Thursday, September 22, 2011

KASIHKAN IBU NANTI KITA DIKASIHI ANAK

Bagi mereka yang mengalaminya sahaja yang dapat merasai erti sebenar kehilangan tersebut.Sebuah kehilangan yang sukar untuk dikongsi kesedihannya. Ketika itulah  kasih sayang ibu berterusan menjelma  menjadi slot memori yang benar-benar menghancurkan bagai luruh  seluruh jambakan perasaan.
Mengingati betapa ibu rela menanggung segala kesakitan dengan sabar sepanjang tempoh membawa kandungan pelbagai ragam terjahan tanpa  rasa kesal sikit pun. Selepas dilahirkan, ibu menjaga dengan penuh kasih sayang walapun dalam keadaan serba kekurangan kesan himpitan kemiskinan.

Ketika anak dalam kesakitan, ibu rela tidak memejamkan matanya walapun dalam keletihan dan kepenatan. Ibu akan berkorban apa sahaja untuk membesarkan anak hatta menyerahkan nyawanya sendiri andainya diperlukan untuk berbuat begitu.
Suatu pengorbanan yang tiada tolak bandingnya. Tidak boleh diukur dan dibuat bandingan dengan apa jua yang ada. Kasih ibu yang sejati tidak boleh dinilai dengan harta benda mahupun wang ringgit.
Hanya mereka yang mempunyai anak kandungnya sendiri dapat menjiwai betapa hebatnya kasih sayang ibu terhadap anaknya. 
Justeru itu Rasulullah SAW telah mengingatkan kita agar “Jaga baik-baik ibumu, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah dua kaki ibu.” ( Riwayat An-Nasa’ie dan Ahmad)
Pengorbanan ibu yang  tiada bandingannya itu telah diiktiraf  dan diperakui Rasulullah melalui sabda Baginda yang bermaksudReda Allah bergantung pada reda dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
( Riwayat Al- Hakim)
            Rasulullah SAW  juga telah membawa khabar gembira kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapanya dimana balasannya Allah mengampuni mereka. Rasulullah SAW juga membawa berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibu bapa “ buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya” 
Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati “ ( Riwayat Al-Hakim)
Imam Al-Ghazali pernah berkata " Cara hidup kita di dunia adalah bayangan cara kehidupan kita di Akhirat nanti ". Ertinya mereka yang memberi layanan yang buruk kepada kedua ibubapa akan diberi layanan yang buruk juga dihari pembalasan kelak.
Binasalah mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah lanjut usianya, sedangkan mereka tidak  berbakti terhadap kedua-duanya. Hal tersebut terus  menjadi ujian kepada anak-anak  yang menyebabkan mereka terhalang daripada mencium Syurga Allah.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda bermaksud “Sesungguhnya sebesar-besar dosa, apabila seorang lelaki mengutuk ibu bapanya.”  Sahabat berasa hairan bagaimana seorang yang cukup akalnya, beriman kepada Allah boleh mengutuk ibu bapanya, padahal merekalah yang menyempurnakan kehidupan anak
Lantas Baginda ditanya “ Bagaimana seorang itu mengutuk ibu bapanya?”
Jawab baginda “Apabila orang itu memaki-maki ayah orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ayahnya. Kemudian dia memaki-maki ibu orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ibunya!”  ( Riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam menentang keras penganutnya menyergah atau menyakiti ibu sendiri, Apa lagi, sekiranya seorang ibu itu dimaki-hamun atau disisihkan oleh anaknya sendiri. Allah berjanji bahawa setiap orang yang melakukan penderhakaan akan diberi pembalasan setimpal dengan perbuatan mereka sama ada di dunia atau akhirat.
Firman Allah yang bermaksud “Dan Tuhan telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya, dan supaya kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa (kamu). Dan kalau salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sekali ada dengan engkau sampai umur yang sangat tua, janganlah engkau katakan kepada keduanya uf atau ah, dan janganlah engkau menggertak kedua-duanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang mulia. (Surah Al Isra : 23)
Abdullah bin Amr berkata seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah, lalu berkata "Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang ke sini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis".  Lalu Baginda menasihati lelaki itu seraya bersabda "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis"  (Riwayat Ibnu Majah)

Semua orang memperakui bahawa ibu merupakan insane yang  berpengaruh dan berkesan dalam mendidik dan mengajar anak. Keberkesanannya dapat dibuktikan sehingga ke hari ini. Jangan lupa ungkapan keramat “ Tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang  dunia”. Suatu ungkapan yang tepat dan menggambarkan pengaruh kuat seorang ibu terhadap  perkembangan dan pendidikan anak-anaknya.
Sejarah menceritakan bahawa pada suatu hari Saidina Umar RA mendatangi sebuah kawasan penempatan. Apabila Saidina Umar RA  tiba ke tempat berkenaan, kanak-kanak yang ada di kawasan berkenaan telah lari menyembunyikan diri kecuali seorang sahaja yang tidak berbuat demikian. Apabila Saidina Umar RA mendekati dan bertanya kepada kanak-kanak itu, maka kanak-kanak tersebut dengan beraninya menyatakan kepada Khalifah bahawa “ Aku hanya takut pada Allah”
Apabila Saidina Umar RA bertanya siapakah yang mengajarkan kanak-kanak tersebut, dengan lantas dijawabnya  “ Ibuku” Maka kata Saidina Umar RA  “Benarlah sepertimana yang diajar oleh ibumu” Sejarah mencatatkan bahawa Kanak-kanak tersebut adalah Abdullah ibn Zubair anak kepada pasangan Asma’ bin Abu Bakar dan Zubair bin Awwam.
Betapa kasih sayang ibu terhadap anaknya  dan anak kepada  ibunya digambarkan melalui dialog doa-doa Abu hurairah RA kepada ibunya dan doa ibunya kepada Abu Hurairah sepertimana  kata Abu Hurairah “Keselamatan atasmu serta rahmah dan barakah Allah wahai bondaku!”
Ibunya menjawab “Dan keselamatan pula atasmu serta rahmah dan barakah Allah.”
Doa Abu Hurairah lagi “Semoga Allah mengasihimu wahai Ibu sebagaimana engkau telah mendidikku semasa kecilku.”
Ibu membalas “Wahai anakku! Dan engkau juga semoga Allah memberi balasan yg baik dan meredhai mu sebagaimana engkau telah berbakti kepadaku pada masa tuaku.”
Sesungguhnya apa yang dilakukan terhadap kedua ibubapa akan bertimbal balas. Segala layanan baik akan dibalas dengan kebaikan manakala atas layanan yang buruk akan dibalas dengan keburukan. Rasulullah SAW telah memberi peringatan kepada kita  melalui sabda Baginda yang bermaksud “Berbuat baiklah kepada bapa-bapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu.”  ( Riwayat  AT-Thabarani )

No comments:

Post a Comment