Thursday, September 22, 2011

SELAMI PENDERITAAN DAN KESUSAHAN MINORITI ISLAM SEMPENA RAMADAN



            Betapa beruntungnya orang yang berpuasa  kerana  dapat memahami dan merasai penderitaan orang lain. Hanya seharian berlapar dengan kehausan yang meresahkan selama sebulan telah mendamba pengalaman bagaimana beratnya  penderitaan yang ditanggung orang lain.  Sesungguhnya puasa merupakan program realiti  yang benar-benar menzahirkan rasa simpati  kepada  saudara kita yang hidup dalam  tekanan kemiskinan dan keperitan hidup.
              
               Memahami dan menyelami kehidupan saudara  kita yang menjalani kehidupan yang sukar dan susah diberi perhatian yang serius oleh agama. Jelasnya,  Islam  amat mementingkan hubungan persaudaraan dengan maksud supaya kita tidak mengambil mudah perkara terrsebut. Firman Allah  bermaksud “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara” ( Surah Al-Hujurat, Ayat 10)

                Bersaudara ertinya saling mengambil berat, lindung-melindungi dan saling membantu sama lain, termasuklah mendoakan mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Doa seorang saudara terhadap saudaranya di luar pengetahuan (saudara tersebut) adalah doa yang diperkenankan. Di sisinya seorang malaikat yang diwakilkan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat yang diwakilkan itu akan berkata " Amin dan bagimu juga seperti itu ”( Riwayat Muslim dari Abu Darda)
              
             Manusia sebenarnya tidak boleh hidup bersendirian. Mereka adalah makhluk yang ‘Mujtamak’  iaitu kelompok manusia yang terdiri daripada afrad  yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kedudukan dan keturunan. Allah berfirman yang bermaksud  Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan.”( Surah al-Hujuraat , Ayat 13)
Mereka  akan saling berhubungan dan mengambil tahu kehidupan kelompok yang lain. Tanpa kerjasama  yang wujud manusia tidak akan dapat mencipta budaya dan tamadun yang akhirnya menyumbang kepada corak dan amalan budaya serta aliran  kecenderungan hidup mereka.

Ibnu Qayyim RA atau nama lengkapnya Abu Abdullah Syamsuddin Muhammad Abu Bakr bin Ayyub bin Sad bin Huraiz bin Makk Zainuddin az-Zuri ad-Dimasyq (691-751 H)  seorang pakar Ilmu Tafsir telah menyatakan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain, Allah akan berbuat baik kepada dirinya dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya.
Cuba kita menjenguk keluar jendela dan menyaksikan sendiri apa yang berlaku keatas saudara kita yang menjadi  penduduk  minoriti di negara yang dihuni mereka. Ertinya, kita harus menginsafi akan kehadiran saudara seagama kita walaupun dibatasi jarak sempadan dan budaya kehidupan yang membezakan kehidupan kita dengan mereka.
Di Myanmar misalnya, masalah paling berat yang sedang dihadapi oleh muslim ialah mereka tidak berupaya untuk berkomunikasi dengan dunia luar untuk memberitahu apa yang sedang terjadi ke atas diri mereka. Betapa terabai dan tersisihnya mereka dalam padang kehidupan yang dipenuhi kemiskinan dan kesukaran.
Dasar isolusi yang diamalkan negara tersebut  menghalang seseorang dari memasuki negara itu dengan jalan darat, dan walaupun seseorang boleh memasukinya dengan jalan udara, namun banyak kawasan yang ditutup kepada orang asing. Adalah sesuatu yang sukar untuk mengetahui perkara-perkara yang dikenakan ke atas umat Islam Myanmar.
Dipercayai lebih 200,000 orang penduduk muslim Myanmar yang telah  melarikan diri ke Bangladesh. Mereka  berdepan dengan sebuah drama kehidupan yang cukup perit dan penuh penderitaan. Bangladesh merupakan sebuah negara Islam yang miskin dan ia tidak berupaya memberikan makanan dan tempat perlindungan kepada pelarian dari Myanmar walaupun ia membenarkan kemasukan mereka. jumlah populasi yang besar dalam negara mereka sendiri tidak memungkinkan mereka memberi sumbangan kepada pendatang dari luar. Apakah wajar kita melihat dengan sebelah pandangan dan rela membiarkan saudara kita kekal dengan tekanan hidup yang dialami.
Kita yang berada di negara yang aman sejahtera dengan limpahan nikmat dari Allah  ini tidak   memadai sekadar menjadi penonton yang meluahkan rasa simpati semata-mata.
Umat Islam mesti menghayati  ertian tangisan dan jeritan saudara seagama n un jauh di sana. Ingatilah apa yang dipesan oleh Baginda Rasulullah SAW melalui hadis yang bermaksud  “ Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredai Allah” (Riwayat at-Tabarani)
Muslim Kampuchea juga menanggung kehidupan yang sangat perit dan menyeksakan. Purata perolehan pendapatan hanya kira-kira satu dollar sehari untuk sebuah keluarga muslim. Wang yang diperolehi sebanyak itu tidak berupaya  menampung keperluan makan minum keluarga yang amat sukar kehidupannya itu. Jauh sekali untuk mendapat punca bekalan tambahan bagi perbelanjaan urusan keagamaan dan pendidikan. Kehidupan keagamaan yang dikawal ketat oleh pemerintah memungkinkan masa depan yang gelap kalau tidak dibantu.
Ketika ini terdapat hanya kira-kira 20 buah surau usang yang masih ada di Kemboja. Manakala Ibadah secara berjemaah diharamkan. Quran begitu sukar diperolehi apatah lagi untuk mendapatkan guru yang boleh mengajarkannya kepada generasi baru. Kalau adapun dilakukkan secara sembunyi-sembunyi. Perkembangan yang muram dan kelam di Kampuchea ini menggambarkan betapa muslim di sana  memerlukan  bantuan dan sokongan kita.

Langkah Kementerian Pertahanan dan Yayasan Restu  memperkenalkan  Wakaf AlQuran adan bertepatan masanya dan sedikit sebanyak dapat megurangkan masalah yang dihadapi berkaitan dengan aspek keagamaan. Allah SWT berfirman yang bermaksud “ Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian  (yang sempurna) sebelum kamu nafkahkan sebahagian dari apa yang kamu cintai.  Dan apa saja yang kamu nafkahkan , sesungguhnya Allah mengetahuinya. ( Surah Ali Imran, Ayat  3)
Di Kampuchea, tulang-tulang dan tengkorak manusia yang menjadi artifek perang kini menjadi saksi penting kepada muslim yang menjadi mangsa kekejaman  perang yang pernah menggila itu. Kesannya dapat dirasai hingga kehari ini.
Saban hari kita dipaparkan dengan kisah penderitaan masyarakat, ada di kalangan mereka yang terlantar sakit sejak sekian lama, hidup berterusan sebagai fakir miskin dan pelbagai penyakit akibat dari kekurangan zat.
Mereka hanya merasai nasi berlakukan daging hanya setahun sekali, iaitu sewaktu menyambut Hari Raya Korban manakala kebajikan mereka terus terabai hinggakan langsung tidak dipedulikan sesiapa. Mereka sebenarnya menjadi bahan tontonan masyarakat dunia kalau saudara muslim sendiri tidak tergerak hati untuk membantunya.
Diwajah penduduk muslim Kampuchea, terutamanya anak-anak kecil mempamerkan harapan ada pihak yang sudi membantu mereka. Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui hadis yang  bermaksud“ Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain ”(Riwayat al-Qudhai)
Isu pertelingkahan dan peperangan kumpulan pemisah Hari­mau Tamil turut menyumbang kepada kesusahan dan keperitan hidup minoriti muslim di ba­hagian Utara dan Timur Sri Lanka.  Mereka mengharapkan  keamanan yang berterusan dan dibenarkan hidup dengan amalan keagamaan yang sudah diamalkan sejak  sekian lama.


Bayangkan sepanjang perang, kumpulan yang terbabit yang lebih berorientasikan agama dan berselindung disebalik perkauman itu telah mengumpulkan al-Quran dan buku-buku agama, termasuk kitab-kitab lama  lalu membakar kesemuanya di hadapan sebuah masjid.
Masjid-masjid utama yang menjadi tumpuan telah dibakar hangus dengan lebih dari 90 peratus bangunan milik umat Islam telah dimusnahkan. Pusat aktiviti ekonomi umat Islam di Mawanella telah musnah begitu teruk dan masyarakat Islam semakin terbiar dan tidak dipedulikan.
Sempena kehadiran Ramadan yang mulia ini diharapkan semangat ukhwah dikalangan saudara seagama tanpa mengira sempadan negara dapat dipertingkatkan. Setiap individu muslim boleh melakukkan amal salih melalui apa yang diusaha dan dijayakannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah menghendaki kebaikan ke atas seseorang, maka mengerjakannya orang itu. Sahabat bertanya: Bagaimana Allah mempekerjakannya? Nabi SAW menjawab: Iaitu Dia memberinya taufik untuk melakukan amal salih,  kemudian mewafatkannya dalam keadaan beramal salih itu." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

No comments:

Post a Comment