Demontrasi merupakan luahan perasaan secara berkumpulan samada untuk menyokong atau menentang sesuatu isu yang bangkit dan dibangkitkan. Semuanya merupakan manifestasi rasa tidak puashati yang dijelmakan dalam tindakan. Dalam keadaan tertentu Islam turut diseretkan bertujuan untuk mendapatkan sokongan kononnya Islam membenarkan demontrasi. Rasulullah SAW bersabda "Orang yang paling dibenci di sisi Allah adalah yang keras dan besar permusuhannya. " (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya dalam Islam, demontrasi dipecahkan kepada dua aliran iaitu demontrasi liar yang dinamakan Muzhaharah dan demontrasi aman yang dipanggil Masiirah.
Demonstrasi liar jelas diharamkan oleh Islam kerana ia disertai dengan perhimpunan yang berniat jahat dengan ucapan-ucapan provokasi yang menaikkan semangat penentangan secara radikal. Akibatnya beberapa aktiviti yang diharamkan seperti mengganggu lalu-lintas, menyusahkan aktiviti ekonomi terutama mereka yang mencari rezeki, menghancurkan, merosak atau membakar harta benda, mengganggu ketenteraman awam dan seumpamanya adalah kejadian yang akan berlaku selepas api sentimen kebencian kepada pemerintah ditiup secara tidak disedari.
Amat tidak wajar untuk sesorang itu berucap dengan melemparkan kata-kata yang hina dan nista di khalayak ramai semata-mata untuk menarik perhatian. Ucapan yang tidak berhikmah dipenuhi cacian akibat nafsu amarah ini mampu membakar jiwa pengikut yang disokong kumpulan syaitan dan iblis yang bersedia membantu melaksanakan misi yang berikutnya. Firman Allah yang bermaksud “Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Surah Al Baqarah: 168).
Bagi mengelakkan pertelingkahan berterusan dengan golongan yang dimusuhi ini adalah dicadangkan supaya suatu perbicangan diadakan secara khusus dan bersopan sebagaimana perintah Allah kepada Nabi Allah Musa dalam menasihati Firaun. Kalaupun ‘buruk perangai’ mereka tidaklah sekeji Firaun yang mengaku menjadi tuhan dan jika baik akhlak kita pula tidaklah semulia akhlak Nabi Allah Musa.
Berkata ‘Iyadh B. Ghanm : Wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau tidak (belum) mendengar Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemimpin) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya “ (Riwayat Ahmad)
Pengharamannya didasarkan pada fakta bahawa di dalam demonstrasi ini terdapat sejumlah tindakan yang bertentangan dengan etika Islam disebalik laungan aman dan sopan ini biasanya akan berakhir dengan rusuhan, pergaduhan, perkelahian, penganiayaan bahkan hingga keperingkat pembunuhan jika tidak terkawal.
Dalam hal ini Imam al-Syaukani Rahimahullah (1172 - 1250 H.) yang terkenal sebagai Imamah dalam ilmu Hadis yang pernah memegang jawatan hakim di Yaman, pernah memberi pandangan beliau berkaitan kaedah yang terbaik menyelesaikan masalah rasa tidak puashati ini. Beliau menyatakan “Bagi orang-orang yang ingin menasihati pemimpin dalam beberapa masalah dan kesilapan pemerintah tersebut seharusnya dia tidak mengeluarkan kata-kata kesat di hadapan khalayak ramai. Perlunya seseorang itu mengambil tangan pemimpinnya dan berbicara secara empat mata dengannya, kemudian menasihatinya tanpa menyelewengkan perintah Allah”.
Perbincangan secara baik dan bersopan merupakan kaedah yang dianjurkan Islam. Diriwayatkan dari al-Bukhari daripada Usamah bin Zaid RA yang pernah ditanya: “Mengapa engkau tidak menghadap Usman untuk menasihatinya?” Maka jawab beliau: “Apakah kamu berpendapat semua nasihatku kepadanya itu harus diperdengarkan kepada kamu? Demi Allah! Sesungguhnya aku telah menasihatinya hanya antara aku dan dia. Dan aku tidak ingin menjadi orang pertama yang membuka pintu (fitnah) ini.”
Kalaupun mahu juga diadakan demontrasi biarlah diadakan secara aman dan bersopan. Demonstrasi seperti ini diboleh dan diharuskan kerana ianya dilakukan dengan tertib dan aman, dengan memperhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara’, termasuk berkaitan dengan pendapat atau aspirasi yang disampaikan.
Secara jelasnya demontrasi masiirah ini dilakukan tanpa kekerasan, tidak mengganggu lalu-lintas dan hak-hak umum, tidak membakar, merosak dan menghancurkan barang-barang milik umum, negara atau individu. Oleh yang demikian ianya tidak menjadi kesalahan dan diperbolehkan dalam agama.
Islam memandang demontrasi aman ini sebagai salah satu cara uslub di antara berbagai cara pengungkapan aspirasi atau pendapat dan bukan sebagai metod di dalam melakukan proses perubahan masyarakat. Yang jelas lagi nyata bahawa Rasulullah berdakwah secara aman dan tidak menggunakan kekerasan di dalam menegakkan Islam.
Sirah Rasulullah SAW memperlihatkan bagaimana Baginda tidak pernah menjadikan dan menggunakan demonstrasi aman sebagai thariqah mengubah masyarakat Jahiliyyah di kota Makkah menjadi masyarakat Islam.
Terdapat beberapa catatan sejarah yang memperlihatkan rasa tidak puashati kepada pemerintah yang melibatkan tokoh besar Islam seperti Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hambal namun ianya tidak berakhir dengan demontrasi yang mencabar pemerintah ketika itu.
Diceritakan bagaimana Imam Malik pernah dihukum oleh gabenor Kota Madinah pada tahun 177H/764M kerana telah mengeluarkan fatwa bahawa hukum talak yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Abbasiyah sebagai tidak sah. Kerajaan Abbasiyah ketika itu telah membuat fatwa sendiri bahawa semua penduduk perlu taat kepada pemimpin dan barangsiapa yang enggan akan terjatuh talak ke atas isterinya.
Memandangkan rakyat yang lebih taatkan ulama daripada pemimpin, pemerintah Abbasiyah telah memaksa Imam Malik untuk mengesahkan fatwa mereka. Imam Malik enggan, malah mengeluarkan fatwa menyatakan bahawa talak sedemikian tidak sah dan tidak akan jatuh talaknya.
Imam Malik ditangkap dan dipukul oleh gabenor Madinah sehingga tulang bahunya patah dan terkeluar daripada kedudukan asalnya. Kecederaan teruk ini menyebabkan beliau tidak dapat bersolat dengan memegang kedua tangannya di dada. Lalu tangannya itu dibiarkan sahaja terkulai sewaktu beliau bersolat. Imam Malik kemudiannya dibebaskan dari penjara dan beliau terus kembali mengajar di Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia pada 11 Rabiulawal tahun 179H/796M, ketika berusia 86 tahun.
Ketegasan Imam Malik dalam mempertahankan fatwanya, tidak mengajak beliau menjadi ketua pemberontak atau penganjur tunjuk perasaan bagi menjatuhkan kerajaan di zamannya. Beliau mempunyai ribuan murid yang mampu dikerahkan sebagai para penunjuk perasaan jika hal itu benar-benar perlu dilaksanakan. Namun akibat yang lebih berat akan berlaku dengan kerugian yang besar bakal ditanggung oleh kedua belah pihak.
Begitu juga dengan kes yang melibatkan Imam Ahmad bin Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana sikap kerasnya menentang Mazhab Muktazilah yang diterima pakai oleh pemerintah Abbasiyah ketika itu.
Tindakannya ini mengundang kemarahan pemerintah Abbasiyah (Muktazilah) yang menyebabkan beliau dihukum sebat di dalam bilik kurungannya sehingga tidak sedarkan diri. Beberapa tahun beliau dikurung dan dikenakan tahanan rumah yang menyebabkan anak muridnya yang dahagakan ilmu merasa kerugian untuk mendapatkan ilmunya.
Penindasan yang dialami oleh tokoh ummah ini, tidak membuatkan beliau ‘tergesa-gesa’ menganjurkan tunjuk perasaan terhadap pemerintah Islam bermazhab Muktazilah. Walaupun mereka ternyata berlainan dan berbeza mazhab serta ideologi agama, Imam Ahmad tidak pernah mengisytiharkan agar para pemerintah ini diperangi dan digulingkan oleh umat Islam.
Baginda Rasul bersabda “Dari Wail RA berkata, Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menghalang hak kami dan dia juga memeras kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka, ini kerana mereka akan menerima ganjaran amalan mereka dan kamu akan mendapat ganjaran apa yang kamu kerjakan.” ( Riwayat Muslim)
Adalah lebih baik menyelesaikan masalah dengan menggunakan akal yang bijaksana daripada menyumbang kepada masalah keselamatan yang boleh membawa gejala kehancuran. Letakkan akal sebagai pengemudi tindakan. Saidina Ali Abi Talib pernah menyebut “lebih sedikit orang menggunakan akalnya, lebih banyak pula ia berkata-kata ”.
No comments:
Post a Comment