Ada dua perkara utama yang kita tidak sabar menunggu kemunculannya pada bulan Ogos nanti. Pertama, kehadiran Ramadan iaitu bulan yang penuh rahmah keberkatan dan keduanya sambutan hari kemerdekaan negara kita yang tercinta ini.
Kita sayangkan agama dan pada masa yang sama kita cintai negara tanah kelahiran kita. Kita tidak mahu negara kita diancam dengan huru-hara dan kejadian buruk yang menjejaskan keamanan untuk membolehkan kita beramal ibadat dengan selesa. Kita kena fikir dan mengekalkan ingatan betapa susahnya kehidupan dalam sebuah negara yang tidak aman. Sebagai seorang mukmin hendaklah kita sentiasa memanjangkan doa kepada Allah agar amal ibadah kita dipermudahkan dan keamanan negara dikekalkan.
Doa dalam bahasa arab yang bererti memanggil, memohon atau meminta. Orang yang berdoa ertinya orang yang mengajukan permohonan kepada Allah demi kebaikan diri, keluarga dan negara serta segala urusan dunia, agama dan akhirat. Rasulullah SAW bersabda “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia dihadapan Allah, selain daripada do’a.” (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah)
Pada hakikatnya doa merupakan suatu ibadat yang sangat istimewa dalam kehidupan seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Doa adalah intisari ibadah.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Bagi seorang mukmin ketika ia menadah tangan kerana memohon sesuatu dari Allah dengan penuh vokal dan emosi, jiwanya akan berasa puas dan tenteram kerana pada detik-detik sentimental melorongnya meluahkan. Perasaan yang dihadapinya kepada Allah. Allah telah berfirman yang bermaksud “Berdoalah kepadaku akan Aku perkenankan permintaanmu” (Surah Mukmin, Ayat 60)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Tidak seorangpun muslim yang berdoa dgn sesuatu doa yang tidak berunsur dosa mahupun memutuskan silaturrahim, kecuali Allah akan memberinya satu dari tiga perkara; samada doanya diperkenankan terus, atau disimpan untuknya pada hari akhirat, atau dijauhkan darinya keburukan yang setanding dengannya. Telah berkata para sahabat : Jikalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa. Baginda menjawab : Allah lebih banyak pemberiannya." (Riwayat Ahmad)
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud “Mintalah kepada Allah kurniaannya. Sesungguhnya Allah menyukai permohonan (dari hambanya)” ( Riwayat At Tirmidzi)
Rasulullah SAW juga bersabda “Tidak berdoa seseorang hamba di bumi ini melainkan ianya akan diperkenankan Allah, atau dipalingkan Allah satu keburukan daripadanya setimpal dengan apa yang dipohonnya, selama mana dia tidak meminta perkara yang berdosa atau meminta untuk memutuskan tali persaudaraan” ( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Doa yang mustajab ialah berdoa khusus kepada saudara dan rakan-rakan, tanpa pengetahuannya sepertimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Seseorang Muslim yang berdoa kepada saudara seagama dengannya, tanpa pengetahuannya, akan dicatat pahala yang sangat istimewa baginya ”( Riwayat Abu Muslim)
Manakala doa kepada seseorang tanpa pengetahuannya memberi ertian yang sangat besar kepada keikhlasan dan kesucian hati terhadap pihak yang didoakan. Doa seumpama ini sangat membantu ke arah mewujudkan perpaduan sesama umat Islam, sedangkan doa yang dibaca dengan rasmi dalam sesuatu majlis, yang didengar semua orang, boleh ditafsirkan dengan berbagai-bagai tafsiran.
Imam Nawawi Rahimahullah berkata bahawa doa yang semacam ini mustajab kerana keikhlasan orang yang mendoakan itu. Setengah ulama salaf apabila mereka hendak berdoa untuk diri mereka sendiri, mereka akan mendoakan juga saudara mereka yang muslim dengan doa yang seumpamanya kerana cara doa seperti ini adalah mustajab, di samping mereka juga akan mendapat seumpama apa yang mereka doakan bagi saudara mereka yang muslim itu. ( Sahih Muslim)
Sementara doa supaya Allah memusnahkan pihak-pihak yang dianggap musuh, kalaupun benar mereka musuh menurut pertimbangan agama, ia tidak wajib didoa dengan bahasa yang keras dan melampaui pertimbangan iman dan akal manusia. Sebaik-baiknya contohilah doa Nabi SAW kepada kaumnya supaya dikurniakan hidayat, walaupun mereka mencampak najis di atas belakangnya ketika sedang solat, sedang Nabi mampu bertindak balas terhadap mereka
Dalam suatu peristiwa sewaktu Nabi berdakwah ke Taif didapati seruan baginda tidak diterima malah baginda banyak menerima cercaan dan balingan batu. Namun baginda tetap mendoakan penduduk di Taif diberi hidayah oleh Allah dan tidak berdoa yang buruk-buruk untuk mereka. Doa Nabi ketika itu berbunyi “Ya Allah ya Tuhan, berilah petunjuk kepada kaumku kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui.”
Terdapat juga beberapa pertimbangan sebelum memanjatkan doa kepada Allah demi memelihara sesuatu yang tidak diingini berlaku. Sebagai contoh jangan berdoa dengan perkara yang membawa dosa dan memutuskan silaturrahim. Baginda Rasulullah SAW bersabda “Jangan kamu berdoa buruk terhadap anak-anak kamu, harta benda kamu dan ternakan kamu. Dibimbangi berkebetulan saat mustajab doa, maka doa kamu terus diterima”
Manakala daripada Ummu Ad-Darda’ berkata, sesungguhnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud "Doa seorang muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan setiap kali dia berdoa bagi saudaranya itu. Malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: "Amin, dan bagimu seumpama (yang didoakan)." (Riwayat Muslim)
Manakala seorang sufi yang terkemuka, al-Fudayl ibn `Iyad ada menyatakan bahawa “ Jika saya mempunyai doa mustajab, nescaya saya percumakan doa itu kepada pemerintah, kerana mereka mempunyai kuasa untuk menjayakan segala cita-cita dengan mudah ”
Kalau ditakdirkan doa kita mustajab, bermakna kita berjaya mengikuti jalan pintas dalam mencapai hajat dan matlamat kita, namun kalaulaupun tidak mustajab, maka tiada apa yang rugi, kerana doa pastinya merapatkan hubungan dan dicatat sebagai ibadat.
Sabda rasulullah SAW bermaksud “Sesungguhnya do’a itu dapat member manfaat (bagi pelakunya) untuk sesuatu yang telah terjadi. Maka wahai hamba Allah, lakukanlah do’a itu.” (HR. Tirmidzi dari Ibnu Umar)
Adalah disunatkan meminta agar didoakan oleh orang-orang yang mempunyai kelebihan sekalipun dia (orang yang meminta didoakan itu) mempunyai kedudukan yang lebih baik daripada orang tersebut (orang yang diminta supaya mendoakan), berdasarkan suatu riwayat daripada Ibnu Umar daripada Umar bin Al-Khatab RA yang maksudnya "Sesungguhnya dia (Umar) meminta izin kepada Nabi SAW untuk melakukan umrah. Lalu Nabi bersabda: "Wahai saudaraku! Sertakan kami di dalam doamu dan jangan engkau melupakan (untuk mendoakan) kami." (Riwayat At Tirmizi)
Maksud yang tersirat dari pesanan tersebut janganlah berdoa untuk diri sendiri sahaja, berdoalah untuk orang lain juga hatta kepada orang yang bukan berugama Islam sekalipun, tetapi dengan syarat bukan doa yang berbentuk permohonan keampunan bagi mereka, kerana ianya dilarang sebagaimana firman Allah "Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka." ( Surah At Taubah, Ayat 113)
Mengingat Allah hendaklah dilakukan di setiap masa sama ada di waktu senang atau susah. Begitulah juga dengan amalan dalam berdoa hendaklah dilakukan di setiap masa lebih-lebih lagi di waktu senang dan mewah, dengan itu apabila di waktu susah doa akan mudah diperkenankan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang maksudnya " Barangsiapa suka supaya dikabulkan doanya oleh Allah di waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa di waktu senang." (Riwayat Tirmidzi)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak menerima doa dari hati yang lupa.” (Riwayat Tirmidzi dan Al Hakim).
Doakan sama untuk keamanan dan kesejahteraan negara kita yang tercinta ini kerana ada negara-negara didunia yang tidak aman dan tenteram serta berkrisis. Ada juga negara yang ditimpa musibah . Ada yang berperang antara satu sama lain. Ada yang ditimpa kemiskinan dan mala petaka. Ya Allah ! Lindungilah Tanah Air tercinta dari segala mara bahaya.
No comments:
Post a Comment