Hari Kebangsaan yang ke 54 kali ini berada dipenghujung Ramadan yang dimuliakan dan diambang Syawal, bulan kemenangan yang menceriakan. Hari yang menjelmakan suasana bermakna dan penuh pengertian untuk rakyat dan negara secara keseluruhannya.
Istilah "Merdeka" dikatakan berasal daripada bahasa Sanskrit Maharddhika yang membawa makna "kekayaan, keagungan dan kekuasaan" Dalam konteks kontemporari Istilah ini digunapakai di negara ini untuk melambangkan kedaulatan sesebuah negara.
Dalam Islam kemerdekaan yang sebenarnya terkandung dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir sewaktu bertemu Panglima Tentera Rom bernama Rustam. Pada pertemuan tersebut Rub’ie menjelaskan kepada Rustam bahawa “ Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.
Pengertian kemerdekaan secara harfiah adalah kebebasan, sedangkan peringatan hari kemerdekaan suatu negara diertikan sebagai memperingati hari dimana sesebuah negara itu bebas dari penjajahan asing. Memberi makna bebas mentadbir urus negara tanpa melibatkan campur tanganpihak lain yang berkepentingan.
Kemerdekaan yang kita kecapi kini menjadi mercu tanda keupayaan kita mempertahankan negara dari dijajah semula. Dalam masa yang sama kita berterusan mengingati para pejuang kemerdekaan yang gigih memerdekakan negara
Memperingati hari kemerdekaan yang ke 54 memberi pancaran imej yang tersendiri betapa usia lima puluh empat tahun bagi ukuran manusia tentu menjangkau dari garisan kematangan. Usia yang memperlihatkan seorang manusia yang arif dan cukup berpengalaman dalam mengendalikan urusan hidup dan sewajarnya dia dihormati.
Begitu juga negara kita dan pemimpinnya yang cekap mengurus tadbir negara hingga dihormati dimata dunia. Kata orang tua-tua, cabaran mempertahankan kemerdekaan itu adalah sesuatu yang lebih sukar berbanding sewaktu menuntut kemerdekaan dulu kerana tersilap langkah kita akan dijajah semula.
Sebagai rakyat Malaysia sewajarnya kita berdoa dan sentiasa bersyukur dengan nikmat keamanan dan suasan harmoni yang kita kecapi selama ini. Suatu yang sukar ditandingi di dunia ini. Jika kita lihat di negara-negara yang bergolak yang dicemari dengan kekacauan dan menjadi hancur akibat peperangan walaupun sudah merdeka. Kita inginkan sebuah negara yang makmur untuk membolehkan kita hidup bahagia di dunia dan memudahkan untuk kita beramal ibadat sebagai bekalan hidup di akhirat.
Allah berfirman yang bermaksud “ Dan dinatara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata : Wahai Tuhan kami, berilah kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka” ( Surah Al-Baqarah, ayat 201)
Lafaz kesyukuran kepada Allah biarlah berterusan atas segala limpahan kurniaannya. Bahkan kita menyakini bahawa nikmat kemerdekaan yang diterima akan ditambah dengan pelbagai rezeki daripada Nya daripada kesyukuran kita atas segala yang Allah kurniakan kepada kita.
Ingatlah akan firman Allah yang bermaksud “Jika kamu bersyukur Aku akan memberi tambahan kepadamu; tetapi jika kamu tidak bersyukur sungguh adzab-Ku dasyat sekali” ( Surah Ibrahim, ayat 7)Adakah kita tidak menghargai nikmat keamanan yang kita kecapi sekarang dimana setiap orang bebas untuk melakukan aktiviti yang tidak menyalahi undang-undang, setiap kaum dan agama bebas untuk melakukan aktiviti keagamaan mereka tanpa adanya halangan dan sekatan. Betapa bermaknanya nikmat yang Allah berikan pada kita.
Allah telah berfirman yang bermaksud "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (An-Nahl: 18)
Kadangkala manusia sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang dikecapi hari ini. Mereka berusaha mengubahnya untuk mencari sesuatu yang baru yang dibayangkan lebih daripada apa yang diperolehi hari ini. Sifat tidakpuas hati ini sememangnya tumbuh dan membesar dalam diri manusia yang sentiasa bernafsu itu dan kita sewajarnya melawan nafsu buruk yang tidak pernah padam itu.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Usah jadikan negara ini hak golongan tertentu, sebaliknya Malaysia hendaklah menjadi milik bersama semua kaum yang akan menjaga dan mempertahankannya. Kita bina negara atas pelantar semangat persaudaraan yang kukuh dan mempertahankannya secara bersungguh-sungguh.
Perlembagaan Madinah pada fasa 44 menyebutkan “ Bahawa hendaklah (Muslim dan bukan Muslim) bantu membantu mempertahankan Kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohnya”
Berteraskan konsep permaufakatan sebagai sesuatu yang dinamik berupaya mengaplikasikan matlamat kemaslahan ummah. Konsep permaufakatan ini merujuk kepada konsep saling lengkap melengkapi atau simbiosis sesama insan dalam suasana yang harmoni.
Sekiranya dibuka lipatan sejarah permulaan Islam, diyakini bahawa konsep pembentukan satu ummah yang ditunjukkan oleh masyarakat Madinah sewajarnya dihayati dan diperhalusi. Matlamatnya amat jelas dalam membentuk kerangka perpaduan kukuh. Bukankah Rasulullah SAW telah mengasaskan kesatuan masyarakat yang padu membentuk penyatuan sosial melalui ummatan wahidah. Semuanya wajar dicontohi demi mengukuhkan ikatan yang sekian lama dibina sejak sebelum merdeka lagi.
Semangat kesatuan yang dilihat kian longgar boleh dipertingkatkan dalam sambutan hari Kebangsaan pada kali ini. Roh dan semangatnya hendaklah diterap dalam roh setiap penduduk dalam negara ini secara bersungguh-sungguh. Semangat dan tujuan Piagam Madinah boleh dijadikan rujukan dalam usaha kearah matlamat yang tersebut.
Apa yang jelas Sahifah Madinah dirangka bertujuan untuk menghadapi masyarakat majmuk Madinah. Piagam ini membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk dengan menyatukan mereka dengan mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan. Keamanan diharap melingkari masyarakat Madinah melalui pemulihan suasana kehidupan yang berteraskan persefahaman antara muslim dan bukan muslim.
Pada masa Khalifah Umar bin Khattab, beberapa orang Muslim merampas tanah yang dimiliki oleh seorang Yahudi dan mendirikan masjid di atas tanah tersebut. Ini jelas melanggar hak Yahudi tersebut sebagai ahlu dzimmah. Saidina Umar kemudian memerintahkan agar masjid tersebut dirobohkan dan tanah tersebut dikembalikan kepada Yahudi tersebut.
Dalam kes lain, pada masa pemerintahan Ali, seorang Yahudi mencuri baju zirah milik Ali (Khalifah). Ali kemudian melaporkan hal berkenaan kepada Kadi dan membawa anaknya sebagai saksi. Hakim menolak hujah Khalifah dengan menyatakan bahawa seorang anak tidak dapat dijadikan saksi dalam perkara yang melibatkan bapanya pada sidang pengadilan. Setelah menyaksikan keadilan tersebut, Yahudi kemudian mengaku bahawa dia memang mencuri baju tersebut dan kemudian memeluk Islam.
Sebagai rakyat Malaysia yang sudahpun merdeka dan mempunyai perlembagaan yang perlu dipatuhi semestinya kita mempertahankannya. Masyarakat majmuk yang menggabungkan pelbagai peringkat usia dan golongan masyarakat di negara ini sewajar meneruskan kehidupan secara harmoni dengan semangat muhibbah dan kerjasama yang sekian lama dibina.
Gabungan semua peringkat dan golongan dalam mempertahankan negara adalah suatu amalan yang dimuliakan. Kalau tidak kita siapa lagi yang akan diharapkan untuk membela dan mempertahankan negara dari dicerobohi dari dalam dan luar negara.
Allah berfirman yang bermaksud "Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 54 yang menjadi aras penanda kejayaan kita melepasi ujian kesabaran dibulan puasa dan bergerak menuju kemenangan di awal Syawal yang mulia.
No comments:
Post a Comment