Perkataan ‘Imarah’ disegi bahasa membawa erti memakmurkan atau membangunkan. Maksudnya menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatanyang berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan. Menurut tafsiran para ulama, mengimarahkan masjid membawa dua maksud. Pertamanya membina, memelihara dan memperbaikinya sekiranya perlu dan keduanya membawa maksud mengunjunginya sebagai suatu amalan lazim untuk menunaikan solat berjemaah dan jumaat di samping aktiviti-aktviti lain ke arah melahirkan pengabdian kepada Allah
Sesungguhnya beruntunglah kalangan mereka yang melakukkan amal ibadat di masjid kerana mereka ini begitu hampir dengan Allah. Baginda Rasulullah SAW menyebut “ Sesungguhnya orang-orang yang mengimarahkan masjid adalah orang-orang yang dekat dengan Allah SWT” ( Riwayat) Al-Bazzaar)
Dalam sebuah hadis Kudsi diterangkan bahawa Allah telah menjauhkan azab daripada penduduk sebuah kampung setelah melihat sebahagian daripada penduduknya telah mengimarahkan masjid. Allah berfirman ” Demi keagungan dan kemuliaan-Ku, sesungguhnya Aku ingin menurunkan azab kepada penduduk suatu kampung, lalu apabila Aku melihat orang-orang yang mengimarahkan masjid, orang yang cintai-mencintai kerana-Ku, dan orang-orang yang meminta ampun di waktu malam maka Aku menjauhkan azab daripada mereka”.(Lihat tafsir Ibnu Katsir dalam menafsirkan surah At-Taubah ayat 18)
Berbeza dengan kita hari yang begitu marah dan sensitif kepada musuh Islam kerana meruntuhkan masjid dalam beberapa kejadian dibumi Islam yang ditakluki mereka sedangkan kita tidak pernah merungut secara beremosi kita terhadap orang Islam kerana mengosongkan masjid seni binanya cukup indah dan mempesonakan.
Allah telah berfirman yang bermaksud “Hanya yang berhak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang percaya kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah; mudah-mudahan mereka menjadi orang-orang yang mendapat petunjuk” (Surah At-Taubah , ayat 18 )
Sejarah merekodkan bahawa pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal tahun ke 14 kerasulan Nabi, iaitu tahun pertama hijrah, Baginda Rasul yang tiba di Quba’dan tinggal empat hari di sana sempat mengasaskan Masjid Quba’ dan bersolat didalamnya. Itulah masjid yang pertama sekali diasaskan atas dasar taqwa selepas baginda SAW menjadi Nabi.
Rasulullah SAW pula menyebut mengenai kelebihan bagi mereka yang membangunkan masjid seperti mana sabda Baginda, “Barang siapa yang membangun rumah Allah (masjid) di dunia, maka Allah akan membangunkannya rumah di syurga” (Riwayat Muslim).
Pada hari jumaat, iaitu 12 Rabiul Awwal tahun pertama hijrah, baginda bergerak menuju ke Madinah, menunaikan solat Jumaatnya yang pertama di sebuah kampung bernama kampung Bani Salim bin Auf.
Baginda bersama para sahabatnya telah memasuki Kota Madinah secara rasmi pada 12 Rabiul Awwal tahun pertama hijrah dan antara perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda ialah mendirikan Masjid Nabawi yang bukan hanya berfungsi sebagai tempat solat sahaja bahkan menjadi tempat pertemuan (one stop centre), pusat pengajian ilmu pengetahuan, pusat pentadbiran dan perbincangan, pangkalan tentera dan pusat mengatur segala gerakan.
Rasulullah SAW bersabda “Mana sahaja daripada suatu masyarakat yang berkumpul daripada rumah-rumah Allah (masjid-masjid) , membaca dan belajar kitabullah dan mempelajarinya diantara mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi oleh rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk-makhluk yang berada disisi-Nya ” (Riwayat Ahmad)
Hari ini perkembangan penduduk dan kepesatan pembangunan fizikal yang menyediakan ruang dan kemudahan penggunaan peralatan yang berteknologi tinggi telah mengubah struktur dan pengupayaan manusia. Pembangunan berasaskan dimensi kreatasi benar-benar menguji skil dan daya reka semasa. Penggunaan peralatan teknologi maklumat melalui sistem jaringan internet telah banyak membantu memasarkan eleman daya cipta yang sepatutnya turut dikongsi manfaatnya oleh Institusi masjid dalam memperluaskan skop ilmu dan dakwah. Sebenarnya golongan muda yang berkebolehan dan cukup terlatih ini bersedia menghulur khidmat untuk membangunkan peralatan ini dan bertindak sebagai pengemudinya kalau diminta bantuan mereka.
Rasulullah SAW bersabda ”Sesiapa yang menunjukkan kebaikan kepada orang lain maka ia mendapatkan kebaikan seperti yang didapatkan oleh orang tersebut”. (H.R. Abu Daud dan Ahmad).
Golongan muda perlu dibimbing bagi membolehkan mereka mengasah kemampuan mereka di jalan yang betul. Pendekatan kepada golongan muda perlu dijalankan bagi melahirkan golongan yang berkaliber dan berwibawa. Ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling perlu bekerjasama bagi membimbing dan memimpin golongan muda ini supaya mereka tidak mudah terpedaya dan hanyut bersama nafsu dan gelora dunia semata-mata.
Alangkah ruginya kepada agama dan ummah apabila kemahiran dan kebolehan golongan muda dalam bidang teknologi maklumat dan skill kreativiti sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu mengimarahkan masjid setempat. Daripada Abu Hurairah menyebut bahawa Nabi bersabda “Siapa yang datang ke masjidku ini, iaitu belajar ilmu atau mengajarkannya, maka sesungguhnya kedudukannya sama seperti seorang mujahid (pejuang) di jalan Allah”. (Riwayat Ibnu Majah)
Keasyikan golongan muda yang sebahagian besarnya menjadi pengguna tegar Facebook, melayan kuiz dan menggungguli permainan internet di samping sembang bual yang mana jumlahnya masa ini mencecah lebih 800,000 orang, berupaya merangsang ketagihan yang berterusan sepertiman yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC ketika dahulu. Tambahan lagi, dengan kemudahan akses facebook melalui telefon bimbit, tahap ketagihan itu boleh melepasi garisan melampau dan merosakkan.
Golongan muda ini kalau diberi perhatian khusus boleh menjadi rakan mesra kepada golongan tua. Kebarangkalian untuk menurun pengalaman lampau boleh membiakkan percambahan minda kepada kumpulan anak-anak muda ini. Suatu pengalaman yang tidak mampu dibeli dan dipelajari sewaktu berada dialam persekolahan dan pusat pengajian tinggi dulu. Pergaulan yang berupaya mengeratkan hubungan diantara kedua-dua golongan yang berperanan besar sebagai agen perubah dalam masyarakat hari ini. Manakala masjid adalah dilihat berperanan mempertemukan mereka dalam satu matlamat dan citarasa yang sama. Di sinilah terpahatnya perasaan hormat-menghormati dan kasih-mengasihi.
Sejarah merakamkan peristiwa bagaimana Rasulullah SAW begitu mengasihi golongan muda. Pada suatu hari Baginda menghadiri satu majlis yang turut dihadiri pembesar–pembesar. Dalam majlis tersebut Baginda Nabi telah menzahirkan penghargaan kepada golongan muda yang berada dalam majlis tersebut. Diriwayatkan dari Sahl bin Sa’ad bahawa Rasulullah SAW telah mendapat hidangan segelas minuman dan beliau meminumnya. Di sebelah kanan Baginda ada anak muda yang turut hadir dalam majlis tersebut manakala disebelah kiri Baginda berada orang tua. Baginda begitu menghormati anak muda tersebut seraya menyapanya “Hai anak, apakah kamu mengizinkanku memberi minuman ini kepada orang tua itu ? Anak muda itu menjawab: Wahai Rasulullah SAW, saya tidak akan mendahulukan seorang pun disebabkan keutamaan saya (berada) di sebelah engkau. Maka Baginda memberikan minuman kepada anak muda itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Golongan remaja dan belia ini sebenarnya mempunyai peranan yang relevan dalam mengimarahkan institusi masjid disamping membantu membangunkan masyarakat setempat. Mereka yang terpelajar boleh melaksanakan program pembimbing rakan sebaya (PRS) dan rakan komunikasi mesra belia. Kalangan mereka juga mesti mempunyai sifat ithar ( member keutamaan kepada saudara seagama lebih dari diri sendiri ketika diperlukan). Apa sahaja sumbangan yang diberikan mestilah diniatkan kerana Allah demi kepentingan agama.
Sasaran keutamaan pencapaian kita akan gagal kalau sekadar bercakap dari hal kecantikan dan hiasan masjid semata-mata atau menceritakan kehebatan masjid berdasarkan sejarah keagungan Islam yang lalu, tanpa sebarang implimentasi kearah menjayakan usaha mengimarahkan masjid.
Usaha yang berterusan mestilah dibuat untuk tujuan memperkasakan masjid dan menjadikannya sebagai institusi pendidikan dan sosial yang kental dan membangunkan masyarakat yang bersahsiah dan berketrampilan mulia. Alangkah bertuahnya muslim di negara ini seandainya ada pihak-pihak yang bersetuju melaksanakan Pertandingan Imarah Masjid (PERMAI) Peringkat Negeri dan Kebangsaan sebagai acara tahunan bagi membantu menjayakan misi umat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Pemberi tunjuk kepada kebaikan sama dengan yang mengerjakannya” ( Riwayat Ar-Tirmizi)
No comments:
Post a Comment