Thursday, September 22, 2011

MEMELIHARA KEAMANAN ADALAH SESUATU YANG DITUNTUT




            Memelihara keamanan adalah sesuatu yang dituntut dalam kehidupan manusia tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama yang dianuti mereka. Betapa malangnya masyarakat yang mendiami negara-negara yang dilanda kekacuan, persengketaan dan perpecahan. Hanya mereka yang pernah mengalami dan merasainya tahu betapa erti azab dan seksanya bahana tersebut.  Lebih malang lagi apabila ianya dicetuskan oleh golongan dalaman yang diresapi anarkis luar yang sentiasa  dalam keadaan tidak  berpuas hati.
            Dalam sejarah merekodkan bahawa perasaan tidak puas hati yang bermula dengan kecaman kepada pemerintah  selalunya berakhir dengan pertelingkahan yang meruncing sehingga membawa kepada  pertumpahan darah dan pembunuhan.
            Lihatlah suasana yang berlaku semasa pemerintah Khalifah Uthman bin ‘Affan RA sehingga akhirnya beliau dibunuh kesan fitnah pemberontak politik yang menggunakan isu agama. Akibat pembunuhan tersebut akhirnya terbentuk puak Syiah dan diikuti dengan kemunculan puak Khawarij yang mengkafir sesiapa yang melakukan dosa khusus.
Khawarij mengangkat slogan, “Tidak ada hukum melainkan hukum Allah.” Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran tetapi dengan tujuan yang buruk. Saidina Ali bin Abi Talib pernah menyatakan kepada kumpulan ini  dengan katanya  “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil.”
Golongan seperti ini amat membahayakan ummah kerana pegangannya berdasarkan pentafsiran yang diikuti dengan sokongan dan dokongan daripada penyokongnya. Lebih bahaya kepada ummah apabila saranan agama dipandang  rendah dan kata-kata pemimpin kumpulan ini diutamakan.


              Bahayanya kumpulan ini kepada umat dapat dilihat melalui rakaman peristiwa pembunuhan berdarah yang melibatkan dua orang Khalifah Khalifah Amirul Mukminin iaitu Saidina Uthman Affan pada tahun 656,   iaitu kemuncak rasa tidak puas hati golongan pemberontak. Manakala Saidina Ali Abi Talib  dibunuh pada tahun 661 oleh Ibn Muljam dari golongan Khawarij setelah menjadi khalifah selama 4 tahun 9 bulan.
            Ibnu Muljam sendiri dianggap oleh puak Khawarij sebagai mujahid yang syahid di jalan Allah dan melakukan perbuatan itu sebagai taqarrub kepada Allah dan akan dimasukkan kedalam syurga. Mereka juga menggangap Ibnu Muljam sebenarnya tidak membunuh Saidina Ali sebaliknya membunuh syaitan yang menyerupai beliau.
            Di Lebanon juga lahir puak  pelampau yang dinamakan Ahbash. Pengasasnya seorang habsyi yang bernama Abdullah al-Harari. Beliau dikenali juga dengan al-Fattan, maksudnya penyebar fitnah. Beliau mendakwa berpegang kepada akidah asy‘ari, bermazhab syafi’i serta bertarikat. Beliau telah membentuk satu jamaah yang begitu ekstrim sehingga mengkafir dan menghalalkan darah sesiapa yang tidak sama dengan kefahaman-kefahaman yang kumpulan mereka anjurkan. 
             Sebenarnya bahaya kumpulan pelampau dalam agama ini pernah diperingatkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW telah bersabda“  Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap melampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama”     (Riwayat Ahmad)
            Seandainya ada golongan yang ingin memusnahkan keamanan yang sedia dipertahankan sekian lama  tentukan sekali ianya menjadi musuh yang tidak boleh dipertahankan perbuatannya. Tindakan golongan  pengkhianat seperti ini merupakan tindakan yang tidak adil, zalim dan boleh merugikan umat kerana cara ini sebenarnya boleh mencampakkan manusia itu kearah kebinasaan. Tindakan seperti ini juga memberi implikasi emosi yang membawa keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat.

         Allah berfirman yang bermaksud  dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya  (Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Strategi demi strategi dilaksanakan  musuh  Islam demi membunuh roh dan semangat persaudaraan sehingga mengakibatkan umat Islam akhirnya  terpedaya. Nikmat keamanan yang dicita dan diusahakan boleh lebur begitu sahaja. Manakala suasana harmoni boleh berubah menjadi kacau-bilau apabila propaganda  halus  Berjaya  meresap masuk kedalam  jiwa mereka sehingga berupaya menukar watak seorang muslim sejati.
Allah amat membenci manusia yang apabila berbalah dia melampaui batas.  . Firman Allah yang bermaksud  Dan di antara manusia ada mengkagumkan engkau tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, dan dia bersaksikan Allah (bersumpah dengan mengatakan bahawa Allah), padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu Muhammad).” (Surah al-Baqarah: 204)
Golongan yang keras kepala dan angkuh teramat sukar menyokong perdamaian. Mereka ini akan menolak apa yang baik dan benar kerana sikap keras kepala yang tiada hadnya itu. Rasulullah SAW bersabda “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Golongan ini hanya semata ingin menegakkan hujah yang dia sendiri tahu telah tersasar dari kebenaran. Sifat mazmumah yang membelenggu diri seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur, riak dan bongkak disuntik sebagai ubat pelali. Akhirnya  menyebabkan sebahagian umat menjadi khayal dan terpedaya sehingga mengetepikan  perkara yang lebih utama dalam agama iaitu menghidupkan amalan silaturrahim yang menjadi tunjang kekuatan ummah. Rasulullah SAW  bersabda  "Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Riwayat Muslim)
Mereka lebih rela bermusuh disebabkan rasa tidak puas hati dan denga irihati yang berterusan. Sebenarnya penyakit inilah yang menjadi punca  sebenar sehingga membawa terputusnya semangat persaudaraan. Rasulullah SAW bersabda  "Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti api memakan kayu atau memakan rumput." (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam hadis yang lain Baginda Rasul menyebutkan akan ciri-ciri manusia munafik itu ada empat, salah satunya: “Apabila dia berbalah, dia jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
            Maksudnya untuk menang dalam perbalahan, seorang munafik ini sanggup melakukan tindakan apa sahaja, termasuk menyelewengkan fakta, menipu dan mengelirukan orang ramai dengan menghalalkan cara untuk mencari kemenangan yang tidak diredai, termasuk melakukan huru-hara dan protes jalanan. Persembahan protes yang buruk seperti ini boleh memberi kesan buruk yang merugikan semua pihak. Seorang ulama besar dalam Mazhab al-Shafie, Abi Ishak al-Juwayni pernah berkata bahawa “ Haram melakukan segala perhimpunan yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada manusia dan negara”.
Biasanya manusia akan termakan dan terpengaruh dengan hujah melalui kepetahan seseorang yang bijak dan cekap menggunakan komunikasi lisan. Manusia seperti ini hebat dalam berkata-kata. Biasanya ia berkait dengan aspek penghakiman. Pengaruh hujahan seperti ini memberi kesan yang sangat besar. Berkaitan perkara tersebut, Baginda Rasulullah SAW ada  bersabda  Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 
Perdamaian adalah jalan yang disyorkan oleh agama seandainya ada pertelingkahan yang perlu diselesaikan. Manakala tunjuk perasaan  yang diadakan akan mengapikan pertelingkahan tersebut yang dibimbingi berakhir  dengan peperangan dan pembunuhan melalui tiupan ucapan yang penuh emosi diluar kawalan.
          Firman Allah yang bermaksud “Jika dua puak dari kalangan yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangiah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah. Jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat: 9-10)
Islam amat menjaga keamanan jiwa manusia sehingga ketempat yang paling aman sekalipun seperti di masjid dan pasar. Rasulullah SAW bersabda “Apabila salah seorang dari kalian lalu di masjid kami atau di pasar kami dangan membawa tombak, maka hendaknya dia memegang hujungnya atau beliau menggenggam dengan tangannya agar tidak ada suaatupun dari senjata-senjata tersebut yang menimpa salah seorang dari kaum muslimin." (Riwayat Al-Bukhari)
Tindakan untuk menakut-nakutkan  seorang muslim yang lain dilarang dilarang oleh agama. Rasululullah SAW telah bersabda "Tidak halal bagi seorang muslim membuat takut muslim yang lain." (Riwayat Ahmad)
Seterusnya Baginda bersabda "Barang siapa yang mengangkat senjata terhadap kami, maka ia bukan dari golongan kami." (Riwayat Al-Bukhari)
Adalah jelas bahawa menggunakan kekerasan, ugutan dan demontrasi bukanlah cara penyelesaian yang dicadangkan agama kerana melebarkan lagi jurang perpecahan dan pertelingkahan umat. Cara penyelesaiannya yang terbaik ialah kembali  kepada mereka yang dipertanggungjawab dalam suasana saling menasihati  disamping menjelaskan kewajipan yang sepatutnya mereka laksanakan dengan niat dan tujuan untuk kebaikan bersama.

No comments:

Post a Comment