Thursday, September 22, 2011

BANDINGAN MANUSIA BERILMU DENGAN KALANGAN TIDAK BERILMU




Imam al-Bukhari menyebutkan bahawa kewajiban seorang muslim sebelum beramal adalah berilmu. Jangan sesekali menghina dan memandang rendah akan kemampuan mereka yang memiliki ilmu. Allah berfirman yang bermaksud “Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
  Sebagai agama yang syamil-mutakammil Islam melihat ilmu dan amal sebagai penyumbang kepada kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Barang siapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya ; dan barang siapa yang ingin (selamat dan berbahagia) diakhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duanya pula". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ilmu  merupakan  elemen pembangunan yang penting di dalam menjamin kelangsungan hidupnya hati kita. Kata Saidina Ali Bin Abi Talib "Hidupnya hati adalah berkat bertambahnya ilmu Sedangkan matinya hati akibat ketiadaan ilmu.. Sihatnya hati adalah berkat keyakinan sedangkan sakitnya hati akibat keraguan.... “
Bagaimanapun akhir-akhir ini kita didapati adanya kecenderungan golongan yang tidak berilmu berlagak seperti mereka yang berilmu tinggi. Natijahnya membawa kepada porak peranda kehidupan manusia dan kemusnahan  binaan ilmu yang sebenar. Secara bandingannya seseorang doktor  tidak dibenarkan memeriksa dan memberi ubat kepada pesakit melainkan setelah dia lulus dalam bidang perubatan dengan baik. Kalau seorang ahli akademik berlagak seorang  doktor dengan memberi ubat kepada pesakitnya tentulah memudaratkan pesakitnya.                Seseorang itu tidak  diluluskan kemampuannya membina bangunan yang tinggi melainkan setelah dia memiliki kelulusan dalam bidang  binaan melalui ilmu seni bina yang dikuasainya. Kalau dilakukkan juga tanpa memiliki ilmu berkaitan pasti boleh menyebabkan berlaku keruntuhan bangunan yang dibinanya walapun dia mungkin mempunyai bakat dan gaya  menjadi jurubina.
Begitu juga terjadinya eleman kemusnahan dan kerosakan apabila mereka yang  tidak berilmu dalam aspek  pengurusan dan pentadbiran  bercakap soal  urusan umat, yang jahil berlagak  seperti orang alim, yang menghafal sepatah dua ayat berlagak Hafazan Quran, yang bukan ulamak mengaku dirinya ulamak kononya untuk dihormati dan dikagumi.  Maka ketika itu bersedialah kita menerima akibatnya. Rasulullah SAW bersabda. Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggu saat kehancurannya(Riwayat Al- Bukhari).
Apa yang mendukacitakan akhir-akhir ini ialah lahirnya  satu golongan yang disebut  oleh Rasulullah sebagai Ruwaibidhah. Golongan ini muncul dari kalangan masyarakat, mereka sebenarnya tidak berilmu tetapi dilihat berilmu, tidak berkelayakan tetapi cuba menonjolkan diri, samada melalui pentas masyarakat ataupun dalam gelanggang ilmu. Inilah dua peluang besar untuk golongan ini muncul dan bercakap, berbicara, memberikan pandangan mengenai urusan awam dan perkara yang melibatkan persoalan-persoalan besar.
Rasulullah SAW telah bersabda  Akan datang kepada kalian masa yang penuh dengan tipu daya ; ketika itu orang-orang akan mempercayai kebohongan dan mendustakan kebenaran. Mereka mempercayai para pengkhianat dan tidak mempercayai para pembawa kebenaran. Pada masa itu, ruwaibidhah akan berbicara.”  Rasulullah SAW ditanya “Apakah itu Ruwaibidhah ?”  Lalu Rasulullah menyebut bahawa, “Ruwaibidhah adalah orang-orang bodoh (yang berbicara) tentang urusan umat.” (Riwayat  Ibnu Majah dari Abu Hurairah )
            Sebenarnya tidak menjadi salah kepada golongan ini memberi pandangan dan pendapat tetapi kesilapannya kerana ketidaklayakan mereka, dengan bekalan ilmu yang tidak mencukupi untuk bercakap dan memberi pandangan kepada sesuatu yang bukan bidang mereka. Al-Imam al-Sayuti telah menjelaskan bahawa “ Al-Ruwaibidhah adalah orang yang lemah yang cuba mencampuri perkara-perkara besar dan berusaha untuk memperolehinya”.
            Ingatlah bahawa bercakap tanpa berfikir adalah petanda betapa rendahnya ilmu dan rosaknya akhlak. Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kekayaan jiwa terpancar kelebihan ilmu seseorang tanpa perlu dibangga. Jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk dan berlagak kerananya. Jangan sekali-kali meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.
Ilmu yang lahir dari tapisan mulut golongan berilmu menyumbang banyak faedah kepada ummah. Berbeza dengan golongan al-Ruwaibidhah yang menyumbang kepada suasana huru-hara dalam masyarakat. Orang Arab ada menyebut melalui kata-kata hikmat mereka “orang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikan sesuatu

             Di sesetengah tempat didapati seseorang yang cekap berkomunikasi dan pandai berceramah terus diberi peluang untuk berucap dengan membuat pelbagai kupasan berkaitan isu agama. Keupayaannya berbicara seolah-olah dia menguasai kesemua disiplin ilmu di dalam Islam. Apatah lagi apabila ceramah boleh mendatang pendapatan yang lumayan maka ramai yang berusaha  untuk menjadi penceramah dengan menghafal sepatah  dua ayat dan hadis lalu menafsirkannya menurut apa yang digemarinya,  bersesuaian pula dengan suasana dan keinginan semasa.

Golongan yang tidak berilmu  seperti ini  biasanya  licin gerakannya. Imej mereka sepertimana golongan berilmu tetapi sebenarnya mereka akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat.  Begitu juga dengan  golongan yang tidak berilmu tetapi menyebarkan ilmu yang boleh mengelirukan masyarakat. Apatah lagi bilamana ada pula golongan yang terpengaruh dan beramal dengan ilmu tersebut dan yakin sepenuh hati kebenaran ilmu tersebut.  Allah SWT telah berfirman yang  bermaksud  Katakanlah, apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya. Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya. (Surah  Al Kahfi, ayat 103-104)
Berbeza dengan golongan yang berilmu  yang sebenarnya. Golongan ini memperolehi kedudukan  dan martabat yang tinggi dikalangan penghuni langit dan bumi. Rasulullah SAW bersabda “ Orang yang berilmu akan dimintakan ampun oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air. Keutamaan orang yang berilmu dibandingkan dengan ahli ibadah bagaikan bulan purnama atas seluruh bintang.” (Riwayat Abu Dawud , Ar-Tirmidzi  dan Ibnu Majah )

1 comment: