Berdasarkan ayat di atas, Allah telah meminta generasi anak-anak agar sentiasa berbuat baik kepada kedua orang tua mereka secara limpahan kasih sayang yang tiada had masanya. Namun berlainan pula dengan apa yang berlaku pada hari ini. Mereka, yakni golongan anak-anak secara tidak sedar telah menghancurluluhkan hati kedua-dua orang tua mereka sehingga dianggap telah menderhakai mereka. Apakah sebenarnya perbuatan yang dianggap sebagai derhaka menurut pandangan Islam ?
Ibnu Hajar al Haitami (909 – 974 H) Tokoh terkemuka ilmu Fikh ini menjelaskan bahawa “ kalau seseorang melakukan perbuatan yang kurang adab dalam pandangan umum, yang menyinggung orang tuanya, maka ia telah melakukan dosa besar, meskipun bila dilakukan terhadap selain orang tua, tidaklah dianggap sebagai dosa. Seperti memberikan sesuatu dengan dilempar, atau saat orang tuanya menemuinya di tengah orang ramai, ia tidak segera menyambutnya dan berbagai tindakan lain yang di kalangan orang berakal dianggap ‘kurang ajar’ sehingga menyinggung perasaan orang tua”
Dalam konteks semasa, menyerahkan orang tua kepada pihak kedua tanpa izinnya boleh dianggap sebagai kurang ajar kalau mengambil kira pandangan Ibu Hajar Al Haitami. Apatah lagi dengan menjadikan RSK sebagai tempat penyelesaian masalah keluarga yang dihadapi oleh anak yang berdepan dengan orang tuannya secara muktamad. Meletakkan orang tua di RSK dianggap sebagai jalan melepaskan bebanan diri paling tidak bermaruah kecuali atas keinginan dan desakan ibu atau bapa atas faktor yang diizinkan syarak.
Namun kalau disebabkan oleh factor paksaan dari anak untuk meletakkan ibu atau bapanya di RSK telah menggugurkan nilai dan harga seorang anak di sisi agama dan masyarakat. Sekali gus memberi makna bahawa pengorbanan dan kasih sayang ibubapa tiada ertinya dan akan terpadam dengan mudahnya atas desakan dan pengaruh suasana.
Segala kebaikan yang dilakukan oleh ibubapa dinafikan Segala kesukaran dan kepayahan ibubapa melahir dan membesarkan anak tidak bernilai langsung, apatah lagi untuk dihargai dengan sepatutnya.
Allah berfirman yang bermaksud “Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” (Surah Al-Ahqaf, 15)
Menyerahkan orang tua kita kepada pihak lain untuk dijaga bermakna memancung kasih sayang yang ditatang penuh sejak anak dilahirkan hingga dewasa dan layak bergelar “ manusia”. Dalam suasana membalas jasa dan berbudi kepada orang tua, sepatutnya mereka bertindak menggunakan akal dan iman. Jangan mengambil keputusan singkat yang berisiko besar di akhirat kelak.
Ibnu Abbas, seorang sahabat yang terkenal dan berpengetahuan luas dalam ilmu Quran pernah berkata “ Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, menyempitkan rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
Betapa malunya pabila ada diantara anak tidak lagi menghormati kedua ibu bapanya mereka yang bertanggungjawab menjaga zuriat kurniaan Allah dengan penuh kasih sayang. Barangkali selepas anak mempunyai zuriat mereka sendiri barulah diketahui dan disedari akan ertian kasih sayang sejati dari ibu bapa kepada anak mereka. Baginda Rasul telah bersabda yang bermaksud “Berbuat baiklah kepada bapa-bapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu.” (Riwayat At-Thabrani)
Justeru, hormati dan sayangilah mereka sebelum terlambat. Seandainya mereka tiada lagi di dunia menyesalnya tiada guna. Kesedihannya tiada bermakna walau digugurkan air mata darah tanpa putus-putus sekalipun. Sedang memori kasih sayang kedua mereka akan menjelma setiap kali perasaan kesal datang dan tidak berpenghujung itu. Ingatlah firman Allah “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” ( Surah Al-Israa : 24)
Yakin dan percayalah bahawa berbakti kepada kedua orang tua tidak akan rugi. Keuntungannya boleh dinikmati dunia dan melebarnya sehingga akhirat. Rasulullah SAW begitu kasihan kepada mereka yang tidak sempat berbakti kepada kedua orang tuanya walapun ruang dan peluang untuknya begitu terbuka. Sabda Rasululullah SAW bahawa “Sungguh kasihan, sungguh kasihan, sungguh kasihan.” Salah seorang Sahabat bertanya, “Siapa yang kasihan, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Orang yang sempat berjumpa dengan orang tuanya, kedua-duanya, atau salah seorang di antara keduanya, saat umur mereka telah tua, namun tidak mampu untuk (melayakkan) nya memasuki Syurga.” (Riwayat Muslim)
Diceritakan bahawa ada seorang anak muda menemui Nabi dan mengadu kepada Baginda Rasul akan ketidakpuasan hatinya kerana ayahnya bertindak merampas hartanya. Beritahu anak tersebut kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah! Ayahku telah merampas hartaku.” Rasulullah bersabda, “Engkau dan juga hartamu, kesemuanya adalah milik ayahmu.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Persoalan panjang umur dan pintu rezeki dikatakan amat erat pertaliannya dengan kebaktian anak terhadap ibubapa mereka. Malah dikatakan juga bahawa keduanya berkaitan dan saling memerlukan. Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi yang bermaksud “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda Rasul juga bersabda “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Usah melihat isu pintu rezeki dan ketaatan dan kebaktian kepada orang tua sebagai sesuatu yang tidak berkaitan. Barangkali mereka yang pernah mengalaminya akan memberi jawapan yang tepat dalam menjawab isu ini manakala golongan yang belum berasa akan kesengsaraan hidup akibat derhaka kepada ibubapa hendaklah mengambilnya sebagai iktibar. Peribahasa Arab ada menyebut “ jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan ”
No comments:
Post a Comment