Thursday, September 22, 2011

PENGADU DOMBA PEMUSNAH KEHIDUPAN HARMONI




Ada istilah yang biasa diguna pakai oleh sebahagian daripada masyarakat kita bila menyebut adu domba ini sebagai ‘spekulasi dan gossip ” walaupun mungkin  sifatnya jelas untuk melaga-lagakan pihak lain.
 Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Inginkan kalian aku beritahukan apa itu al-’adhu? Dia adalah adalah adu domba, menyebarluaskan isu di tengah masyarakat.” (Riwayat. Muslim )
Adu domba bermaksud melaga-lagakan seseorang atau kumpulan dengan seseorang atau kumpulan yang lain. Istilah Arab menyebutnya sebagai an-namimah yang berasal dari perkataan an-namma bererti mengeluarkan berita dengan tujuan menghasut.  
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “Apakah kamu tahu siapakah sejahat-jahat kamu?” Jawab sahabat: “Allah SWT dan Rasulullah SAW yang lebih tahu.” Rasulullah  SAW bersabda: “Sejahat-jahat kamu ialah orang yang bermuka dua, yang menghadap kepada ini dengan wajah dan datang kesana dengan wajah yang lain.” ( Riwayat Abu Hurairah)
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah, perkataan namimah pada kebanyakan pendapat  adalah “menyampaikan percakapan orang lain kepada orang yang dikatakan”.
 Manakala Al-Bhaghawi Rahimahullah atau nama sebenarnya Abu Muhammad al-Husin bin Muhammad al-Farra' al-Baghawi as-Syafie, seorang Hafiz, Al-Faqeh dan Mujtahid yang terkenal telah menyebut bahawa namimah adalah “mengutip suatu perkataan dengan tujuan untuk mengadu domba antara seseorang dengan si pembicara”.

Biasanya ia berfokus kepada hal-hal yang tidak disukai, sama ada oleh orang yang mengadu domba, diadu domba atau orang yang menjadi objek adu domba. Adu domba boleh mengakibatkan huru-hara bermula dengan perkelahian, pergaduhan, dendam hingga  akhirnya membawa kepada pembunuhan.
Islam mencela golongan namimah ini samada invidu atau berkumpulan ini kerana sifat buruk mereka yang cukup berbahaya. Allah berfirman  yang bermaksud “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela, yang kian kemari menghambur fitnah.” (Surah Al Qalam, ayat  10)
Golongan yang bertindak untuk adu domba memang ada  dimana-mana hingga seringkali menimbulkan suasana kacau-bilau dan huru-hara. Tindakan golongan ini boleh mengganggu keharmonian masyarakat dan mampu mencemaskan kehidupan seharian.
Apa yang nyata golongan pengadu domba ini telah dijanjikan tempat yang sesuai untuknya. Dari Hudzaifah bin Al-Yaman RA berkata, saya mendengar Rasulullah  SAW bersabda  Tidak akan masuk syurga al-qattat  (tukang adu domba).” (Riwayat Bukhari).  Ibnu Atsir menjelaskan bahawa “Al-qattat” adalah orang yang mencuri dengar pembicaraan, tanpa sepengetahuan mereka, lalu ia membawa pembicaraan tersebut kepada orang lain dengan tujuan mengadu domba.”
Betapa buruknya perangai pengadu domba ini kerana peranan dan tindakannya membawa huru-hara dan kepincangan hidup bermasyarakat. Pengadu domba ini cekap berselindung disebalik peranannya. Kepada orang Melayu, golongan  ini biasanya bersifat “ lempar batu sembunyi tangan”.
Bahana yang besar apabila tindakannya yang tersembunyi menyebabkan timbulnya perasaan syak wasangka dan tuduh-menuduh dalam masyarakat sehingga memberi kesan buruk.

Hammad ibn Salamah ibn Dinar al-Basri, Bekas Mufti Basra yang terkenal yang meninggal pada tahun  167 Hijrah telah menceritakan perihal seorang budak.
Ceritanya : Ada Seorang yang ingin menjual budak, lalu  diberitahu kepada pembelinya: “Budak ini kiranya baik,  kecuali sifatnya yang suka adu domba.” Maka dianggap ringan oleh pembeli dan tetap dibelinya dan setelah beberapa hari ditempat majikannya, tiba-tiba budak itu berkata kepada isteri majikannya: “Suamimu tidak cinta kepadamu dan ia akan berkahwin lagi, apakah kau ingin supaya ia tetap kasih kepadamu?” Jawab isteri itu: “ Ya.” “kalau begitu kau ambil pisau cukur dan mencukur janggut suamimu  pada bahagian lehernya sewaktu suamimu sedang tidur.” kata budak itu.
Kemudian ia pergi kepada majikannya (suami) dan berkata kepadanya: “Isterimu bermain dengan lelaki lain dan dia telah merancang untuk membunuhmu, jika engkau ingin mengetahui buktinya maka cuba engkau berpura-pura tidur.”
Maka suami itu berpura-pura tidur dan tiba-tiba datang isterinya membawa pisau cukur untuk mencukur janngut suaminya, maka oleh suaminya disangka benar-benar akan membunuhnya sehingga ia bangun merebut pisau itu dari tangan isterinya lalu membunuh isterinya.
 Oleh kerana kejadian itu maka datang ahli keluarga dari pihak isterinya dan langsung membunuh suami itu sehingga terjadi perang antara keluarga dan suku suami dengan keluarga dan suku dari isterinya.”
Apa yang jelas dari peristiwa itu ialah peranan budak tersebut sebagai pengadu domba yang telah berjaya menghancurkan keluarga berkenaan secara tidak beretika. Peranannya sebagai ‘batu api’ telah berjaya.
Ingatlah akan Firman Allah yang bermaksud “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali bisik-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat ma’ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia.” (An-Nisa: 114)
Justeru itu,  azab kubur yang dijanjikan Allah kepada pelaku namima  ini adalah pembalasan yang setimpal perbuatannya.
Ibnu Abbas meriwayatkan, (suatu hari) Rasulullah SAW melewati dua kuburan lalu bersabda “Ketahuilah, sesungguhnya kedua penghuni kubur ini sedang disiksa. Dan mereka berdua disiksa bukan kerana sesuatu yang besar. Adapun salah seorang di antara mereka disiksa kerana suka mengadu-domba sedangkan yang lainnya disiksa karena tidak menjaga dirinya dari (percikan) kencingnya.” Kemudian beliau meminta pelepah kurma basah, lalu membelahnya menjadi dua. Kemudian beliau menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua. Kemudian beliau bersabda, “Semoga siksa keduanya diringankan selama kedua pelepah ini belum kering.” (Riwayat. Al-Bukhari )
Bagi mengelakkan kita terjerumus dan diwarnai dengan sifat-sifat namimah yang buruk ini , hendaklah dijaga tutur kata harian. Kadang-kala oleh kerana terlalu seronok  bercakap dan banyak pula  isu yang disentuh sehingga tidak sempat untuk ditapis telah memberi kesan yang tidak baik apabila kita turut memberi saham melaga-lagakan pihak lain  tanpa disedari.
Al-Imam Asy-Syafi’ie Rahimahullah dalam hal ini telah memperingatkan kita  bahawa“Seseorang selayaknya memikirkan apa yang hendak diucapkannya. Dan hendaklah dia membayangkan akibatnya. Jika nampak baginya bahawa ucapannya benar-benar mendatangkan kebaikan tanpa menimbulkan unsur kerosakan serta tidak menjerumuskan ke dalam larangan, maka dia boleh mengucapkannya. Jika sebaliknya, maka lebih baik dia berdia diri.”
Sebenarnya kita boleh mengelakkan diri dari terjurumus dengan sifat berkenaan  seandainya kita tahu memahami erti dosa dan pahala. Elakkan dari melakukan tokok tambah  apabila bercakap terlalu lama kerana mendorong kearah tersebut. Rasulullah SAW bersabda “Cukuplah menjadi suatu dosa bagi seseorang iaitu apabila ia membicarakan semua apa yang telah ia dengar.” (HR. Muslim)
Bercakap dan berbicaralah dalam tenang dan menggunakan percakapan yang tidak boros. Kata orang sedikit bercakap tapi kesannya banyak daripada bercakap banyak tapi kesanya sedikit. Dari Saidatina Aisyah RA menyatakan bahawa “Sesungguhnya Nabi apabila membicarakan suatu hal dan ada orang yang mahu menghitungnya nescaya ia dapat menghitungnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang yang banyak melakukan adu domba ini adalah orang yang mengalami kerosakan jiwanya. Kehidupannya yang telah rosak cuba untuk merosakkan sama orang lain.  Pengandu domba ini  dilihat sebagai orang yang tidak mempunyai program dalam hidupnya. Manakala orang yang dianggap musuhnya bakal dimusnahkan dengan skrip yang sama. Musuhnya  tetap berada dipihak yang salah dan perlu dikorbankan dengan apa cara sekalipun.

No comments:

Post a Comment