Thursday, September 22, 2011

USAH GUNAKAN ICT SEBAGAI MEDIA PERPECAHAN UMMAH



            ICT dapat ditakrifkan sebagai Pelbagai bentuk peralatan dan sistem yg digunakan untuk memproses, mengurus, memanipulasi, memindah, menyimpan dan menyebarkan maklumat melalui media elektronik.
Berdasarkan perkembangan semasa didapati kemudahan penggunaan teknologi maklumat ini  telah dimanfaatkan secara berkesan dalam hampir semua aspek kehidupan dan pengaruhnya dijangka akan memberi impak yg lebih besar terhadap sistem jaringan dunia keseluruhannya  pada masa depan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (Riwayat  Bukhari dan Muslim)
Teknologi maklumat ini menjadi salah satu sumber sebaran ilmu. Ianya berkaitan dengan apa sahaja yang boleh menerangan objek dan data supaya lebih banyak diketahui tentang sesuatu perkara itu sebagai benar tanpa ada unsur keraguan sama sekali.
Kebolehan pengguna untuk berinteraksi dengan program atau perisian multimedia merupakan kunci utama kebolehan atau kecanggihan sebuah sistem multimedia. Pemanfaatan komputer untuk membuat dan menggabungkan teks, grafik, audio, video, dengan menggunakan tool yang memungkinkan pemakaian  tanpa  had batasannya.
Seorang ilmuan terbilang Ibn Kaldun atau nama sebenarnya  Abdul Al Rahman Ibn Muhamad (1332-1406) berpandangan bahawa “ manusia sebagai makhluk berfikir dengan  kemampuannya dapat memetik dan memahami hal-hal yang berada di luar dirinya
Berdasarkan kedudukan tersebut setiap muslim tidak seharusnya menyisihkan diri dari perkembangan dan pembangunan teknologi maklumat pada hari ini, malah kita seharusnya dapat melibatkan diri secara aktif dan menjadi penyumbang utama untuk melahirkan suatu masyarakat bertamadun. Ianya boleh menjadi satu cara yang efektif untuk menyebarkan ilmu secara menyeluruh berdasarkan konsep dunia tanpa sempadan.

Bagaiamanapun kita yakin bahawa setiap apa yang kita lakukan, usahakan, tuliskan dan sebarkan  tetap tertakluk kepada aturan dan peraturan Allah. Allah berfirman yang bermaksud “ Barangsiapa yang mengerjakan amalan-amalan baik sekalipun sebesar zarah dia pasti akan melihatnya dan menerima balasannya. Dan sesiapa yang berbuat jahat sekalipun sebesar zarah dia pasti akan melihatnya dan menerima balasannya   (Surah Al-Zalzalah, ayat  7-8)

            Seorang muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah sentiasa menjaga amalan dan perbuatannya. Jangan sesekali gunakan kepakaran kita terutamanya dalam ICT untuk tujuan yang tidak baik dan boleh merosakkan semangat perpaduan, terutamanya dibulan yang mulia ini. Sebaran berita dan maklumat yang kurang tepat dan bercampur baur dengan nafsu amarah dan dendam yang berbara syaitan itu hendaklah dihindarkan.

Allah berfirman yang bermaksudTidak seorang pun di langit dan di bumi kecuali akan datang kepada Tuhan yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri” ( Surah Maryam, ayat 93)

Dari Ibnu Umar RA katanya: Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi " Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat  (aib) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Berbeza dengan Ingatan Rasulullah SAW, didapati sekarang ini eleman fitnah, umpatan, tomohan dan adu-domba  hidup segar dalam berterusan menjadi budaya yang tidak boleh disekat  dan dibendung lagi penyebarannya. Internet dijadikan medan sentuhan yang melibatkan perkara-perkara tersebut.
Tujuannya mencari kesalahan dan kelemahan dengan niat untuk jatuh menjatuhkan sesama sendiri. Cerita yang tidak benar sengaja direka-reka untuk menarik perhatian orang ramai bagi mengesahkan kebenarannya tanpa siasatan.

Allah berfirman yang bermaksud  “Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.” (Al-Mu’min, ayat 19)

Manakala cerita yang benar diputarbelitkan sehingga menjadi tidak benar. Masyarakat kian keliru dan dikelirukan oleh pakar-pakar pengendali blog. Manakala sentimen kebencian, permusuhan dan perpecahan dikalangan umat Islam terus menjadi-jadi dalam negara ini.

Hendaklah kita jauhkan segala macam tohmohan dan umpatan kerana ia adalah sifat orang yang rosak akhlak dan akal budinya. Sudah semestinya ia tidak layak diamalkan oleh orang Islam yang beriman. Tiada gunanya orang-orang yang mentaati suruhan Allah tetapi masih terus membuat fitnah dan umpat-mengumpat sesama muslim.
Seorang Pujangga Arab pernah berkata, “Orang hasad dengki hidupnya tidak akan senang dan orang yang bakhil tidak akan berbudi, dan tidak dapat dijadikan kawan bagi orang yang selalu merasa jemu dan tidak ada jiwa kemanusiaan bagi seorang pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.”

 Allah berfirman yang bermaksud “ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjauhkan buruk sangka, kerana buruk sangka itu setengah daripada dosa besar, janganlah kamu mengintai dan janganlah kamu mencerca serta mengumpat, setengah kamu akan setengah lain.  Apakan kamu suka memakan daging saudara kamu yang telah mati?  Nescaya kamu takut kepada Allah bahawasanya Allah itu Penerima taubat”. (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Lebih malang lagi apabila orang yang berpengetahuan agama di heret, digunakan dan dimanfaatkan dalam episod drama Mazmumah hinggakan masyarakat menjadi semakin keliru. Sesetengahnya mulai hilang kenyakinan kepada ilmuan agama yang sepatutnya menjadi tunjang kepada insan keseluruhannya.

Berpunca dari sifat dengki-mendengki  berterusan hingga membawa kepada eleman fitnah-memfitnah, pergaduhan, pembohongan, putus silaturahim, penghinaan dan lain-lain. Teknologi maklumat  dimanfaatkan secara wewenangnya untuk menyalur segala macam yang terbuku sehingga tidak dapat dikawal itu mengakibatkan berlakunya perang siber.
Allah berfirman yang bermaksud “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.” ( Surah Al-Falaq, ayat 5 )
Semangat persaudaraan dan ukhwah dikalangan masyarakat Islam menjadi semakin hanyut dan membimbangkan. Pelbagai usaha menyedarkan masyarakat tentang keburukan sifat fitnah dan membuat tohmohan buruk ini namun  sukar meletakkan mereka berpijak di padang kebenaran.

Rasulullah SAW telah  bersabda yang maksudnya " Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya (tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim).

Kita  mungkin tidak menyangka sama sekali bahawa setiap patah perkataan yang keluar dari hati dan fikiran yang dijelmakan  dalam bentuk ayat untuk tatapan dalam blog  tetap akan dihitung di akhirat nanti.

Allah berfirman bermaksud “ Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan” ( Surah Yaasin, ayat  65)

            Ada  ulamak yang berpandangan bahawa  harta kekayaan menjadi punca kepada segala fitnah dan adu domba kerana ianya sangat sensitif kepada naluri dan nafsu manusia.

 Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud Yang paling aku takut dari apa yang aku takut pada umatku ialah yang banyak harta pada mereka, lalu mereka saling berdengki dan berbunuh-bunuhan.” (Riwayat  Ibnu Abid Dunya dan Amir Al-Asy’ari)

Dalam Islam hanya ada dua  sifat irihati yang dibenarkan dan kedua-dua ada kaitan dengan harta dan ilmu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah SWT harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah SWT  ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadis) serta diajarkannya pula kepada orang lain.” (Riwayat  al-Bukhari)

No comments:

Post a Comment