Institusi zakat amat penting dalam sistem kemasyarakatan. Ia merupakan perantara antara pembayar dan penerima iaitu asnaf . Tanggungjawabnya amat memastikan kutipan zakat dapat dilakukan dengan cekap dan mengagihkannya secara menyeluruh dan berkesan. Matlamat pemberian zakat kepada golongan miskin ialah untuk menolong, membantu, membina dan membangun kehidupan mereka melalui bantuan material bagi keperluan asas hidupnya.
Hasil Kajian “ Pengagihan Zakat oleh Institusi Zakat Oleh Institusi Zakat Di Malaysia “ yang dibentangkan Pada Seminar Kebangsaan Ekonomi Malaysia 2008 menunjukkan ramai pembayar zakat tidak berpuas hati dengan pengagihan zakat oleh institusi zakat di negara ini. Perkara yang jelas menimbulkan sikap tidak puas hati tersebut berkaitan kaedah pengagihan zakat.
Di zaman Rasulullah SAW, pengurusan zakat adalah bermula daripada masjid di bandar Madinah terutamanya di masjid-masjid yang besar (jami’a) yang menjadi tempat berkumpul umat Islam. Masjid tersebut menjadi Paksi kepada penduduk dan dianggap sebagai one stop centre.
Hari ini Pusat Pengutuan Zakat (PPZ) menjadi Institusi yang diamanahkan untuk mengumpul hasil zakat secara professional. Implicit dana zakat perlu disimpan di setiap institusi zakat agar agihan yang berkesan. Namun untuk memastikan supaya tidak berlaku kes ‘ terlepas pandang’ lebih banyak aktiviti turun padang dibuat secara berterusan dan sepanjang masa. Harapan pembayar zakat agar tidak belaku kes terlepas pandang atas golongan yang berhak menerimanya kerana hal tersebut sentiasa dalam perhatian umum. Kalau perkara ini dapat dijalankan secara berkesan tentu ianya akan memberi kepuasan kepada masyarakat Islam terutama pembayar zakat di tempat tersebut.
Dalam agama amanah adalah tanggungjawab yang besar yang dipikul oleh seseorang demi kerana Allah atas kebaikan kebaikan ummah. Mereka yang memikul amanah mesti melaksanakan amanah tersebut dengan sebaiknya dan akan menjawabnya dalam mahkamah Allah di akhirat nanti. Sebab itu tugas melaksanakan amanah ini merupakan tugas yang amat berat.
Sejarah ada merakamkan satu peristiwa yang sehubungan dengan amanah dan tanggungjawab yang dimaksudkan. Dari Saidina Ali RA katanya, ketika kami duduk bersama Rasulullah SAW lalu muncul seorang daripada keluarga al-aliyah dan bertanya kepada Rasulullah “ Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku apakah sesuatu yang paling berat dalam agama dan apakah yang ringan?. Maka jawab Rasulullah SAW : yang paling ringan dan mudah adalah mengucap dua kalimah shahadat dan yang paling berat ialah amanah. Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tidak amanah. Sembahyang baginya dan tiada zakat. “ ( Hadis Riwayat al-Bazar at-Tabrani)
Hadis tersebut menunjukkan betapa beratnya tanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Rasulullah SAW juga bersabda " Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang tiada amanah pada dirinya dan tiada agama bagi orang yang tidak dipercayai janjinya ". ( Hadis Riwayat Imam Ahmad, al-Bazar dan at-Tabrani)
Adalah terlebih untuk kita berdoa kepada Allah agar melindungi kita daripada kekufuran dan kefakiran. Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud “ Ya Allah. Aku berlindung daripada kekufuran dan kefaqiran dan Aku berlindung dengan Engkau daripada azab kubur. Tiada Ilah melainkan Engkau.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Nasaie dan Ahmad)
Ulamak terkemuka pada hari ini, Prof Dr. Yusuf Qardhawy dalam tulisannya “Masalah Kemiskinan : Konsep Islam dan Hukum Zakat ” yang banyak mengulas mengenai persoalan kemiskinan telah manyarankan agar isu kemiskinan ini ditangani dengan bijak dan jangan sampai membahayakan kehidupan manusia.
