membiarkan lelaki Badwi tersebut menghabiskan sisa kencingnya tanpa menyergahnya demi maruah lelaki tersebut.
Bahkan Baginda telah menasihati dengan baik dan kasih sayang. Disebalik peristiwa tersebut, Baginda Nabi berkesempatan menyampaikan sunnah kepada sahabat akan cara bagaimana hendak menyucikan kencing dan najis dengan sabdanya "Jiruslah pada air kencingnya itu sebaldi air". Kebijaksanaan Baginda telah berupaya mengelakkan air kencing dari bertaburan dalam masjid kerana orang itu melarikan diri dari diambil tindakan atas perbuatan yang belum pernah dilakukan sebelum ini sehingga mencemar kesucian masjid tersebut.
Kalau kita ingin melihat orang lain dari berhenti daripada melakukan kejahatan nescaya lebih banyak kejahatan yang akan dilakukkannya. Sebab itulah jangan suruh dirinya berhenti daripada melakukan kejahatan sebaliknya ajaklah orang itu memulakan kerja kebaikan walaupun sedikit kerana yang sedikit akan menjadi kebiasaan yang akan membunuh sifat buruknya.
Allah berfirman yang bermaksud “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125)
No comments:
Post a Comment