Thursday, September 22, 2011

SALING BERMAAFAN MEMBUKA PINTU PERPADUAN




Membudayakan amalan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan terutama sewaktu menyambut hari raya adalah suatu amalan yang terpuji dan amat dikagumi. Sikap memaafkan juga dapat menimbulkan  suasana kasih sayang sesama manusia, menjauhkan kebencian, menjauhkan nafsu dendam amarah dan menjauhi permusuhan dan pertelingkahan. Dari Atta bin Abdullah Khurasani RA meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW bersabda “Berjabat tanganlah di antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian, dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan.” (Riwayat Muwatta Imam Malik)
Akuilah bahawa  tika dan saat  genting sebegini memerlukakan orang Islam bersatu supaya kita memampu menghadapi cabaran dan ugutan.  Namun sehingga kini ianya tidak menjadi kenyataan sepertimana yang diharapkan. Yang tinggal hanyalah seruan demi seruan meminta supaya dilupakan kesilapan nan lalu. Namun perrpecahan dan persengketaan terus berlarutan tanpa rasa bersalah dan  kepada manusia dan berdosa kepada  Allah dan  Rasulnya.

Allah berfirman yang bermaksud "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan soleh, sambil berkata: sesungguhnya aku ialah dalam kalangan Muslimin!. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; maka (engkau akan dapati) orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai  bahagian yang besar (dari kebahagiaan dunia dan akhirat" ( Fussilat, Ayat 33-35)
           


Umumnya tahu betapa  perpecahan melemahkan itu boleh melemahkan ummah, sebaliknya perpaduan memberi kekuatan kepada Islam itu sendiri, terutamanya disaat-saat kita berdepan musuh yang sentiasa ingin merobekkan agama Allah. Berhadapan dengan aneka jenis masalah dan tekanan, orang Melayu perlu kepada perpaduan sekarang dan hendaklah dilaksanakan secepat yang mungkin. Usah jadikannya sebagai analisa dan teori yang tidak berkesudahan dan  berakhir.
           
Bukankah matlamat perpaduan itu adalah untuk kebaikan bukannya untuk kemudaratan. Jika kita harus ada perpaduan, ianya hendaklah dengan tujuan memulih semula kekuatan dan maruah maruah demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Percayalah musuh-musuh Islam sentiasa gelak dan bergembira dengan perpecahan umat Islam. Inilah peluang yang terbaik untuk mereka menggayangkan ummat Islam kerana ada lompong kosong yang memudahkan mereka masuk didalamnya.

Jadikanlah perpecahan umat Islam diTimur Tengah sebagai contoh  dalam hal ini.  Sekecil negara Israel mampu menewaskan  negara Islam di Timur  Tengah yang  kaya dengan limpahan rezeki Allah. Namun mereka lemah dan tidak mampu berpadu sepertimana yang diperintahkan Allah melalui Rasulnya.

Pada asasnya, seorang muslim dengan muslim yang lain mestilah mempunyai perasaan kasih sayang dan sentiasa berprasangka baik sebaliknya kaum muslim. Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud  " Kamu tidak akan masuk Syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu saya tunjukkan kepada sesuatu jika kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara sesama kamu".( Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Untuk mengembalikan perpaduan dikalangan umat Islam di negara ini hendaklah dibuang sikap syak wasangka dan buruk- memburukkan di antara satu sama lain. Allah berfirman yang bermaksud  “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar" ( Al-Nisa', ayat 114)

BulanSyawal ini adalah bulan yang terbaik untuk mencuci sifat mazmumah di setiap hati umat Islam. Sikap prejudis ini teramat merugikan semua pihak dalam suasana kita memerlukan kekuatan yang jitu untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Bermusuhan dan sangka buruk itu jelas haram dalam Islam. Allah berfirman yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman jauhkanlah kebanyakan prasangka kerana sebahagian prasangka itu dosa" ( Surah Al-Hujurat, ayat 12)

Prasangka buruk terhadap sesama muslim boleh menjurus kepada kebinasaan ukhuwah yang sekian lama disuburkan oleh Rasulullah SAW yang dijelmakannya melalui ikatan antara puak Aus dan Khazraj serta muhajirin dan Ansar .
 Allah berfirman yang bermaksud "Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka tidak berselisihan) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menciptakan manusia." (Hud, Ayat 118)
Hari ini kita sering bertemu dengan  satu matlamat yang jelas untuk bertakbir dan bertahmid memuji Allah. Hari ini kita bergembira tanda kemenangan setelah sebulan menunaikan perintah Allah. Kita menyakini segala apa yang dikehendaki agama. Sayangnya perpaduan yang dikehendaki atas semangat ukhwah masih belum terlaksana walapun dilihat kita mampu melaksanakan seruan tersebut. Semuanya berpunca daripada kita yang sentiasa berprsangka buruk terhadap saudara seagama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud " hindarilah prasangka kerana prasangka itu adalah paling dusta ".  (Hadis    Riwayat Bukhari)

          Jika terbukti dia itu tidak  dari kalangan muslim yang akur dan patuh pada agamanya, bimbinglah dia ke arah muslim yang sebenar dengan penuh kesabaran dan bersemangat ukhwah Islamiah tanpa menghina dan mencela mereka. Pupukalah perpaduan sepanjang bulan kemenangan yang kita raikan.

Firman Allah yang bermaksud  Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang, dan (ingatlah), Allah  mengasihi  mereka yang berbuat perkara-perkara baik" ( Ali 'Imran, Ayat 143)

            Sebenarnya sikap irihati dan dengki merupakan gejala hati yang telah rosak pada bahagian akarnya. Kalau dibiarkan ianya berterusan boleh member kesan kepada hati busuk hingga dirasakan agak sukar  untuk memulihkannya. Berkaitan dengan hati ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Bahawa dalam diri setiap manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baik pula seluruh amalnya, dan apabila ia itu rosak maka rosak pula seluruh perbuatannya. Gumpalan daging itu adalah hati.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Imam Ghazali ada menyatakan bahawa “Nafsu adalah sumber bagi segala keburukan dan kejahatan”. Maknanya Imam Ghazali melihat betapa penyalagunaan nafsu memberi impak yang buruk kepada sahsiah manusia. Daripada nafsu yang melampau  membentuk rasa cemburu dan dengki kepada orang lain yang mendapat lebih daripada apa yang kita perolehi.

            Dengki penyakit orang yang mengalami tekanan emosi  yang sangat kuat. Kalangan mereka yang kuat berdengki ini akan sentiasa memandang dirinya sentiasa benar dan berikhtiar mencari kesalahan saudara sendiri untuk di dedahkan kepada khalayak. Tujuannya untuk mempempengaruhi mereka supaya mempercayai sebaran maklumat buruk yang disampaikan.  

Rasulullah SAW telah memberi peringatan sepertimana yang dinyatakan  Anas bin Malik  R.A "Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling bermusuhan, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal seorang Muslim mendiamkan (tidak menyapa) saudaranya lebih dari tiga hari." (Hadis Shahih Riwayat Muslim)
         Memang menjadi fitrah manusia yang diberi akal fikiran untuk sentiasa berfikir dan sentiasa mengetengahkan pendapat dalam satu-satu isu. Mungkin pendangan yang diutarakan  dengan yang lain. Perbezaan pendapat dan pandangan bukanlah menjadi penamat mukamad kearah kesepakatan, kerjasama dan membangunkan ummah.
Bahkan amat tidak wajar kalaulah perbezaan pandangan yang timbul seperti ini membuka laluan permusuhan dan kebencian sesama kita. Perbezaan seperti ini  sepatutnya membantu mencari keputusan yang terbaik,  setelah masing-masing mengemukakan pandangan dan pendapat secara terbuka. Ternyata “perbezaan” tersebut sebenarnya  “kepelbagaian" dalam  rahmat dan bukannya penyebabkan  terlerainya ikatan kasih sayang dalam masyarakat kita. Manfaatkanlah  kehadiran Aidil Fitri yang mulia ini untuk bermaaf-maafan kerana ia membuka pintu perpaduan dan persaudaraan Islam.

No comments:

Post a Comment