Beliau menolak pandangan golongan yang mensucikan kemiskinan yang beranggapan bahawa kemiskinan itu bukan suatu keburukan yang perlu diatasi dan menjadi masalah yang mesti dihuraikan. Golongan ini menyifatkan kemiskinan itu sebagai suatu kurniaan Allah kepada hamba yang dicintainya agar hamba tersebut memberi perhatian kepada kehidupan di akhirat dengan membenci dunia untuk menimbulkan kemurnian hatinya mendekati Allah.
Sahabat Nabi Abu Dzar Al-Ghifary pernah berkata “Aku hairan terhadap orang yang tidak ada makanan di rumahnya, bagaimana ia dapat menahan emosinya (dengan) tidak menyerang orang lain dengan pedang terhunus?”
Islam menyarankan dua pendekatan bagi menangani kemiskinan. Pertama, mengusahakan manusia keluar daripada kemiskinan. Kedua, memperingatkan manusia jangan keterlaluan bermewah-mewahan sampai mengabaikan tanggungjawab membantu membanteras kemiskinan.
Manakala Dr. Yusuf Qardhawy dalam bukunya “ Hukum Zakat “ menyatakan betapa bahayanya menyerahkan urusan menangani kemiskinan hanya kepada budi bicara manusia yang beranggapan bahawa “nasib orang-orang miskin dan lemah itu bergantung kepada belas kasih orang-orang kaya.” Sepertimana berlaku sebelum kedatangan Islam
Beliau menyatakan bahawa Islam jelas menggariskan perintah kepada golongan berada untuk menangani kemiskinan dan menolong orang miskin. Perintah itu termasuk “memberi makan dan mengajak memberi makan kepada orang-orang miskin,”
Sistem kemasyarakatan Islam yang berdiri atas prinsip-prinsip ummatan wahidah, musawah (persamaan darjat, dan dan kewajiban), (persaudaraan Islam) dan Takaful Ijti´ma (tanggung jawab bersama) diharapkan dapat mensucikan diri dari kotoran dosa melalui pemurnian jiwa dengan mengikis sifat tangkai jering demi keharmonian sejagat.
Sambil memerangi kemiskinan, Islam juga melarang kehidupan yang terlalu bermewah-mewah. Islam menggalakkan samada orang kaya bersyukur atau orang miskin yang bersabar. Orang kaya yang bersyukur ialah orang kaya yang menggunakan hartanya pada tempat-tempat yang diperintahkan oleh Allah untuk disalurkan. Orang miskin yang bersabar pula ialah orang miskin reda dengan kemiskinannya dan tidak melakukan perkara haram demi untuk sesuap nasi.
Dua ekstrem inilah yang akan terus mencabar maruah umat iaitu membiarkan kemiskinan mencengkam kehidupan dengan membiarkan golongan miskin terpinggir dan berasa kecewa manakala pada masa yang sama golongan kaya terlalu bermewah-mewahan menikmati keseronokan hidup yang selesa hingga mengabaikan perintah agama. Akhirnya menerima pembalasan Allah.
Pengalaman yang dirasai oleh umat Islam akibat kejatuhan kerajaan Baghdad (640H dan 644H ) kepada Monghul pada abad ke 7H (tahun 616H) cukup memilukan untuk diingati. Punca kejatuhan tersebut ialah terlalu bermewah-mewah hingga mengabaikan golongan miskin.
Sambil memerangi kemiskinan, Islam juga melarang kehidupan yang terlalu bermewah-mewah kerana banyak keburukan yang telah melanda umat Islam sebelum ini.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Bukan kemiskinan yang ku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana umat dahulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dahulu kala juga telah dihancurkan oleh sifat sedemian.” (Hadis Riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment