Berdepan dengan suasana yang berlaku dalam negara memungkinkan kita terlupa akan kehadiran Ramadan kira-kira dua minggu lagi. Saat yang dinanti kerana Ramadan merupakan bulan anugerah Allah yang luar biasa keberkatan dan rahmatnya. Marhaban ya Ramadhan.
Mereka yang diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sewajarnya memanjat kesyukuran kepada Allah kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan pada bulan yang mulia yang penuh limpahan rahmat dan barakah ini. Sesungguhnya bulan Ramadan benar-benar menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda “ Barangsiapa yang puasa Ramadhan kerana iman dan ikhlas maka Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ada dua perkara yang perlu kita menghakimi diri kita sendiri sebelum menerima kehadiran Ramadan. Pertama, persiapan untuk menyambut dan mengimarahkannya. Apakah telah mendayaupayakan minda dan jiwa dengan makanan rohani dalam majlis-majlis ilmu, terutama yang berkaitan dengan kelebihan nya.Jangan ambil mudah soal ini selepas hampir setahun kita meninggalkannya. Sebarang ketidaksiapan dibimbangi menjadi salah satu bentuk meremehkan perintah yang diwajibkan pada kita. Akibatnya sangat besar iaitu kelemahan untuk menjalankan kewajiban tersebut hingga tersekat keredhaan Allah atas kelalaian kita sendiri.
Keduanya, apakah kita akan berjaya memenuhi piawaian Ramadan yang dituntut untuk kita mengisinya dengan mengerjakan amal ibadat. Yakinlah akan gajaran yang diperuntukkan berganda-ganda. Apapun, kita akan berdepan dengan kemungkinan-kemungkinan pengisian yang dibuat sepanjang bulan tersebut sekadar memenuhi keseronokan yang bertujuan memenuhi jamuan nafsu yang tidak pernah surut itu.
Sebagai persiapan untuk kita menyambut kehadiran Ramadan, adalah terlebih baik kepada kita untuk membuat persiapan awal. Umpama menyambut ketibaan pemimpin utama negara maka persiapan mesti dibuat supaya sewaktu sini menyambutnya tidak berlaku cacat-cela yang memberi kesan penyesalan selepas berlalunya sambutan itu.
Ertinya, persiapan hendaklah dilakukan dalam bulan Sya’ban lagi memperbanyak membaca kalamullah, muhasabah dan tafakkur, serta memperbanyak puasa sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah. Ummul Mukminin Aisyah RA Menyatakan bahawa “ Bulan yang paling Rasulullah SAW sukai untuk berpuasa di dalamnya adalah (bulan) Sya’ban, kemudian Beliau menyambungnya dengan (puasa) dibulan Ramadhan. (Riwayat Abu Dawud, an-Nasa’i dan Ahmad).
Melakukan puasa sunnah pada sebelum Ramadan adalah salah satu cara melatih diri dan membiasakan diri menghadapi Ramadan. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang sebaik-baiknya kepada ummah apabila Baginda memperbanyakkan puasa sunnah pada bulan Sya’ban. Ummul Mukminin Saidatina Aisyah menceritakan bagaimana “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa selama sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat beliau berpuasa (sunah) lebih banyak dari bulan Sya’ban.” (Muttafaq Alaih)
Kita juga hendaklah sentiasa memperbaharui taubat kerana Rasulullah SAW bersabda “ Setiap keturunan Adam itu banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat.” ( Riwayat Ibn Majah).
Baginda Rasulullah SAW juga bersabda bermaksud " Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang membuat jahat di waktu malam, membuka tangan selebar-lebarnya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan maksiat waktu siang. Hal ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari arah barat." (RIwayat Muslim)
Untuk melakukan taubat yang sungguh-sungguh yang disebut taubat nasuha, Islam menunjukkan syarat yang mesti dipenuhi iaitu menyesal dengan perbuatan dilakukan dengan sepenuh hati, berhenti serta merta melakukan perbuatan itu dan berazam tidak akan mengulang kembali perbuatan itu. Allah berfirman yang bermaksud "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)
Kita mengharapkan keampunan dari Allah atas segala dosa yang pernah dilakukkan. Sebagai makhluk yang dijadikan Allah, kita tidak memiliki sifat kesempurnaan dan terdedah kepada dosa akibat tindakan dan perbuatan kita. Apa yang penting kita sedar dan insaf akan perbuatan tersebut dan bersedia memohon keampunan dari Allah. Allah berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, Ayat 22)
Ramadan merupakan ujian ketaatan sekaligus membiasakan diri dengan amal soleh sehingga jiwa terdidik untuk melaksanakan segala perintah Allah. Jangan hanyut dan terpesona kerana terlalu mengejar harta dunia sehingga melupakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Mencari harta dunia ada batasannya berpandukan disiplin kehidupan bertunjangkan agama. Walaupun kita sibuk mencari limpahan harta sehingga memungkinkan kita leka kerananya namun janganlah sampai ketahap menggagalkan persiapan jiwa dan pengisian rohani.
Dari Anas bin Malik RA dari Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Andai kata anak Adam itu memiliki emas satu lembah, nescaya dia ingin memiliki satu lembah lagi. Tidak ada yang dapat mengisi penuh mulut (hawa nafsu)-nya melainkan tanah (maut) dan Allah menerima taubat siapa yang taubat kepada-Nya.” ( Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Seandainya manusia sudah memiliki dua lembah yang penuh dengan harta, nescaya dia mencari (lembah harta) yang ketiga. Tiada yang memenuhi isi perut manusia, kecuali tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.” ( Al-Bukhari)
Sehubungan dengan itu mukmin digalakkan perbanyakkan I’tikaf iaitu berdiam diri di masjid untuk beribadah kepada Allah. Orang yang melaksanakan I’tikaf mengisinya dengan berzikir, beristigfar, membaca Al-Qur’an dan berdoa kepada Allah. Manakala menyambut dan meraikan kehadiran Ramadan hendaklah digandakan semua amalan tersebut agar dapat membersihkan sifat-sifat mazmumah dalam diri kita.
Segala virus penyakit mazmumah yang membiak didalam hati kita seperti angkuh, sombong, riak, pemarah, pendendam dan sebagainya dapat dihapuskan melalui amalan i’tikaf. Gantikan dengan usaha mempererat silaturrahim kerana ia merupakan tanda seseorang itu beriman dengan sebenar-benarnya.
Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah adalah orang memberi maaf kepada pihak yang telah berbuat salah padanya, walaupun dia mampu untuk membalas perbuatan tersebut.
Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : Musa bin Imran AS pernah berkata “ Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandangan Mu ? Allah swt menjawab: Barangsiapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.”(Riwayat al- Baihaqi)
Banyak kelebihan bagi orang yang memaafkan kesilapan orang lain, bukan hanya ketenangan hidup di dunia malahan akan mendapat kelebihan di hari akhirat kelak. Apa yang lebih penting sikap memberi maaf dan memohon maaf ini menjadi rimbunan yang menyejukkan jiwa untuk terus melaksanakan amal ibadah, terutamanya bersolat dan ibadah puasa.
Sikap memaafkan juga dapat menimbulkan suasana kasih sayang sesama manusia, menjauhkan kebencian, menjatuhkan nafsu amarah dan menjauhi permusuhan dan pertelingkahan. Dari Atta bin Abdullah Khurasani RA meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW bersabda “Berjabat tanganlah di antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian, dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan.” (Riwayat Muwatta Imam Malik)
Untuk menambah kerinduan dan semangat kita dalam membuat persiapan menyambut kedatangan Ramadan, hendaklah kita mengingat dan merenung kembali pesananan Rasulullah SAW yang pernah Baginda sampaikan pada akhir bulan Sya’ban.
Salman al-Farisi menyatakan bahawa Rasulullah saw. pernah berkhutbah pada akhir bulan Syaban demikian “ Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan penuh berkah, bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai suatu kewajiban dan shalat malamnya sebagai sunnah. Siapa saja yang ber-taqarrub di dalamnya dengan sebuah kebajikan, ia seperti melaksanakan kewajiban pada bulan yang lain. Siapa saja yang melaksanakan satu kewajiban di dalamnya, ia seperti melaksanakan 70 kewajiban pada bulan lainnya.
Bulan Ramadhan adalah bulan sabar; sabar pahalanya adalah syurga. Ia juga bulan pelipurlara dan ditambahnya rezeki seorang Mukmin. Siapa saja yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, ia akan diampuni dosa-dosanya dan dibebaskan lehernya dari api neraka. Ia akan mendapatkan pahala orang itu tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Para Sahabat berkata, “Kami tidak memiliki sesuatu untuk memberi makan orang yang berpuasa puasa? ”Rasulullah SAW menjawab: Allah akan memberikan pahala kepada orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka berpuasa meski dia hanya memberi sebutir kurma, seteguk air minum atau setelapak susu. Ramadhan adalah bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.....” (Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Shahih Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman).
Bulan Ramadhan adalah bulan sabar; sabar pahalanya adalah syurga. Ia juga bulan pelipurlara dan ditambahnya rezeki seorang Mukmin. Siapa saja yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, ia akan diampuni dosa-dosanya dan dibebaskan lehernya dari api neraka. Ia akan mendapatkan pahala orang itu tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Para Sahabat berkata, “Kami tidak memiliki sesuatu untuk memberi makan orang yang berpuasa puasa? ”Rasulullah SAW menjawab: Allah akan memberikan pahala kepada orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka berpuasa meski dia hanya memberi sebutir kurma, seteguk air minum atau setelapak susu. Ramadhan adalah bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.....” (Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Shahih Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman).
No comments:
Post a Comment