Thursday, September 22, 2011

MENGHORMATI MENTUA BERMAKNA JANGAN MENDERHAKAINYA


Selesai sahaja majlis akad nikah, setiap pasangan tanpa disedari telah menambahkan ahli baru dalam kehidupan indah mereka iaitu mentua.  Manakala  di pihak mentua pula dengan senyum semanis kurma telah menyambut mesra kehadiran menantu mereka.
 Islam meletakkan status dan kedudukan yang tinggi terhadap kedua ibu bapa termasuk mentua kita . Tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan oleh menantu, terutamanya menantu lelaki. Mengabaikan tanggungjawab terhadap mertua  bagaikan  mengabaikan ibu bapa  kita sendiri. Ajaran agama kita dengan jelas menyatakan bahawa kita tidak akan terbatal wuduk dengan mentua kita. Rasulullah SAW ada ada menyatakan kedudukan mentua melalui sabda Baginda  yang bermaksud “Ibu mentua kedudukannya adalah sebagai ibu “ ( Riwayat At-Tirmidzi dan Ahmad)
Taraf dan penghormatan kita terhadap  mentua sama seperti ibu bapa kita sendiri. Sememangnya  kita ada tanggungjawab yang  perlu dilaksanakan kepada mereka atas sifat sebagai menantunya. Selagi ditanam perasaan asing dalam pemikiran dengan menganggap mentua adalah ibubapa kelas kedua maka selagi itulah ruang terbuka untuk menanam rasa curiga dan irihati sentiasa.
Kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap mentua. Jika tanggungjawab itu diabaikan pastinya isteri kepada seorang suami menjadi tidak selesa bilamana ibu bapanya telah diabaikan suami. Tegasnya, kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama kedudukannya. Tidak  akan rugi apa-apa seandainya kita berbuat baik kepada mereka. Pepatah Arab ada menyebut yang bermaksud " Buatlah baik kepada manusia nescaya kamu dapat mengabdikan hati mereka."
Bagi sesetengah  pasangan, permasalahan hubungan antara menantu dan mentua kerap menjadi punca timbulnya konflik suami dan isteri. Meskipun  di zaman ini sudah banyak pasangan yang tidak tinggal serumah dengan mentua, namun bukan bererti bahawa masalah menantu dan mertua telah berakhir. Ada sesetengah menantu dan mentua terpaksa adakan gencatan senjata  berpunca daripada perang dingin yang berpanjangan.
Mutakhir ini semakin ramai yang salah tanggap mengenai tanggungjawab sebenar seorang menantu terhadap mertuanya. Manifestasi tersebut telah membawa kepada rasa kurang hormat terhadap mertua. Sedangkan agama menuntut agar mereka wajib di hormati sepertimana penghormatan terhadap ibu bapa kita  sendiri. Tambahan pula dikala usia tua mereka yang memerlukan pen jagaan kita . Allah  berfirman didalam Al Quran yang bermaksudDan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Nya dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkahlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil” (Surah  Al-Israa’: 23-24)
Apabila wujudnya rasa kurang rasa hormat dan menurunya nilai tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan perasaan dukacita terpancar dihati mereka. Menantu lelaki terutamanya mempunyai tanggungjawab yang berat terhadap mertua berbeza dengan menantu perempuan. Kalau seorang wanita perlu meletakkan suami sebagai individu yang perlu dihormati dan ditaati selepas Allah dan Rasul, bagi lelaki pula dalam konteks menantu dan mertua, mereka wajib menghormati ibu mentua lalu  diikuti  dengan bapa mentua.
          Perasaan kasih sebagai anak sendiri mesti ditanam kukuh dalam jiwa dan perasaan setiap mentua  terhadap menantunya. Memberi layanan kelas kedua terhadap menantu akan mengheret  dilema kebencian menantu kepada mentuannya secara berterusan. Ditokok tambah  dengan masalah kecil yang dicantumkan untuk mempertahankan rasa permusuhan  tersebut.
          Sekiranya ada apa-apa masalah yang timbul melibatkan menteua dan menantu, terutama dalam tempoh penyesuaian cara hidup baru maka perbincangan secara keluarga perlu dihidupkan. Mentua sebagai  orang lama yang banyak merasai asam garam kehidupan hendaklah bertindak matang sesuai dengan status dan kedudukannya, tanpa menggunapakai kuasa mutlak dalam apa jua tindakan.
          Tidak dinafikan ada kalangan mentua yang cerewet sifat dan perilakunya. Mereka sering mencampuri urusan rumah tangga anak mereka sehingga anak membawa kepada padah bercerai-berai. Namun tidak dinafikan bahawa sikap bergadang dan keras hati bernafsukan kemarahan berpunca daripada salah tanggapan melibatkan rasa tidak puas hati  kedua-dua belah pihak yang terlibat.
Masyarakat sekeliling juga dilihat berperanan mengeruhkan suasana dan  hubungan diantara mentua dan menantu. Mereka melemparkan pelbagai persepsi negatif terhadap kedua-duanya. Ada kalangan tertentu yang memanaskan keadaan dengan bertindak sebagai batu api yang menyembunyikan peranan mereka.  
 Ada ahli masyarakat yang beranggapan bahawa  kalau ingin melihat rumah tangga pasangan yang baru kahwin itu bahagian maka mentua harus diasingkan. Lebih parah keadaanya apabila menantu dilarang mewujudkan hubungan yang baik dengan mentua sebagai petua menjaga keharmonian rumah tangga. Ada yang menyebut bahawa mentua tidak boleh dibawa tinggal bersama  dengan anak menantu. Banyak lagi tanggapan negatif yang disebarkan dan amat menghairankan apabila ianya mudah  dipercayai dan diterima oleh pasangan yang baru berkahwin. Persepsi yang tidak baik ini jika dibiarkan berupaya  membunuh mesra diantara mentua dan menantu.
Setiap keluarga mempunyai budaya kehidupan keluarga yang tersendiri. Begitu halnya antara menantu dan mentua yang tentunya memiliki  cara dan kaedah pengurusan kehidupan keluarga yang berbeza. Contohnya, cara pengurusan kehidupan bandar berbeza dengan cara pengurusan hidup di kampong. Perbezaan yang ketara biasanya melibatkan status keluarga, status pendidikan, pegangan agama, pengalaman peribadi dan gaya interaksi yang menjurus kepada pembentukan karektor, sikap dan gaya pembawaan seseorang individu bilamana berhadapan dengan sesuatu masalah.
            Jangan mudah bersikap negatif dan saling menyalahkan apabila berlakunya  ombakan perasaan tidak puashati dalam keluarga berkaitan. Usah menyalahkan antara satu sama lain lantas bertindak  bermusuhan antara mentua dengan menantu. Sebaik penyelesaian ialah belajarlah sedikit demi sedikit melihat sesuatu permasalahan secara objektif. Mulakan dengan mengubah pola pemikiran kita sendiri. Hal ini berkait rapat kerana pasangan yang mempunyai sikap prejudis di dalam diri.
Melayan sikap yang negatif yang membiak dalam diri kita menyebabkan kita sering menyalahkan orang lain. Dengan mudah kita memustuskan hubungan silaturrahim semata-mata kerana nafsu dan sikap buruk kita sendiri. Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabda Baginda  “ Sesungguhnya rahmat Allah tidak turun pada kaum yang adapadanya orang-orang yang memutuskan silaturrahim.” (Riwayat Ahmad)
          Rasulullah SAW telah menekankan bahawa derhaka kepada orang tua adalah salah satu dosa besar setelah menyekutukan Allah SWT. Sabda Baginda  “Adakah kalian mahu kuberitahu tentang dosa-dosa yang besar?”. Para sahabat menjawab: “Kami mahu, wahai Rasulullah SAW”. Rasulullah SAW bersabda: “menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sementara mentua pula sewajarnya menghormati apa jua keputusan anak dan menantu dengan mengiktiraf kedewasaannya. Mentua seberapa upaya hendakalah cuba memahami kehendak dan keperluan mereka.Tiada salahnya kita mendengar pendapat anak dan menantu kita lebih-lebih lagi zaman kita berbeza dengan zaman yang dilaluinya kini. Selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum dan prinsip agama maka kita sebagai mentua tidak ada sebab dan alasan untuk menolak apa jua cadangan untuk  kebaikan anak menantu kita.

Mentua hendaklah kita berperanan sebagai insan yang boleh membantu mengembirkan kehidupan anak menantu. Sewajarnya kita mengambil berat tentang keadaan anak dan menantu untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap keduanya, lebih-lebih lagi kepada cucu kita yang  dihasilkan oleh zuriat mereka. Berkongsi pengalaman dengan bercerita dan berkongsi idea serta mendapatkan pandangan daripada menantu dalam apa-apa isu keluarga yang bersesuaian adalah pendekatan terbaik merapatkan hubungan diantara mentua dan menantu.
Sewajarnya menantu juga menunjukkan sikap yang baik, mudah mesra dan bertolak ansur dengan mentua.  Sikap tolak ansur ini adalah amalan yang terpuji dalam agama kerana menghapuskan sifat mementingkan diri sendiri. Hari ini kita mengamalkan sikap bertolak ansur  terhadap mentua kita.
Suatu masa nanti bakal menantu kita akan meneruskan sikap dan amalan yang sama terhadap kita. Sekurang-kurangnya kita boleh berkongsi memahami  jiwa dan perasaan orang tua yang sangat sensitif dan mudah tersentuh itu. Yakinlah bahawa kita juga akan mengambil alih tempat mereka dengan alunan perasaan yang sama terhadap menantu yang bakal hadir sebagai penyeri dalam kehidupan kita nanti.

2 comments:

  1. assalamualaikum,

    apakah hukum jika ibu mertua saya menghina saya dan memaki hamun saya kerana saya tegur isteri saya kerana tidak taat (tidak memintak izin keluar rumah & menjawab telefon) kepada saya?

    adakah saya berhak memarahi dia kerana menghalalkan perbuatan derhaka kepada suami?
    adakah saya berhak untuk memarahinya kerana dia telah mengalakkan isteri saya melakukan dosa?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Banyakkan berdoa semoga dipermudahkan segalanya

      Delete